Kelab Peminat

Telah pergi ruh kenangan itu


Ya, suatu masa dahulu. Saat saya mula mengenal apa itu erti hidup dan susah payah membinanya. 

Kini, setelah sekian lama meninggalkannya, saya diberi peluang semula untuk menjalani jalan-jalan kecil yang pernah saya celahi.

Jalan-jalan yang memaparkan pelbagai ragam hidup, yang secara tidak langsung, membentuk saya, seorang warga Kuala Lumpur.

Di dalam LRT semalam, saya melihat diri saya, berdiri di penjuru pintu, menanti bilakah tren ini selamat tiba di Stesen Pasar Seni. Di dalam LRT juga, saya melihat diri saya yang bersila di atas lantai, menunggu lebih daripada sejam supaya LRT ini segera berjalan, kerana rosak. Di dalam LRT itu juga, saya melihat diri saya berhimpit dan bersesak di dalam ratusan manusia.

Di stesen Masjid Jamek, saya melihat tangga yang tinggi melangit. Di situ, saya melihat diri saya yang pernah berlari mendaki, juga berlari menuruninya. Waktu itu, saya langsung tidak mempedulikan ekskelator, demi mengejar masa. Saya juga melihat diri saya mencelahi orang ramai yang berpusu-pusu ke sana dan ke mari - tidak dipedulikan, tidak dikenali.

Saya melangkah lagi. Sekarang saya berjalan di kawasan pasar Masjid India. Dahulu, saya tidak kepingin pun untuk menyinggahi kawasan ini. Saya akan segera berlari dan berlari, melintasi Medan Pasar, melalui gedung Pasar Seni dan berkejar untuk mendapatkan bas E1 di hub bas Pasar Seni, berhadapan dengan hentian bas Kelang. Kadang-kala saya berlari dalam hujan yang maha lebat. Kadang-kala, saya juga terpaksa kuyup menunggu di bawah bumbung kecil, bersama dengan pekerja-pekerja yang ingin pulang ke Putrajaya dengan bas awam.

Di satu persimpangan itulah, saya melihat ruh kenangan saya berpisah dengan jasad realiti yang saya punyai sekarang. 

Ruh itu berlari jauh, dan semakin jauh. 

Saya tertunduk. Seperti menangisi sebuah kematian.


1 ulasan:

kutu rayau berkata...

bro.. terharu aku.. aku support ko


drp: teman
lokasi: ofis