Kelab Peminat

Pandangan hidup 2

Perenggan 3 di dalam kitab Aqaid An-Nasafi

Berkata Ahl al-Haqq - dimuliakan Allah kiranya ia selama-lamanya! -: (Sa)muha haqiqat segala perkara itu thabit adanya dan pengetahuan akan dia sebenarnya, bersalahan dengan qawm Sufasta'iyyah.


Seterusnya Prof Wan menghuraikan mengenai golongan Sufasta’iyyah. Adapun golongan ini, terpecah kepada tiga iaitu –

1)     La adriyyah:
Mereka bersikap agnostik yakni mengatakan bahawa kebenaran yang pasti tidak akan dapat diketahui. Mereka menganggap bahawa setiap perkara itu tidak thabit dan berubah-rubah, umpama sungai yang berubah-ubah arah alirannya. Bahkan dikatakan bahawa tiada yang tetap di alam ini, dan ketidaktetapan itulah ketetapan. Adriyyah itu bermaksud ‘saya tahu.’ Maka, dengan kata frasa Arab La di hadapannya, maka ia bermaksud ‘saya tidak tahu.’

2)     Indiyyah:
Adapun golongan kedua in dah mereka yang bersikap pluralisme, yakni berpendapat bahawa kebenaran itu boleh diketahui dengan pasti, tetapi ia bersifat subjektif dan kebenaran itu bergantung kepada individu. Ini bermakna, bagi mereka, kebenaran itu tidak bersifat universal dan hanya bergantung pada pemikiran dan penerimaan seseorang. Prof Wan menyatakan bahawa golongan ini sangat berpengaruh. Antar abeberapa contoh yang diutarakan adalah:

a.      Pemikiran Karl Marx yang mengatakan bahawa kebenaran itu berpaksikan kepada kedudukan ekonomi dan sosial masing-masing. Yakni, nisbah kebenaran itu bergantung pada kelas.

b.     Gender, yang menisbahkan kebenaran itu kepada jantina. Mereka menganggap bahawa kebenaran itu terletak kepada sesuatu jantina sahaja, kerana keupayaan akal setiap jantina adalah berlainan. Namun, Prof Wan menegaskan bahawa akal yang menerima kebenaran dan mencapai ilmu itu adalah bebas daripada jantina, wang dan harta. Menurut Prof Wan, kadangkala wanita mampu berfikir dengan lebih mendalam berbanding lelaki.

c.      Menganggap bahawa syariah Islam adalah sesuai dengan konteks zaman Rasulullah sahaja. Contoh ini diutarakan kerana terdapat sesetengah golongan yang merasakan bahawa syariat Islam hanya releven semasa zaman Rasulullah dan tidak releven pada masa kini. Mereka menisbahkan kebenaran kepada masa.

3)     Inadiyyah
Golongan yang begitu teruk kebebalan, kedegilan dan kejahilannya. Meminjam kata-kata Prof Wan, ‘kebodohan mereka berlapis-lapis.’ Mereka ini adalah himpunan daripada dua kumpulan yang disebutkan di atas. Mereka tidak mempedulikan kebenaran. Masyarakat Jahiliyyah semasa kehidupan baginda Nabi SAW adalah contoh terbaik untuk golongan ini. Walaupun pada waktu itu, Nabi menunjukkan bukti kebenaran secara emperikal dan hujah yang rasional – namun, mereka tetap menafikannya. Golongan inilah yang merosakkan masyarakat  dan anti-ilmu.

Prof Wan menjelaskan bahawa perkara ini diletakkan pada bahagian awal karya Aqaid An-Nasafi kerana apabila kita menidakkan ilmu, tiada apa akan boleh dicapai. Adapun wahyu pertama yang diturunkan Allah SWT adalah Iqra’ – berkenaan dengan arahan untuk membaca dan menyebut apa yang diketahui oleh manusia. Allah SWT tidak akan membiarkan manusia mencari-cari kebenaran secara sendiri. Ia berbeza dengan faham Barat yang memarahi Tuhan kerana menganggap mereka dicipta tanpa mengetahui tentang kehidupan selepas kematian. Pada faham mereka, sejak manusia itu dilahirkan, manusia hanya menunggu kematian.

Prof Wan menegaskan bahawa ilmu manusia bersifat absolut, objektif, tsabit dan kekal.

Yang penting di dalam Islam, bukannya kesaksamaan (equility) tetapi adalah keadilan (justice). Kita seharusnya mengetahui setiap sesuatu itu ada tempat dan martabatnya. Kita juga perlu memahami pandangan hidup Islam (Islamic Worldview) secara koheran. Sesungguhnya, setiap makhluk itu mempunyai martabatnya.

Di dalam keilmuan Islam, ia melalui jalur riwayat yang mutawatir, di mana jalur itu melalui manusia-manusia yang mustahil akan berbohong. Para sahabat bukan sekadar memainkan peranan sosiologi dalam era awal Islam, tetapi sehingga sekarang, mereka memainkan peranan epistemologi untuk penganut agama Islam selepas zaman Nabi SAW. Tanpa mereka, sudah tentu umat zaman sekarang tidak mempunyai pertalian dengan baginda.

(bersambung)

Tiada ulasan: