Kelab Peminat

Kenapa?

Saya berfikir-fikir, sejak sekian lama, setelah saya menjadi graduan sebuah institusi pendidikan - kenapa kita tidak dididik mengenai perkara yang begitu penting dalam kehidupan.

'Kenapa kita tidak dididik mengenai bahagia?' begitulah hati saya bertanya-tanya. Entah ke mana gema jiwa itu melantun.


Kadangkala, gema bergetar lebih halus. 'Kenapa kita tidak dididik mengenai cinta?' Pada waktu-waktu tertentu, ia berbunyi, 'Kenapa kita tidak dididik untuk bercinta?' Fikiran saya bercabang-cabang. Saya memerhatikan akhbar, menjadi pengamat suka duka kehidupan rakyat. Saban hari kemanusiaan itu dibunuh dan dicantas sesuka hati. Pohon kemanusiaan yang punah semakin hari semakin lumrah. Kehidupan sekarang boleh dibayar dengan wang dan harta. Di balik itu, suara halus bertanya lagi - 'bukankah cinta yang menumbuhkan kemanusiaan dan menyuburkan kehidupan?'

Teringin sekali mendekati seseorang di jalanan dan bertanya sebegini - 'apakah makna bahagia?'

Namun, malu membataskan. Belum bertanya lagi, saya tersipu-sipu kerana takut dilabel sedang dilanda kegilaan. Sedangkan, persoalan itu, bagi saya, sudah tentu kerap bermain di arena perasaan manusia - kerana pengalaman berbahagia itulah yang sering ingin dicipta dan disediakan dalam kehidupannya.

Bahagia, seperti satu perkataan yang bebas ditafsirkan maknanya. Ada yang mengatakan bahawa bahagia itu perlu dikejar. 'Kenapa?' tanya hati saya, pada suatu hari. 'Adakah bahagia itu sering melarikan diri daripada manusia?' Ada juga mengatakan bahawa bahagia itu bergantung kepada bagaimana kita menafsirkannya? Malah, sewaktu berada di bangku kampus, saya menghadiri sebuah kem motivasi yang memperkatakan dan memaksakan perkara ini kepada peserta-pesertanya. Saya mahu sahaja bangun dan bertanya satu soalan falsafah - 'adakah semua manusia bahagia?'

Suatu hari, fikiran saya menerawang entah ke dunia mana. Saya ingat-ingat lupa mengenai imej khayalan itu. Mungkin saya membayangkan mengenai seorang guru yang setia dengan kapur dan papan hitamnya. Seorang murid tunggal yang duduk di meja kayu mengangkat tangan dan bertanya. 'Cikgu, kenapa kita tidak diajar mengenai kebahagiaan dan cinta?'

'Kenapa?' tanya cikgu itu kembali.

'Kerana dalam kehidupan, bukankah manusia mengejar dua perkara itu?'

Khayalan itu hapus tiba-tiba. Saya tersedar bahawa saya masih berada di pejabat.

Tiada ulasan: