Kelab Peminat

Dua Jalan


Kami memulakan tahun 2011 dengan melakukan aktiviti fizikal dan mencabar. Jika melihat Kuala Lumpur menghadap Timur Laut, anda akan melihat sebaris bukit kuartza yang melatari bandar raya. Semalam, hari pertama tahun baru, kami menghabiskan lima puncak bukit yang begitu menduga itu.

Sepanjang pendakian, kami dihadapkan dengan pelbagai pilihan. Ada batu besar yang berada di hadapan, lalu kami terpaksa memilih untuk mengikut jalan kiri atau kanan. Jalan di sebelah kiri terdapat gaung yang begitu dalam. Jalan di sebelah kanan pula terdapat batu yang lebih sukar untuk dipanjat. Ada juga dinding batu yang merintangi perjalanan ke puncak. Lantas, kami diberi dua pilihan yang sukar - yakni memanjatnya seperti cicak, atau menuruni lurah yang curam, sebelum memanjat kembali melalui jalan yang lebih mudah. 

Bukan mudah membuat pilihan. Adapun Bukit Tabur ini adalah bukit yang pertama kali kami daki. Jadi, kami tidak tahu apa yang berada di hadapan kami. Banyak bayangan yang berputar di kepala. Adakah di hadapan sana jurang yang begitu dalam? Adakah dengan melalui jalan yang dipilih ini, pendakian akan menjadi lebih mudah dan selamat?

"Ada dua orang pendaki profesional yang pernah terjatuh ke dalam gaung. Tiga hari kemudian, barulah mayat mereka dijumpai. Sudah berulat," kata Hijjaz. 


Kami meniti lereng bukit berbatu, mencengkamkan tangan kami kuat-kuat pada batu yang tertojol. Kami kami mencari tempat yang cukup-cukup luas untuk dipijaki. Kami terpaksa berkali-kali memusingkan badan supaya bentuk batu yang keras itu selamat untuk dipanjat atau dituruni. Apabila saya menjeling ke bawah, kelihatan pucuk pokok yang sayup-sayup. Angin kuat menampar muka kami sekali-sekala.

Tidak semena-mena, salah seorang ahli kumpulan kami yang hampir-hampir jatuh gaung. Mujur dia sempat berpaut pada tali. Kami berlari membantu. Pendaki lain yang turut sama menyertai pendakian ini, juga segera menghulurkan tangan. Agak menakutkan apabila melihat kerikil-kerikil halus bertaburan dari tempat kami berpijak, jatuh ke jurang yang tidak nampak dasarnya - kerana dilitupi oleh pohon-pohon yang tebal daunnya.
"Sekarang, kita mahu memilih jalan yang mana? Jalan yang mencabar atau jalan yang mudah."

Kami berpandangan sesama sendiri. Ada yang tersengih mendengar persoalan itu. 

Lantas, kami melalui jalan yang kami persetujui. Dengan semangat setiakawan yang kuat, tangan dihulurkan dan bantuan diberi tanpa segan silu. Perasaan gementar dan cuak dihadapi bersama. Walau apa pun cabaran dan dugaan yang datang - jalan itu telah kami pilih. Sungguh, cita-cita kami untuk sampai ke puncak.

***


Tahun 2010 sudah berlalu. Tahun pertama saya berada di Malaysia. Setahun yang lalu, sewaktu bunga api meletup di atas kepala, menyambut ketibaan tahun yang baru, saya berada di dalam pengembaraan, bertemankan insan-insan yang begitu akrab dan mesra, meskipun waktu itu, kami berkenalan untuk kali yang pertama.

Dua minggu kemudian, saya pulang ke Malaysia, melalui Perth. Syahdu rasanya apabila melihat lampu kuning yang bersusun-susun saat kapal terbang mahu mendarat. Setelah hampir tiga tahu berkelana di bumi orang, anak negeri ini pulang ke tanah airnya.

Malam kepulangan saya, emak menghulurkan surat daripada penaja. Saya membuka sampulnya dengan berdebar-debar. Dua bulan sebelum itu, saya ke Sydney untuk menghadiri temu duga bersama penaja - pertemuan untuk menduga saya, sama ada layak atau tidak untuk menjawat jawatan di dalam kompeni.

Namun, panas tidak pernah sampai ke petang. Menjadi pelajar tajaan sebuah kompeni yang berprestij, tidak semestinya melayakkan saya untuk menjadi pekerjanya.

Lantas, saya memilih jalan yang mencabar. Kelulusan saya di universiti barangkali tidak berkaitan langsung dengan jalan yang ingin saya pilih. Saya bermula daripada kosong. 

Dugaan pertama saya sewaktu bulan-bulan awal di Malaysia adalah menghadapi masyarakat sendiri. Saya melakukan perjalanan yang panjang setiap hari, dari Putrajaya ke Setapak dengan menggunakan perkhidmatan awam. Begitu rencam warna masyarakat saya dan ia benar-benar membuka mata saya mengenai realiti yang dihadapi oleh warga ibu kota. 

Saya bekerja di salah sebuah syarikat penerbitan. Syukur, sewaktu saya menyertai aspirasi syarikat ini, pihak pengurusan sedang melaksanakan perubahan dan pembaharuan dasar. Jadi, saya terlibat secara langsung dalam perubahan ini dan diberi ruang untuk menyumbangkan idea, juga tenaga. Al-Ameen, sebuah syarikat sederhana yang suatu hari nanti akan menjadi sebuah syarikat penerbitan kanak-kanak yang besar di tanah air.

Setahun berlalu begitu pantas. Jalan yang saya lalui ini sedikit sebanyak telah mengubah sarwa pandangan saya. Apatah lagi dengan iklim Malaysia yang begitu dekat dan rimbun dengan pepohonan hijau. Di Malaysia, saya berkesempatan bertemu dengan tokoh-tokoh pemikiran yang saya ekori rapat sewaktu bergelar mahasiswa dahulu. Prof Syed Naquib al-Attas, Prof Wan Mohd Nor, juga Dr. Afifi al-Akiti (sudah tentu ramai lagi yang tidak tersebut di sini). Di samping itu, saya bertemu dengan sahabat-sahabat sealiran yang hanya dikenali dalam talian sebelum ini. Shafiq Abas, Shah Kang, Rebecca Ilham dan ramai lagi. Mereka adalah teman-teman seperjuangan yang saya lihat berpontesi menjadi permata berkilau untuk mengkayakan lagi khazanah ketamadunan bangsa.

Saya berfikir dan memuhasabahkan diri. Ternyata tarikh lahir istimewa 31 Disember mempunyai rahsia yang tersendiri. Tarikh 31 Disember 2010 menyingkap pelbagai peristiwa dan kenangan penuh suka dan duka. Setiap kali saya menerima ucapan hari lahir, saya akan merenungi setahun kehidupan saya bersama dengan insan yang mengucapkannya itu. Adakah selama ini, saya menjadi insan yang terbaik buatnya? Allah lebih mengetahui.

Untuk ulang tahun kelahiran kali ini, tiada hadiah yang saya terima. Namun, bagi saya, saya menerima lebih dari segala-galanya. Cinta, kasih sayang dan perhatian - sudah melebihi keperluan material yang selalu sahaja melintas di hati. Buat yang tercinta, terima kasih kerana selama ini sudi menemani insan yang dhaif ini. 


Tahun 2011 pun bermula sebaik sahaja ulang tahun hari lahir saya tamat. Cita-cita, azam dan harapan ditujui dengan kenangan yang dibawa dengan sarat. 

Jika kita melalui jalan selamat yang dijalani oleh ramai orang, adakah kenangannya juga akan sama?

Tiada ulasan: