Kelab Peminat

Terjemah

Tugas pengarang bukan sekadar mengarang sahaja. Dia perlu menterjemah ilmu luar yang baik ke dalam bahasa yang dipakai oleh masyarakatnya. Menterjemah bukan terhad pada bahasa sahaja, bahkan menterjemah ilmu yang ada itu, supaya sesuai dan bermanfaat buat rakan-rakan yang akan membaca karangan itu.



Begitu juga, kemahiran penyampaian. Seorang yang genius, tidak semestinya berhasil menyampaikan kegeniusannya kepada masyarakat. Jadi, kemahiran menterjemahkan keilmuan dan kefasihan ilmunya, kepada masyarakat umum, sudah tentu sangat diperlukan.

Selain itu, dalam dunia keilmuan juga, terlalu banyak pertentangan-pertentangan yang besar. Jika dahulu para cendekiawan Islam berhadapan dengan Sains Aristotle, kini kita berhadapan pula dengan Teori Evolusi. Dalam dua hala yang mencapah ini, sudah tentu seorang pakar yang menguasai kedua-dua bidang amat diperlukan. Al-Ghazali merupakan contoh silam yang terbaik. Beliau seorang ulama' Islam yang menguasai falsafah Aristotle dan telah berhasil melakukan penterjemahan ilmu Yunani itu - dengan sarwa pandang Islam tentunya. Sekarang, siapa akan menggantikan peranan beliau untuk mencari hakikat sebenar penciptaan, dengan menguasai kedua-dua dunia keilmuan - lalu mengemukakan sebuah aliran pemikiran yang akan dimanfaatkan oleh generasi akan datang?

Dalam pengajian, pesan Syeikh Afifi al-Akiti - jangan terjatuh ke telaga buta blinded specialization. Jangan menjadi seorang pakar yang tidak mengetahui dunia lain daripada kepakarannya. Saranannya, hendaklah seorang Muslim itu belajar cara untuk belajar. Juga, mengetahui apa dia sepuluh asas untuk semua ilmu, seperti yang dikemukakan oleh Imam Abu Irfan as-Soban. Antaranya adalah hadd, maudhuk dan faedah  sesuatu ilmu. Juga, seseorang cendekia itu perlu menguasai ilmu bahasa dan balaghah (retorik) supaya ilmu yang dipunyainya, akan mampu disampaikan kepada masyarakat umum dengan baik dan tidak bercanggah maknanya.

Menyampaikan ilmu, mengeluarkan fatwa, menyatakan jalan penyelesaian masalah perlu rujuk silang antara ilmu - yang memerlukan kemahiran menterjemah - bukan sahaja dari aspek bahasa, bahkan melalui aspek keilmuan itu sendiri juga. Kata Syeikh, orang mudah mengutuki perkara yang mereka tidak fahami. Jadi, tugas ilmuan adalah untuk memahamkan mereka, namun seorang ilmuan itu, tidak boleh memaksa pandangan mereka itu kepada orang lain. Apa yang boleh dipaksa adalah diri sendiri - memaksa untuk memahami orang kenapa mereka berada dalam keadaan sebegitu rupa.

Tidak dilupakan, ilmuan juga perlu menguasai ilmu berhujah - demi menegakkan keilmuan yang mereka pegang.

Dan itu semua adalah antara kemahiran menterjemahkan - apa yang ada di dalam fikiran dan hati seseorang - supaya makna yang difahami orang lain, sama seperti makna yang kita fahami juga.

Tiada ulasan: