Kelab Peminat

Pandangan Hidup 1


Semalam, di dalam kelas pertama Wacana Pandangan Hidup Islam, kami membuka kitab Aqaid An-Nasafi. Prof Syed Naquib al-Attas, yang bertanggungjawab membuat kajian ilmiah terhadap adi karya penting ini mengatakan bahawa ini adalah manuskrip yang paling awal di dalam alam kepulauan Melayu. Menurut bahagian awal buku ini, manuskrip ini telah dibeli oleh Prof Diraja Ungku Aziz dari seorang ilmuan (mungkin juga hartawan) dari Barat.


Prof Wan Mohd Nor yang mengendalikan kuliah memperkatakan bahawa kitab tauhid ini merupakan rakaman pandangan hidup atau worldview masyarakat kepulauan Melayu sekitar kurun ke-13 dan ke-14. Latar pandangan hidup yang telah berupaya menggabung dan menyatupadukan lebih 7000 kepulauan yang dipisahkan oleh lautan - dengan pegangan akidah dan mazhab fiqh yang sama.

An-Nasafi, pengarang kitab ini, mengenal pasti beberapa elemen penting dalam pandangan hidup Islam. Kitab ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu klasik dan sudah tentu menjadi teks pendidikan buat umat Islam Melayu pada ketika itu.

Saya mendapati, kesemua elemen yang disentuh dalam permulaan kitab ini amat penting - sebagai kerangka kukuh yang membina pemikiran dan pandangan insan yang bernama Melayu. Sepanjang perbincangan, saya berkira-kira untuk melaksanakan satu projek mengenai pengenal pastian jati diri Melayu - melalui elemen penting yang membina pandangan hidupnya.

Adapun yang pertama sekali disebutkan di dalam kitab ini, selepas pujian buat Allah dan baginda Nabi, adalah mengenai hakikat atau kebenaran segala perkara itu wujud dan ada. Juga, pengetahuan mengenainya juga boleh diketahui dengan pasti. Di dalam kitab ini, pengarangnya menyebut mengenai terdapatnya segolong manusia yang cuba menafikan keberadaan kebenaran itu. yang digelar Sufastaiyah (The Sophist). Mereka menolak kepastian kebenaran itu, dengan mengatakan bahawa kebenaran itu tidak ada dan tidak dapat diketahui dengan pasti.

Prof Wan memetik pandangan Prof Hamidullah mengenai dua perkara yang menjadi perhatian utama di dalam al-Quran, yakni disebut berulang-ulang kali oleh Allah SWT di dalam firman-Nya. Adapun dua perkara tersebut adalah Nama-nama dan Sifat-sifat-Nya dan istilah-istilah yang merujuk kepada 'ilmu.' Keperluan manusia untuk mengetahui kedua-dua perkara ini adalah untuk mempunyai pandangan hidup dengan yakin, bukan dengan dengan syak, zan dan dugaan semata-mata. Maka, untuk mempunyai keyakinan dalam pandangan hidup itu, tidak lain tidak bukan adalah dengan ilmu.

Di dalam Islam terdapat tiga sumber utama ilmu - pancaindera, khabar sadiq dan akal.

Adapun yang pertama adalah melalui pancaindera. Ia merupakan sumber yang sah untuk hakikat-hakikat yang tertentu dan sumber pancaindera ini mempunyai batas, kerana pancaindera manusia tidak mampu menanggap sesuatu, di luar daripada pancainderanya. Contohnya, penglihatan manusia tidak dapat menyaksikan sejarah yang telah berlalu. Jadi, untuk mengetahui perkara-perkara yang tidak dapat diketahui oleh pancaindera, maka khabar sadiq diperlukan.

Kedua adalah khabar sadiq. Khabar sadiq adalah perkhabaran yang benar daripada para ilmuan dan para anbiya. Para anbiya yang diutuskan oleh Allah SWT mengkhabarkan kepada manusia mengenai perkara-perkara yang ghaib seperti malaikat, syurga dan neraka dan alam akhirat. Khabar sadiq adalah perkhabaran yang diutus melalui wahyu, seperti al-Quran dan as-Sunnah.

Ketiga, pula adalah akal yang salim. Akal yang salim adalah akal yang sihat yang diikat dengan perkara yang koheran (pasti) dan bersifat tauhidik. Di dalam Islam, hujah aqli (akal) yang benar diterima sebagai kebenaran. Sumber akli akan diterima sekiranya hujahnya betul, laporannya an kesimpulannya adalah tepat. Salah satu contoh hujah akli yang tidak tepat adalah konsep Evolusi yang diperkenalkan oleh Charles Darwin. Sungguhpun data-data yang dikumpulkan oleh Darwin masih belum dibuktikan tidak sahih, namun kesimpulannya hujah aklinya tidak tepat. Prof Wan menekankan bahawa jika kita menolak sumber akli, maka dalam pandangan hidup Islam - kita akan kehilangan satu sumber yang penting.

Prof Wan mengkritik pandangan Rosenthal yang mengatakan bahawa sekiranya sesuatu itu kurang disebut di dalam al-Quran, beliau menganggap perkara itu tidak penting. Ini kerana, sesuatu perkara yang tidak banyak disebutkan di dalam al-Quran, adalah perkara yang sudah jelas dan tidak perlu penjelasan yang berulang-ulang lagi. Prof Wan mengambil contoh istilah 'syura', 'negara islam' dan 'wujud.' Malahan, menurut Prof Wan, ada perkara yang disebutkan di dalam al-Quran, namun tidak penting dari konteks pandangan hidup Islam, seperti 'baqarah' (sapi). Sehubungan dengan itu, Prof Wan menganjurkan kami untuk mencari sebab kenapakah beberapa perkara itu disebut atau tidak disebut di dalam al-Quran.

(bersambung)

Tiada ulasan: