Kelab Peminat

Pandangan hidup 4

Gambar ehsan Shafiq Abas

Kemudian, kami membincangkan mengenai beberapa perkara penting yang menjadi dasar pandangan hidup Islam.



Sudah semestinya, sebagai seorang Muslim, Allah SWT merupakan sentral bagi pandangan hidupnya. Manusia mengenali Allah melalui saluran ilmu, yang terdiri daripada tiga saluran yakni - panca indera, khabar sadiq dan akal. Sekiranya mengenali Allah melalui akal, maka ia terbatas. Lebih-lebih lagi dengan panca indera - saluran yang tidak lengkap. Antara kepentingan mengenali Allah SWT adalah supaya kita dapat menjawab beberapa persoalan seperti berikut: adakah Allah mencipta kita dan alam ini, lantas meninggalkannya tanpa mentadbirnya? atau Allah itu Maha Bijaksana kerana mampu mencipta, namun adakah Allah itu baik? Adapun di sinilah peranan sebenar khabar sadiq dalam mengenalkan kita kepada Allah SWT, yakni dengan Nama-nama-Nya (Asma'ul Husna). Tambahan, melalui khabar sadiq juga, kita diberitahu mengenai cara berhubungan dengan-Nya, melalui para Nabi.

Melalui pengetahuan mengenai Nama dan cara berhubungan dengan-Nya, kita akan mengetahui sifat-sifat Allah dan sifat-sifat yang mustahil bagi-Nya. Ia boleh dimisalkan dengan pepatah Inggeris, yang berbunyi - man is known by its name, insan dikenali dengan namanya. Sekiranya Allah itu tidak dikenali, sudah tentu masalah yang besar akan berlaku. Contohnya, pihak Barat melihat bahawa bencana dan kesilapan manusia seperti perang adalah akibat daripada salah faham mereka mengenai sifat-sifat Tuhan. Dengan mengetahui apa sifat Tuhan, ia akan menjadi lorong bagi kita untuk bersangka baik dengan Tuhan. Saya teringat karangan al-Attas di dalam bab Ma'ana Kebahagiaan dan Pengalamannya dalam Islam (yang diterjemahkan oleh Prof Zainiy Uthman) - bahawa segala bencana dan musibah yang melanda insan di dunia ini adalah sebagai ujian dari Tuhan.

Kadangkala, manusia selalu menjadikan Tuhan itu sebagai 'polis dan bomba.' Apabila mereka ditimpa musibah, mereka mengangkat tangan dan 'menelefon' Tuhan dengan harapan Tuhan akan segera datang dan memberikan bantuan. Namun, apabila panggilan mereka tidak 'dijawab', maka mereka mula menuduh Tuhan dan mengatakan Tuhan itu tidak wujud dan tidak berkasih sayang kepada mereka. Namun, perlu diingat, bahawa Tuhan itu bukan bomba bahkan polis! Maka, Dia tidak akan menjawab seperti bomba dan polis. Sesungguhnya, Allah memakbulkan doa hamba-hamba-Nya dan Dia tidak akan memungkiri janji-Nya. Sudah pasti, Allah akan menjawab sebagai rab, sebagai Tuhan terhadap doa dan permintaan hamba-hamba-Nya, kalaupun bukan di sini, sudah tentu Dia akan menjawabnya di sana.

gambar ehsan Hijjaz Hasnan

Adapun yang menjadi tiang kepada pandangan hidup Islam adalah sifat alam ini. Dalam Islam, Muslim diajar bahawa alam ini tidak kekal dan beruabah-ubah. Menariknya, kosmologi alam, menurut Prof Wan, hanya disebut di dalam agama Islam. Ini termasuklah kefahaman dasar yang saintifik, yang dikarang di dalam kitab Aqaid Anasafi  bahawasanya, alam ini dijadikan daripada juzuk-juzuk yang tidak dapat dibahagikan lagi. Kefahaman mengenai alam ini diperoleh daripada makna al-Quran, yang difirmankan Allah kepada manusia.

Adapun pandangan hidup Muslim itu juga menyentuh mengenai sifat insan. Dalam pemahaman Islam, setiap insan itu terdiri dalam pelbagai martabat (kerana terdapat martabat Nabi, Auliya', Ulama' dan manusia biasa) dan jasadnya dicipta bersama ruhnya. Menurut Prof Wan, batin manusia terdiri daripada akal, nafs, qalb dan ruh. Menurut Imam al-Ghazali, empat perkara ini bukan berbeza secara mutlak, namun ia merupakan induk yang satu tetapi mempunyai empat hakikat sampingan yang lain. Contohnya, apabila insan itu menerima sesuatu bersifat keilmuan, maka ia akan memberi impak kepada dimensi akal. Begitu juga dengan keruhanian, impaknya kepada dimensi qalb. Jasad pula, impaknya kepada dimensi nafs. Adapun mengenai diri sendiri, ia memberi impak kepada ruh.

Prof Wan ada memberi misalan mengenai perkara ini. Anda adalah seorang insan, tetapi mempunyai pelbagai peranan dan tanggungjawab. Dalam masa yang sama, anda adalah ayah, anda adalah suami, anda adalah pelajar dan anda juga adalah warganegara. Setiap satunya mempunyai nama yang berlainan dan mempunyai peranan yang berlainan. Setiap peranan yang anda mainkan itu tidak berbeza secara mutlak, malah ia adalah berada di dalam induk yang bernama insan itu. Hal ini diterangkan dengan lebih jelas lagi dalam bidang psikologi ruhani.

Dalam kerangka pandangan hidup Islam, politik juga berdiri sebagai tiangnya. Sebagai umat Islam, kita seharusnya mempunyai imam kerana kita hidup secara organisasi. Dalam hal ini, menurut Prof Wan, kita perlu mempunyai ketua setiap masa. Misalnya, suami merupakan ketua dalam organisasi keluarganya. Sungguhpun suami terlantik secara tabii sebagai ketua sesebuah keluarga, namun dia tidak boleh menggunakan peranannya itu sewenang-wenangnya. Menurut Prof Wan lagi, umat Islam harus mempunyai pemimpin, sungguhpun ia zalim, asalkan ia bukan kafir. Ini kerana, menurut beliau, pemimpin yang zalim tidak harus dijustifikasikan dengan kezalimannya, selagi mana maslahat umat dapat dijaga. Ini kerana, kestabilan sesebuah negara lebih penting untuk pembinaan tamadun. Prof Wan mengemukakan contoh bahawa negara Iraq contoh. Tiga puluh tahun kezaliman Saddam Hussein, menurutnya, lebih baik daripada tiga tahun kekacauan yang berlaku di sana sekarang. Sebagai umat Islam, apabila berhadapan dengan pemimpin yang zalim dari kalangan umatnya, maka kita bertugas untuk mengubah dan menasihatinya - namun janganlah sampai maslahah agama menjadi korban.

Sewaktu perbincangan, Prof Wan menekankan agar umat Islam jangan menjadi ta'asub. Ini kerana, ada mujtahid yang tersilap dalam melakukan ijtihadnya. Jadi, sebagai umat Islam, kita perlulah mengikut apa yang betul, bukan mengikut ketaksubannya. Tambahnya lagi, kepulauan Melayu, menurutnya, mampu menjadi satu pada suatu ketika dahulu kerana mempunyai pemahaman akidah yang sama.

Yang terakhir merupakan komponen kebahagiaan, yang juga menjadi tiang dalam pandangan hidup Islam. Menurut Prof Wan, perihal kebahagiaan ini tidak disebut dalam kitab-kitab lama, tetapi pada zaman ini, ia mula dikaji oleh para ilmuan, seperti al-Attas.

Prof Wan menjelaskan bahawa tujuan mencari kebahagian itu mempunyai tiga tahap utama. Yang pertama, adalah tahap haiwani - manusia mencari tuntutan kebahagiaan ini, baik dari segi hartanya, nafsunya juga emosinya. Pun begitu, masih ramai manusia yang tidak berharta dan dilihat hidup menderita, namun pada hakikatnya mereka bersa bahagia. Ini membawa kepada tujuan kedua dalam pencarian kebahagiaan itu - yakni kebahagiaan intelektual (akli). Para cendekiawan terdahulu mampu hidup bahagia, sungguhpun tidak mempunyai harta dan kesenangan sewaktu hayatnya. Tujuan tertinggi dalam pencarian kebahagiaan adalah kebahagian ruhani. Kebahagian ruhani diperoleh melalui pemahaman secara yakin dan menghidupkan keyakinan itu dalam kehidupannya. Sesungguhnya, lawan keyakinan adalah syak. Prof Wan menjelaskan bahawa apabila kita syak terhadap sesuatu, maka di situlah adanya derita. Apabila syak, manusia tidak pasti apa yang akan terjadi. Penderitaan ini boleh dimisalkan seperti berikut - seorang ibu yang menghantar anaknya ke sekolah, tentu berasa risau dan tidak pasti apakah nasib anaknya di sekolah. Kerisauan dan ketidakpastian merupakan penderitaan yang terpaksa dihadapi oleh ibu tersebut. Sehubungan dengan itu, apa yang diperlukan oleh manusia untuk membina keyakinannya, terutamanya mengenai nasibnya selepas kematian adalah khabar sadiq, yang disampaikan melalui Rasulullah dan para ulama' yang mewarisi ilmu dari Sahabat dan Baginda.


Prof Wan menutup perbincangan ini dengan mengatakan bahawa setiap satu tiang yang mendirikan pandangan hidup Islam itu bakal menjadi peta bagi manusia, supaya manusia tidak akan meraba-raba dan tahu jarak perjalanannya di dunia ini.

Selesai sahaja sesi perbincangan ini, maka ia dibuka kepada persoalan.

p/s: sekiranya ada kekurangan dan kesilapan dalam penyediaan nota ini, harap sahabat yang membaca dapat menegur dan membetulkannya.

Wallahualam.

Tiada ulasan: