Kelab Peminat

Islam and Secularism 4



Bagi saya, setiap perkara yang terjadi, setiap keputusan yang kita pilih dan setiap tindakan yang kita buat - bertitik tolak kepada sebab atau sebab-sebab. Saya berfikir kenapa saya begitu berminat untuk menelaah Islam and Secularism.



Pada waktu itu, saya juga didedahkan dengan beberapa karangan besar yang lain. Antaranya karangan Hassan al-Banna dan Syed Qutb yang dibawa oleh sahabat-sahabat saya di dalam gerakan usrah ISMA. Seingat saya, karangan mereka dibincangkan di dalam pertemuan besar atau perbincangan usrah. Antara isi yang dibincangkan adalah Usul 20 (Hassan al-Banna), tafsir fi Zilal-il-Quran terhadap surah Abasa (Syed Qutb) dan beberapa karangan lain. Akan tetapi, agak mengecewakan kerana perbincangan ilmiah mereka hanya dikhususkan kepada mahasiswa yang mahu memberi komitmen terhadap gerak kerja ISMA sahaja. Oleh kerana terdapat konfrontasi saya dengan persatuan itu, maka saya dipinggirkan daripada perbincangan. Tambahan pula, saya mahu memberi komitmen lain yang lebih penting dan lebih berfaedah.

Saya tidak berputus asa mencari pengisian ruhani. Saya menjadi akrab dengan Muhammad Shah, sahabat yang bertanggungjawab membuka sesi perbincangan yang lebih tersusun. Boleh dikatakan, hampir dua hari sekali, sama ada saya atau dia, akan bertandang ke rumah antara kami berdua, membancuh teh atau menyediakan jus dan kami akan berbincang lebih daripada dua jam. Di sini, saya memanfaatkan pembacaan Islam and Secularism saya kepada beliau. Akan tetapi, mengingat kembali perjalanan ini, waktu itu, saya masih lagi mentah. Bukan mudah untuk menghadam fikiran al-Attas. Dalam perbincangan, saya lebih banyak mengutarakan persoalan berbanding memberi penerangan.

Tahun kedua berakhir. Muhammad Shah pulang ke tanah air dan tinggallah saya terkontang-kanting tanpa rakan berbincang secara kerap di awal tahun ketiga. Sungguhpun begitu, saya masih mempunyai saudara Azmi Jamil, sahabat merangkap pembimbing, tempat saya mengadu fikiran dan masalah. Namun, jarak rumah kami agak membataskan pertemuan. Malah, tahun ketiga juga tahun terakhir saya di Adelaide. Banyak masa saya terpaksa difokuskan untuk memahami tugasan akhir tahun geologi yang perlu disiapkan di luar waktu kuliah.

Islam and Secularism masih saya simpan. Saya tidak pulangkan ke Surau Union House, sebaliknya saya anggap ia adalah harta saya sendiri. Terasa bersalah juga, kalau-kalau ada orang yang ingin membaca buah fikiran al-Attas ini juga. Sekali lagi saya ulang membacanya. Mungkin untuk kali ketiga atau entah keberapa. Saya membuat pembacaan secara lompat, yakni tidak mengikut turutan bab yang ada di dalam buku itu. Apabila saya mahu berhujah, saya kembali membaca bab yang saya rasakan berkaitan.

Sehinggalah satu hari, saya dipertemukan dengan Syeikh Haitsam, seorang guru, rakan dan role model. Dia merupakan seorang mahasiswa pengajian Islam, yang mengikuti sistem pengajian pondok lebih daripada 5 tahun di Damsyik, Syria. Di sana, beliau sedang meneruskan pengajian sarjananya. Ketika pertemuan kami di Adelaide, dia sedang bercuti selama 6 bulan, sewaktu musim panas di sana.

"Adakah kita pernah bertemu?" tanya Syeikh Haitsam kepada saya, saat beliau membuka kitab Riyadhus Soliheen di Masjid City, Adelaide.

Saya mengangguk, malu-malu. Wajahnya bercahaya. Orang Lubnan sepertinya mempunyai kulit putih kemerah-merahan dan janggut pandak hitam. Sememangnya saya pernah bertemu dengan beliau, pada tahun pertama lagi. Namun, waktu itu, saya tidak tahu kenapa saya tidak berminat untuk duduk di kuliah selepas isyak yang beliau kendalikan.

Saya kemudian menjadi pendengar setianya yang kuliah selepas isyak. Saya begitu tertarik mengenai perbahasannya mengenai hadis nabi yang menyentuh kelebihan sesuatu amal. Perbincangannya juga bukan perbincangan yang kering, sebaliknya penuh dengan tamsilan dan rujukan silang - membuktikan keluasan ilmu agama yang dipunyainya. Cerita dan kisah, baik kisah silam atau kontemporeri, menjadi hiasan kuliahnya. Tambahan, gaya persembahan dan kefasihan bahasa Inggerisnya begitu menarik perhatian. Kadangkala kami bersama-sama ketawa. Ada ada sekali itu, kami bersama-sama menangis di dalam kuliahnya. Seorang Greek yang menjadi saudara seagama kami, selalu sahaja memuji kepetahan dan ketekunan Syeikh Haitsam dalam menyampaikan kuliah.

Syeikh Haitsam merupakan sosok agamawan yang agak terkenal di Adelaide. Dia adalah seorang ustaz muda. Dia juga merupakan seorang yang begitu komited menggerakkan Jemaah Tabligh di Adelaide. Banyak coretan saya sewaktu mengikutinya sebagai anak murid yang pernah saya muatkan di dalam blog ini (siri makmul).

Pada masa yang sama, saudara Ahmad Aliff dan rakan-rakan rumah Maple (Pidut, Alif Anwar, Azmi, Arshad), mengatur majlis ilmu setiap minggu di rumahnya dan mengeratkan hubungan mahasiswa Malaysia dengan Syeikh Haitsam. Tanpa mereka, barangkali mahasiswa Malaysia di sana sukar untuk mendapat akses ilmu yang disampaikan oleh Syeikh Haitsam.

Sewaktu saya bersendirian dan berfikir di dalam bilik, saya kembali menelaah Islam and Secularism. Sungguh, tahun ketiga dan tahun terakhir saya di Adelaide terasa begitu nikmat dan manis dengan juadah ilmu dan berdamping dengan ilmuan. Entah malam bila, saya kembali membaca ulasan al-Attas mengenai ilmu. Saya baca berkali-kali tanpa jemu. Serentak dengan itu, saya membaca puisi Imam al-Ghazali. Alunan muzik yang melatari puisi yang divideokan itu agak mengharukan. Saya benar-benar terasa seperti Allah SWT telah memimpin jalan menghadapi kehidupan yang mencabar di Adelaide ini. Al-Attas menjelaskan apa pengalaman yang telah saya lalui di dalam Islam and Secularism dan apa yang akan saya hadapi, jika ingin terus dan tetap di jalan ini. Saya benar-benar bersyukur kepada Allah kerana menyelamatkan saya.

Setelah saya menamatkan pengajian dan bergelar sarjana muda, saya mengambil keputusan untuk berkelana seorang diri, mengikut jemaah tabligh selama 20 hari. Saya mahu hidup dalam suasana keIslaman dan 'belajar-belajar' mengenai agama saya. Pengalaman Imam al-Ghazali dalam rihlahnya merupakan sebab utama saya mengambil keputusan ini.

Waktu saya di Melbourne, bersama dengan sahabat-sahabat akrab yang baru saya kenali, Syeikh Haitsam telah bertolak pulang ke Syria untuk meneruskan pengajiannya. Saya tidak sempat untuk mengucapkan selamat jalan dan terima kasih. Sedih juga rasanya kerana tidak dapat berbuat demikian. Saya kembali semula ke Adelaide dan bertemu dengan ayah Syeikh Haitsam, Wassif Kabarra. Dialah yang menyampaikan salam guru saya itu kepada saya dan meminta maaf jika anaknya ada melakukan kesilapan dan keterlanjuran bicara.

Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk memulangkan kembali Islam and Secularism yang saya pinjam sekian lama ke Surau Union House, yang sudah penuh dengan tanda. Ada di antaranya sengaja saya biarkan supaya pembaca akan datang, mengambil perhatian tentang apa yang al-Attas sebutkan di dalam adi karyanya itu. Ternyata, pengalaman ilmu dan kehidupan begitu mengharukan dan begitu mengesankan kehidupan saya. Kehidupan, bukan lagi hitungan masa untuk kembali semula kepada-Nya. Sebaliknya ia adalah usaha yang berterusan untuk kita menyediakan diri dengan selengkapnya tanpa kita melupakan tanggungjawab kita sebagai khalifah untuk memakmurkan muka bumi ini.

Saya kira, tanpa Islam and Secularism, mungkin saya tidak akan mampu memahami pengalaman berharga bernaung di bawah seorang guru dan meneruskan tradisi keislaman yang dibawa oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Al-Attas telah menjelaskan dengan tuntas dan terang, sungguhpun beliau membentangkannya dalam perbincangan yang bersifat akademik dan falsafah. Namun, Allah memberi peluang kepada saya untuk menjalani pengalaman yang begitu berharga yang akan saya kenangi sepanjang kehidupan saya ini.

Tidak mampu saya tuliskan nama semua insan yang memberi pengaruh besar sewaktu saya berada di sana dahulu, baik yang akrab atau yang mengkritik saya. Bagi saya, setiap orang mempunyai peranan yang besar dalam membentuk pemikiran dan peribadi, sungguhpun berbeza kutub dan pendangan. Terima kasih saya ucapkan. Tidak terbalas jasa kalian. Pada Allah sahaja saya berdoa, agar kalian diberikan keselamatan dan senantiasa di bawah bimbingan Allah SWT.

Itulah coretan kehidupan saya bersama Islam and Secularism sewaktu saya menjadi mahasiswa dahulu. Semoga apa yang baik, ambillah sebagai teladan dan yang buruk itu, jadikanlah ia sebagai sempadan. Segala yang baik itu daripada Allah dan yang buruk itu, daripada Allah juga, namun atas kelemahan saya sendiri.

Wallahualam.

Tiada ulasan: