Kelab Peminat

Pancaroba Jakarta 2


Pemandu teksi mencelahi pelbagai jenis kenderaan. Sekejap ia berada di lorong kanan sekali. Tiba-tiba ia boleh berada di lorong kecemasan.

"Bapak polisi pasti menahan kita kalau guna lorong ini," kata pemandu teksi itu sambil ketawa kecil. Dia membelok ke arah lorong tengah dan jauh di hadapan kelihatan dua buah kereta bertulis 'Polisi' dan beberapa anggota seragam coklat sedang menahan beberapa kenderaan.

Fuh, nasib baik perjalanan tidak tergendala!

Kesesakan jalan raya di Jakarta ada namanya sendiri - iaitu macet. Dan kemacetan sememangnya menjadi lumrah. Kami tiba di Hotel yang terletak di Jalan KH Wahid Hasyim setelah lebih sejam menempuh kemacetan ini. Bersebelahan dengan hotel, saya ternampak sebuah trak polisi dan begitu ramai anggota yang berpakaian coklat dan biru gelap sedang berkumpul. Kami berdua mendaftar masuk ke dalam hotel dan ke bilik.

Hotel Ibis di Tamarin yang menjadi tempat penginapan kami agak sempit. Hotel yang harganya berpatutan untuk delegasi perniagaan yang sudah semestinya tidak akan duduk lama di dalam bilik, melainkan waktu tidur. Televisyen dinyalakan dan saya menonton berita tempatan. Diberitakan bahawa ada seorang pengebom secara tidak sengaja telah meletupkan bom yang dibawanya semasa berada di atas basikal. Tempatnya tidak jauh, di Bekasi, juga di kota raya Jakarta. Saya menjeling ke arah sahabat saya. Dia membalas jelingan.

'Aku nampak ramai polis di luar tadi,' kata saya.

'Demonstrasi Anti-Malaysia?'

'Tak tahu...' jawab saya, naif.

Selepas dua jam berehat, kami bergerak ke Stadium Istora Senayan, tempat berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Indonesia pada keesokan harinya. Perjalanan teksi terganggu dengan kemacetan sekali lagi. Perjalanan 10 kilometer daripada hotel yang sepatutnya hanya mengambil masa 10 minit menjadi hampir sejam. Di kiri dan kanan jalan, berdiri megah bangunan dengan rekaan yang cantik dan tidak terdapat di Malaysia. Bangunan-bangunan ini seolah-olah bangunan di Dubai. Bandarnya kaya dengan pokok-pokok besar yang rendang, barangkali tumbuh seusia dengan bandar ini. Saya mendapati hampir keseluruhan pekerja di kota raya Jakarta hari Jumaat ini, atau di sini dipanggil 'karyawan', memakai baju batik lengan pendek. Coraknya adalah corak batik Indonesia yang sarat dengan lukisan tumbuhan abstrak.

Stadium Istora Senayan yang dibuka pada tahun 1962 agak besar. Istora adalah kependekan untuk 'Istana Olahraga.' Terdapat beberapa temasya lain yang berlangsung di kompleks sukan ini. Pada zaman sekarang, ia dipanggil Istora Gelora Bung Karno dan ia pernah menjadi pentas perlawanan Piala Thomas (sejak 1967) dan pertarungan tinju Muhammad Ali dan Rudi Lubbers. Di hadapan pintu masuk, ada sepanduk besar temasya buku sebuah negara kepulauan terbesar di Asia. Saya menjangkakan, sudah pasti, pesta buku di negara ini akan berganda-ganda lebih meriah berbanding Pesta Buku Kuala Lumpur 2010 yang berjaya menarik 1.5 juta pengunjung April yang lalu.

Tujuan kami sehari sebelum pembukaan Pesta Buku ini adalah menguruskan segala hal ehwal pendaftaran. Kami mewakili MABOPA, Malaysian Book Publishers Association, perlu bertemu dengan pengelola program untuk mengesahkan kehadiran kami dan membayar yuran untuk booth kami di sini. Sewaktu kami tiba, para penerbit buku tempatan sedang sibuk membawa masuk produk dan menyusunnya di booth masing. Sebuah pemandangan serupa sewaktu pra-Pesta Buku Kuala Lumpur yang saya terlibat sepenuhnya dahulu.

Sebenarnya, agak sukar juga untuk menjadi kantor urusetia progam ini. Ruang pejalan kaki yang berselerak dan troli buku yang keluar masuk menghalang pencarian kami. Kami bertanya kepada salah seorang pekerja di situ, di manakah pejabat urusetia, lalu dia meminta kami untuk ke dalam stadium. Kami pun masuk, namun tidak pula bertemu dengan tempat yang dimaksudkannya. Kami bertanya lagi, kali ini, kami diminta untuk bergerak ke sisi stadium kerana katanya, pejabat urusetia terletak di situ. Sewaktu kami terpinga-pinga mencari, kami melewati dan menyinggahi booth yang tertera perkataan MABOPA. Barangkali inilah booth yang bakal kami huni selama dua hari. Ruangnya sebesar kelas di sekolah. Terdapat dua buah meja dan empat buah kerusi tersedia untuk kami. Ada juga rak buku pada dinding booth untuk dimuatkan buku-buku.

Ada seorang pak cik yang duduk keletihan di situ, melihat booth-nya yang sedang dikemas.

"Bapak, di mana kantor urus setia?" kami bertanya sopan.

"Pengelola?" katanya, seolah tidak dapat menangkap istilah urus setia.

"Ya, pak. Di mana ya?"

"Kalian perlu jalan ke luar Cempaka ini, jalan terus. Nanti kalian akan nampak di mana kantor itu," katanya yakin.

Kami berlalu meninggalkannya dengan ucapan terima kasih. Lalu, kami berjalan lagi, seperti menjadi pengembara asing, meneroka persediaan sebuah temasya yang besar. Namun, kami tidak bertemu dengan pejabat pengelola seperti yang dimaksudkan. Jenuh kami berpusing dan berpatah balik, dari luar ke dalam untuk mencari di mana kami boleh melakukan pendaftaran. Sebelum ini, kami cuba menghantar emel kepada pihak berkenaan, namun tiada maklum balas mengenai pengesahan kehadiran kami. Malangnya, kami tidak memperoleh nombor perhubungan melalui telefon. Jadi, mahu tak mahu, memang kami perlu mendapatkan pihak pengurusan supaya booth yang ditempah, sememangnya akan dihuni dan digunakan oleh delegasi dari Malaysia. Jika tidak, kami sekadar menjadi trade visitor, pengunjung perniagaan, sama seperti pengunjung lain untuk Pesta Buku ini. Saya kira, jika sekadar menjadi trade visitor, sudah tentu sukar untuk menjalankan misi membeli dan menjual hak cipta di antara penerbit Indonesia dan pihak syarikat dari Malaysia.

Saya teringat cerita guru Bahasa Inggeris saya, yang menjadi begitu akrab dengan saya ketika di Adelaide, Australia. Dia juga pernah tinggal lama di Indonesia.

'Kamu tahu, orang Indonesia ini malu jika berkata 'tidak tahu' apabila kita bertanya pada mereka. Mereka sedaya upaya untuk menjawab apa yang ditanya. Mereka seboleh-bolehnya mahu orang luar macam kita, berpuas hati, dengan jawapan diberi. Tapi, kamu pun tahu, jawapan itu tidak semestinya betul.'

Saya kira, inilah yang dimaksudkan oleh guru saya itu. Selama beberapa jam saya berada di sini, saya dapati mereka cuba memenuhi permintaan orang asing seperti kami, walaupun kadang-kala jawapan mereka tidak semestinya tepat. Balasan yang diberi, bagi saya - baik dan bersopan. Setakat ini, belum lagi saya berjumpa dengan orang yang mengucapkan 'tak tahu' lantas bermasam muka dan membuat 'tak tahu.'

Akhirnya, setelah sudah berpeluh berjalan ke sana ke mari, barulah kami menjumpai kantor pengelola.

Kami mengesahkan pendaftaran dan membayar yuran.

Usai urusan di Istora Senayan, kami mendapatkan teksi, lebih kurang 1km jauh daripada tempat pameran, menempuh kemacetan trafik sekali lagi.

'Pak, sekarang orang usai dari kantor. Memang macet banget!' kata pemandu teksi itu.

Saya memerhatikan gaya pemanduan pemandu di sini. Ada banyak motor, kereta, bas dan lori, begitu juga gerai beroda kecil yang ditarik oleh penjaja. Teringin sekali berkongsi cerita di jalan raya mereka, bersama pemandu di negara kita.

1 ulasan:

FakirFikir berkata...

Salam, berapa lama lagi di Jakarta. Kalau sempat, blh jumpa kawan saya di sana. Juga seorang penghasil buku. Kalau ok, blh YM saya.