Kelab Peminat

Islam and Secularism 3


Saya membuka buku catatan hitam saya kembali. Sudah menjadi kebiasaan, saya mencatat apa yang menarik untuk dicatatkan, supaya ia dapat dapat dirujuk semula di masa akan datang.

Tarikh catatan tersebut adalah 23 Oktober 2008 dengan menggunakan pena dakwat hitam.



Islam and Secularism, Syed Muhammad Naquib al-Attas


- catatan terhadap buku ini sedikit lewat dengan pembacaan kerana terdapat beberapa kekangan seperti raya puasa dsb
-catatan terhadap buku ini bermula dari Bab II: Secular-Secularization-Secularism; meninggalkan Bab I: The Contemporary Western Christian Background yang kurang difahami
-Namun terdapat berap isi dari Bab I yang dapat diambil:
   - Kristian mempunyai beberapa masalah terhadap agama mereka sendiri
        - problem of God
        - problem of gospel
        - agama dan kebudayaan masyarakat (kekeliruan)
        - perubahan pusat Kristian dari Jeruselam ke Rom telah banyak mengubah agama Kristian itu ->
          Westernization



Biarlah saya ringkaskan catatan saya itu.

Bab II: Secular-Secularization-Secularism

Sekularisasi (secularization) tidak akan mempengaruhi umat Islam baik dari segi agama, ketamadunan dan kepercayaannya. Ini kerana, pengalaman sejarah Islam dan Kristian tidak sama. Akan tetapi, gaya pemikiran, pertimbangan dan kepercayaan Barat yang dibawa oleh ilmuan yang kurang pemahaman mengenai pandangan alam Islam dan Barat, yang juga terpengaruh dengan Barat dan sains Barat - telah memberi kesan yang besar kepada masyarakat Muslim.

Secara takrifnya, sekular (secular) berasal daripada bahasa Latin, iaitu seaculum, yang berkaitan dengan masa dan tempat. Untuk masa, ia dirujuk kepada waktu semasa. Manakala untuk tempat, ia merujuk kepada dunia ini. Secara umumnya, sekular difahami sebagai keadaan dunia semasa. Tambahan, sekular ini mempunyai kaitan besar dengan sejarah. Sekular juga bercabang daripada tradisi sejarah Greek-Rom dan Yahudi.

Sekularisasi terbahagi kepada beberapa kesan. Pertama, kesan di mana kawalan dalaman manusia terhadap rasional dan bahasanya itu berubah, dari kawalan agama - kepada kawalan dalaman yang lain.

Ini menyebabkan manusia kehilangan pertimbangan agama untuk memahami dirinya. Ia berlaku dengan;
a) merosakkan pandangan alamnya
b) memecahkan kepercayaan terhadap mitosnya dan simbol sucinya
c) merosakkan sejarahnya
d) dan menyebabkan manusia itu berpendapat bahawa dia tercampak ke dunia dan terpaksa melakukan sesuatu dengan sendirinya dan tidak boleh lagi berasa bersalah atau beruntung dengan nasib perbuatannya itu.

Seterusnya, ia menyebabkan perhatian manusia beralih daripada dunia selepas kematiannya, kepada dunia semasa.

Kedua, dengan memberi kesan kepada aspek politik, sosial dan budaya manusia. Kesannya, pertimbangan agama di dalam sesuatu kebudayaan itu telah hilang.

Ketiga, dengan memberi kesan kepada proses sejarah, yang tidak akan boleh dipatahkan balik semula. Ia akan mempengaruhi pandangan alam masyarakat dan kebudayaannya.

Keempat, membebaskan dan membangunkan manusia untuk sesuatu tujuan dunia. Ini menyebabkan nilai dan kebenaran itu tidak lagi mutlak, tetapi bergantung kepada keadaan semasa dan individu.

Kelima, menganggap bahawa sejarah ini adalah proses sekularisasi manusia.

Keenam, menyebabkan rasa putus asa terhadap alam, pengotoran politik dan pencemaran nilai.

Rasa putus asa terhadap alam timbul kerana alam ini dilihat tidak lagi mempunyai nilai keagamaan, kerana ia telah dibebaskan daripada pengaruh ketuhanan dan ruhani. Manusia itu tidak lagi dianggap sebagai unsur alam yang suci dan murni, kerana sebelum ini, mereka menganggap bahawa alam itu itu tidak mempunyai apa-apa lagi unsur dalaman yang suci dan murni itu. Jadi, manusia boleh bertindak sesuka hati terhadap alam sekitar, untuk menggunakannya demi memenuhi keperluan dan kehendak. Ini menyebabkan manusia mula membuat perubahan sejarah dan pembangunan.

Pengotoran politik pula berlaku apabila pertimbangan wahyu di dalam kuasa politik dan pihak pemerintah telah runtuh. Perubahan politik ini juga telah menyebabkan perubahan di dalam masyarakat. Dalam hal ini, demi sekularisasi, ia dibenarkan kerana dianggap sebagai proses sejarah manusia.

Ketiga, pencemaran nilai berlaku apabila sekularisasi menyebabkan manusia menganggap bahawa amalan kebudayaan dan sistem nilai masyarakat, termasuklah agama dan pandangan alam yang terdapat di dalamnya, terbuka dan boleh mengalami perubahan. Sekularisasi menyebabkan manusia berpandangan bahawa perubahan dan penciptaan nilai yang baru ini merupakan salah satu daripada proses evolusi. Manusia yang sekular menganggap nilai itu bergantung dan relatif kepada kepercayaan individu dan pandangannya sendiri. Mereka juga merasakan bahawa nilai etika dan peraturan yang memandu kehidupan ni boleh berubah mengikut konteks semasa dan generasi.

Proses perubahan ini dipanggil 'kematangan' dan kadangkala digelar 'evolusi.' Ini bermakna, mereka semakin 'dewasa' dalam menghadapi dunia ini. 'Dewasa' kerana menganggap mereka cuba membebaskan diri daripda setiap golongan masyarakat, dan proses 'pendewasaan' ini berlaku kerana mereka sudah boleh bertanggungjawab terhadap diri sendiri, bukan lagi di bawah tanggungjawab agama.

Demikianlah ringkasan catatan saya yang dibuat beberapa lama dahulu. Waktu itu saya menulis di dalam bilik, di dalam perpustakaan ala-ala Harry Porter, juga mencuri-curi masa di Restoran Knoodle sewaktu menunggu Sar Hor Fan sampai di meja. Serasa-rasa, kebiasaan saya menulis catatan, menyebabkan saya mencipta satu format tersendiri, supaya idea-idea yang diperoleh itu, boleh disusun dengan kemas dan membantu saya untuk mencatat dengan lebih pantas.

Waktu itu, saya mula melihat masyarakat. Pertama, masyarakat tempatan (Barat) dan masyarakat saya sendiri, yang tinggal di dalam ketamadunan Barat. Saya melihat bagaimana gerakan sekularisasi ini mula menjadi barah. Yang meresahkan saya, adalah masyarakat saya sendiri, yang pada waktu awal-awal dahulu, datang ke negeri barat ini ibarat kain putih.

Saya kurang bersetuju dengan anggapan bahawa mahasiswa yang keluar negara sering sahaja kecundang akhlaknya. Ini adalah kenyataan permukaan yang simplistik, berdasarkan spekulasi dan persepsi yang disebabkan oleh kes-kes terpencil yang sensasi. Sebaliknya, ada sahaja mahasiswa luar negara yang berubah perilakunya dan akhlaknya. Mereka menjadi lebih baik dan lebih sopan. Pakaian mereka mula dilabuhkan dan lebih sedap dipandang mata. Terima kasih banyak-banyak kepada kelompok usrah yang melakukan usaha perubahan ini secara besar-besaran.

Namun, kecundang atau meningkat akhlak seseorang itu, bukanlah persoalan yang meresahkan hati saya pada waktu itu. Yang menghairankan saya, kenapalah mahasiswa-mahasiswa yang terpilih ini seakan-akan tersekat di satu tempurung yang tidak dapat dilihat oleh mata. Mereka baik, pada pandangan mata zahir saya. Mereka berubah, dari baik kepada lebih baik dari apa yang dilihat itu. Namun, perwatakan mereka kelihatan sama sahaja. Identiti setiap seorang sahabat yang saya kenal dahulu, mencair dan mereka menjadi stereotaip. Apa masalahnya ini?

Saya termenung panjang. Kenapa sistem keislaman yang dibawa oleh gerakan itu tidak melonjakkan mereka menjadi individu yang mempunyai harga diri dan jati diri yang lebih mulia dan luhur?

Sewaktu mula membaca adi karya sukar ini, barulah saya mengesani bahawa ada satu unsur lain yang saya terlepas pandang sebelum ini. Ini adalah persoalan pemikiran yang mendasar. Sungguhpun dalam siri usrah, daurah dan liqa' yang berjaya menghimpunkan mahasiswa dan menghebahkan bahawa anjakan paradigma dan pemikiran perlu dilakukan, namun ia hanya tebu yang tumbuh di bibir-bibir, bukan seperti impian Sukarno yang ingin menggoncang dunia dengan sepuluh pemuda sahaja!

Al-Attas membentangkan punca masalah sekularisasi. Nampaknya, saya perlu menumpukan perhatian saya terhadap perkara itu. Waktu itu, saya masih lagi anggota usrah Gerakan Istimewa Itu (Gerismatu). Dan, sebagai anggota usrah, kami perlu tsiqah dan wala' kepada orang yang lebih mengetahui banyak rahsia gerakan.

Dan, saya berbincang kepada diri, "apa kata, kita menjadi kritikal dalam hal ini. apa reaksi mereka nanti?"

bersambung

Tiada ulasan: