Kelab Peminat

Pancaroba Jakarta 1


Masih berderau darah saya. Tugasan yang tiba-tiba saya terima membuatkan debaran tidak mahu surut. Kini, saya sudah berada di dalam pesawat Air Asia, terus ke Lapangan Terbang Soekarna-Hatta. Destinasinya adalah Jakarta. Kota raya yang menjadi saksi kontroversi yang melibatkan dua buah negara serumpun dan sebahasa, Indonesia dan Malaysia.

Saya dan seorang rakan, mewakili delegasi Malaysia ke Pesta Buku Indonesia 2010 yang akan diadakan di Istora Senayan, Jakarta. Senayan, kecut perut apabila saya membaca berita bahawa beberapa hari lepas di situ, ada demonstrasi Sweeping Rakyat Malaysia. Dahulu juga, di hadapan kedutaan besar Malaysia di Senayan, ada tunjuk perasaan Buluh Runcing. Melalui laporan akhbar, kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai BENDERA, akan menahan orang di jalanan, untuk memastikan sama ada mereka rakyat Indonesia atau tidak. Saya tidak mahu membayangkan jika saya berada di situ dan terpaksa mengakui bahawa saya adalah rakyat Malaysia.

Pesawat melayang-layang, lalu mendarat.


Pintu pesawat terbuka dan penumpang berpusu-pusu keluar. Saya menarik beg dan berjalan. Kurang yakin.

Suasana di pagar imigresen dan kastam, agak panas. Baik dari zahirnya atau batinnya. Saya dapati pendingin hawa tidak dipasang dan eskletor datar untuk mempercepatkan langkah tidak berjalan. Pencahayaan di dalam bangunan ini malap dan hanya dibantu oleh cahaya matahari dari luar. Begitu juga dengan suasana penumpang pesawat yang baru tiba, dari beberapa tempat lain. Mereka beratur panjang, menant izin masuk secara rasmi ke tanah Majapahit ini. Saya dan rakan mengikuti arus penumpang yang menunggu dengan penuh sabar, sambil mengipas badan sendiri dengan kolar baju. Terdengar bunyi cop yang dihentak kuat pada muka pasport bertelingkah dengan suara pengawal yang mengarahkan penumpang yang beratur ke sana dan ke mari. Ia mengingatkan saya pada zaman 90-an, hampir lima belas tahun dahulu.

Tiba giliran saya. Pegawainya wanita. Memakai baju coklat cair, berrambut separas bahu. Saya menghulurkan pasport dan dia membalasnya dengan senyuman. Dia menyelesaikan urusannya tanpa bicara dan menyerahkan kembali pasport kepada saya. "Terima kasih," kata saya.

Kami mendapatkan beg yang berisi buku yang ingin kami pasarkan di Indonesia, melepasi pagar X-ray dan kastam. Mujur tiada apa-apa di sini dan urusannya begitu mudah sekali. Kami melangkah ke pagar luar dan kelihatan begitu ramai sekali orang berada di situ. Jantung berdegup semakin kencang.

'Pak, mari ke sini pak.'

'Taksi! Mari dapatkan taksi di sini!'

Ada orang menerpa ke arah kami. Dia mahu menarik beg yang kami bawa dan menggesa kami mengikutinya. Nak tak nak, saya terdorong ke arahnya dan dia membawa kami ke sebuah teksi yang agak lama dan cat biru keretanya semakin pudar. Keretanya - Proton Wira.

"Nak naik yang ini ke?" saya bertanya. Ragu-ragu.

"Ada yang lain tak?" kawan saya memulangkan jawapan.

"Kita dah sampai sini, nak buat macam mana."

"Naik ajalah."

Kami menaiki teksi itu. Orang yang menarik beg kami sebentar tadi meminta tip, namun tidak diberikan oleh kawan saya tadi. Pintu ditutup dan pemandu teksi menekan minyak.

"Ke mana pak?" tanya pemandu.

"Ke kota. Hotel Ibis Tamarin," kata salah seorang dari kami.

Jalan begitu sesak dengan kenderaan. Pemandu teksi ini memintas beberapa kereta, memotong lorong sambil hon bergema di kiri dan kanan. Sekejap dia membawa di lorong paling kanan, sekejap dia memandu laju di lorong kecemasan.

Saya cuba menghapuskan bisikan jahat, berdoa dalam diam, bertawakal dan melihat pemandangan baru sebuah kota raya - bahawa di depan sana, tidak akan ada pos kawalan yang bertulis 'Maaf Jalan Anda Terganggu, Sweeping Orang Malaysia.'

Tiada ulasan: