Kelab Peminat

Pancaroba Jakarta

Penat lelah di Jakarta sudah sampai ke penghujungnya. Tidak sangka, sungguh cepat masa yang berlalu. Saya berasa sangat tidak puas menikmati kota raya Jakarta. Mahu sahaja bercuti di sini beberapa hari lagi, jika tiada urusan kerja yang menunggu di tanah air.


Saya menghubungi seorang sahabat yang menjadi mahasiswa jurusan perubatan di Jakarta. Beliau merupakan sahabat saya yang akrab, sejak dari bangku sekolah menengah lagi. Sudah sekian lama saya dengannya tidak berjumpa. Barangkali menjangkau empat tahun.

Malam sebelum saya berangkat pulang, kami berjanji untuk bertemu. Janji dikotakan, meskipun sahabat saya sibuk menguruskan program kemahasiswaannya. Betapa persahabatan dan kenangan indah sewaktu di sekolah, menyebabkan dia memilih untuk mendahulukan saya, dari urusannya sendiri. Saya berasa terharu. Sungguh terharu.

Kami berperlukan di lobi, saat dia tiba lewat jam sembilan. Lalu, kami menuju ke Restoran Nasi Padang, menjamah hidangan yang lazat bersama, sebelum meneruskan bicara panjang, di kedai 7 Eleven, bersebelahan dengan hotel Ibis Tamarin.

Banyak sungguh yang ingin saya ceritakan, juga ingin dengar daripadanya. Dahulu, sewaktu saya tinggal di bilik A2-01, kami sering berbicara begibu. Masa berputar dan berulang.

"Aku ingin kembali semula ke lautan," kata saya, meluahkan rasa.

Saya membayangkan saya sebagai seekor ikan, yang sedang kelemasan di atas daratan. Mahu pulang semula ke laut, dunia yang membuatkan saya berenang bebas dan membolehkan saya meneroka khazanah-khazanah yang tidak ada di tengah kota kehidupan manusia.

"Mahu bersama alam semula," kata saya lagi.

Sebetulnya, skembalinya ke tanah air, saya kehilangan rasa. Banyak benar pancaroba yang datang di kiri dan kanan. Kehidupan di Kuala Lumpur jarang sekali selari dengan apa yang saya bayangkan, saat saya dilanda rindu pada tanah air, saat berada jauh di perantuaan.

Cinta kadang kala boleh bertukar menjadi benci. Dan kebencian itu akan lebih menebal, jika kebencian itu berasal dari runtuhnya sebuah percintaan. Harapan dan cita-cita, menjadi lebih pijar saat kita cuba mengenangkannya saat berada di tengah-tengah hakikat kehidupan.

Kami terdiam. Menyelami perasaan masing-masing. Persahabatan kami berakar sejak kami tingkatan satu lagi. Banyak perkara yang telah kami lalui bersama. Kenangan meneroka dunia remaja begitu lunak dan indah di dalam jiwa. Kadang-kala, diam ini membangkit seribu satu cerita yang tidak perlu diungkapkan semula.

Saya menyingkap semula, hari-hari saya di Jakarta. Banyak juga perkara yang mengubah saya. Yang paling utama adalah melihat kecekalan dna ketabahan orang di sini berkerja mencari sesuap rezeki. Mereka tidak meminta-minta, mahupun mengemis. Apa sahaja yang boleh mereka sumbangkan, atau niagakan, mereka cuba lakukan, supaya berhasil memperoleh makanan untuk meneruskan kehidupan. Pernah saya berbicara dengan pemandu teksi, tentang mahalnya pendidikan anak-anak dewasa ini. Di mana-mana, pendidikan sudah tidak lagi mudah didapati, nggak gratis.

Saya mula menyedari, orang yang dikatakan pandai dan berjaya di dalam peperiksaan, merekalah yang terpaksa mengemis dan meminta-minta simpati, untuk memohon dana dan biaya siswa, untuk meneruskan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Dahsyatnya dunia berubah.

Kami bertukar kisah tentang keluarga, tentang adik-adik, kerana kami berdua merupakan anak sulung. Tentang cerita junior sekolah. Tentang masa depan mereka dalam arus kehidupan sekarang. Kehidupan yang serba-serbi memerlukan bayaran, termasuklah hal ehwal pendidikan dan pelajaran.

"Aku benar-benar ingin kembali ke laut." Saya melepaskan isi hati yang terbuku, setelah kami diam sekali lagi, untuk beberapa ketika.

Masa menganjak ke jam dua belas tengah malam. Terlalu lewat nampaknya. Esok sahabat saya ini akan ke kelas. Jadi, saya meminta izin untuk berpisah dengan harapan, perpisahan ini hanya sementara. Di tanah air kelak, kami akan bertemu semula, berkumpul dengan sahabat-sahabat lama yang lain dan berkongsi suka dukua melalui kehidupan yang semakin hari semakin mencabar.

Kami berdakapan. Berat untuk melepaskan. Namun, aturan kehidupan, setiap pertemuan, ada perpisahan.

Perpisahan saya dengan sahabat saya ini, mengakhiri episod perjalanan singkat saya ke Jakarta. Sungguh bermakna hari-hari yang telah disusun oleh Allah ini. Saya mempelajari banyak perkara, menemui dan berkenalan dengan pelbagai jenis orang dan mendalami makna kehidupan.

Selamat tinggal Jakarta, jumpa lagi nanti ya!

Tiada ulasan: