Kelab Peminat

Revolusi


wahai
penyaksi revolusi
adakah ia
merubah pandanganmu
tentang keamanan
yang selalu kita
rencanakan?

dunia dibangunkan dari tidurnya sekali lagi. pertempuran rakyat dan penguasa menjadi sebuah sejarah yang berulang. aku mendengar daripada dari corong media - 30 tahun diperlukan oleh rakyat untuk bangkit menentang kezaliman.

perjuangan di Tunisia dan Mesir, pada pandanganku, adalah perjuangan yang tidak akan kalah. sama ada mereka gugur. sama ada mereka berhasil memperoleh perubahan.

mereka adalah pejuang-pejuang yang lapar. hak mereka dijarah. kebebasan mereka dibelenggu kuku besi. jika mereka mati, mereka tidak akan lagi terpaksa menghadapi kehidupan seperti itu.

sebaliknya, jika mereka menang, tangan mereka sendiri akan membina kembali negara, yang mereka sendiri porak-perandakan. bukan tangan kotor sang zalim.

melihat dari sini dan menyimpan kerisauan dan keresahan, terutamanya nasib sahabat-sahabat handai yang berada di medan revolusi - sememangnya menyesakkan dada. seorang sahabat saya yang paling akrab, memaklumkan kegetaran melalui kereta kebal, mendepani jeritan saban malam dan kegetiran menjauhkan diri das-das tembakan.

dia menyaksikan semua kejadian revolusi. api menjadi latar pemandangan taman ilmunya kini. aku yakin, hari ini, dia telah menjadi seorang mahasiswa yang mempelajari sesuatu, yang pelajarannya tidak terdapat di mana-mana universiti di dunia ini.

lantas, kita di sini, apa pula?

aku mengingat kata guru, jangan digugat kestabilan negara, walau sehari. sehari negara tidak stabil, lebih teruk daripada sepuluh tahun berada di bawah pemerintah yang zalim.

namun, tidak bermakna kita meredhai kezaliman di atas kita, kata guru.

aku berkira-kira, elok lagi berjuang menentang pemimpin zalim, daripada menentang kemarahan diri sendiri. apa yang baik itu, pada hematku, kita pelihara sebaik mungkin. yang berkulat itu, kita carikkan dengan hikmah, dengan ilmu, agar keamanan dan kemakmuran kita, tidak tiris.

wahai penyaksi revolusi, bawalah pulang cerita-cerita perjuangan yang kau saksikan, dengan selamat dan sempurna!

islam and secularism akan bersambung kelak, insyaAllah

1 ulasan:

AviCenNna berkata...

Salam..
Satu mimpi ngeri buat mereka..dari satu sudut, rakyat bangkit untuk menuntut hak mereka..itu satu bentuk hijrah..
Tapi, dari sudut lain pulak, mereka yg tak bersalah khususnya pelajar dan rakyat asing menjadi mangsa..ada pro n kontra..nak adakan perubahan, mesti ada pengorbanan..
Semoga pelajar dan rakyat Malaysia selamat pulang ke tanahair...