Kelab Peminat

Mari mula mempersoalkan

Berdasarkan pemerhatian saya, budak-budak adalah generasi yang banyak bertanya, juga mempersoalkan. Namun, pada pandangan saya, apabila kita meningkat dewasa, kita mula kurang bertanya. Kadang-kala, kita membuat kesimpulan sendiri, bahawa kita sudah tahu - lantas, tiada soalan yang perlu ditanyakan.

Bertanya boleh membawa kita kepada penerokaan ilmu baru. Pertanyaan boleh berlaku, baik kepada diri kita sendiri, mahupun kepada orang lain. Pertanyaan juga, kadang-kadang boleh tertinggal sebagai sebuah pertanyaan, atau persoalan - kerana dalam pertanyaan itu sendiri, sudah wujud jawapannya. Misalnya, dalam situasi berikut;



‘Kenapa bila Along tanya, abah tak pernah jawab?’ (Soalan 1)
‘Along tanya Abah apa?’ (Jawapan 1a)
‘Macam-macam.’ (Jawapan 1b)
‘Abah jawab apa dekat Along?’ (Soalan 2 )
‘Abah tanya balik Along. Abah tanya, apa yang Along fikir?’ (Jawapan 2)

Saya fikirkan, makhluk yang bernama manusia (juga jin dan syaitan) diberi kurniaan untuk bertanya dan bersoal. Ini kerana, salah satu keistimewaan makhluk ini adalah untuk membuat pilihan dalam kehidupannya, daripada usahanya bertanya dan bersoal. Dengan bertanya, kita memperoleh pilihan-pilihan jawapan, untuk memudahkan kita membuat keputusan. Dengan mempersoalkan, kita boleh mencari rasional setiap pilihan dan akhirnya membuat keputusan yang paling rasional, berdasarkan pemahaman akal kita. 

Dua soalan yang paling hebat, pada hemat saya, dalam dunia pertanyaan dan persoalan iaitu; bagaimana dan kenapa. Pada pendapat saya, ia adalah akar kepada persoalan-persoalan lain.

Persoalan bagaimana, akan membuatkan kita bertanya apa, bila, siapa dan di mana. Bagaimana adalah asas kepada kajian saintifik, kerana ia melibatkan semangat ingin tahu yang sedia tertanam dalam fitrah manusia. Dengan pengetahuan yang diperoleh daripada persoalan bagaimana, manusia dapat memahami bagaimana kejadian asali atau sunnatullah sesuatu perkara itu terjadi. Dengan mengetahui bagaimana sesuatu itu terjadi, maka dengan kudrat upaya tenaga dan akal, manusia dapat memudahkan kehidupannya dan memahami dunia yang asing dari kehidupannya.

Persoalan kenapa pula, menjadikan manusia itu, makhluk yang tinggi martabatnya, daripada makhluk-makhluk lain. Kenapa merangkumi perbuatan bertanya untuk mengetahui dan perbuatan mempersoalkan sesuatu yang autoriti. Kenapa boleh membawa manusia untuk menghayati dan menghalusi persoalan kewujudannya di dunia ini. Kenapa juga boleh mengungkap ketidakserasian antara kehendak kita dengan sesuatu yang autoriti yang membendung kehidupan kita (meminjam konsep superego Freud). 

Dalam bertanya dan bersoal, manusia tidak lepas daripada batas dan etikanya. Ia boleh dimisalkan seperti berikut: 

Bertanya itu wadah. ilmu itu air. manusia perlu mencari wadah untuk menampung air yang akan diminumnya.


Dia bebas memilih wadah, namun perlu bertanggungjawab atas pilihannya itu. sebabnya, dia sendiri akan menghirup airnya - sama ada air sungai yang mengalir di taman-taman hikmah, atau selautan air yang tidak bisa menghilangkan dahaganya.


Jadi, marilah kita mula bertanya, juga mempersoalkan. Dengan bertanya, kita boleh memperoleh ilmu-ilmu baru yang tidak kita ketahui sebelum ini. Dengan mempersoalkan, kita akan meneroka - kenapa kita diwujudkan di dunia ini. Mulakan dengan bertanya bagaimana, juga kenapa.

Tiada ulasan: