Kelab Peminat

Mawar 3


Kekasihku, malam yang dingin sering membawa aku ke daerah mimpi yang aneh. Di dalam kabut bayangan, aku menerima sekuntum mawar merah yang segar dan mekar. 

Pada bilah dinihari, aku disedarkan dengan sebuah panggilan. Ayah angkatku berbicara dengan nada tertahan-tahan.

"Ibu kita telah tiada."



Aku bersiap. Namun keliru untuk membawa apa yang perlu. Urusan perjalanan akhir ibu kepada ayah angkatku ini sudah tentu sangat berbeza dengan urusan yang biasa aku lalui. Lantas, perlukah aku datang berlenggang ke sana, menyedekahkan salam takziah dan menepuk sekali dua belakang ayah angkatku?

Masa berjalan dengan begitu pantas. Aku sedar yang aku harus bersegera melangkah, sungguhpun aku masih belum menemui apa-apa jawapan terhadap persoalanku itu.

Di satu persimpangan, antara gelap dan terang, tiba-tiba aku disapa. Suara itu menggesaku untuk berhenti. Dadaku berdebar. Keselamatanku diragui.

"Bawalah sekuntum mawar ini ke jasadnya dan katakanlah tentang cinta."

Semuanya berlaku amat pantas. Sedar-sedar, aku kembali berjalan dengan mawar yang berada di tanganku. Kelibat tuan rumah di persimpangan itu pun telah tiada.

"Mendiang ada di biliknya. Dia tenang meninggalkan kita semua," kata ayah angkatku sayu.

Aku ditemaninya menziarahi buat kali terakhir sekujur tubuh yang telah bertarung sekian lama dengan cabaran hari tuanya. Sekuntum mawar merah yang dibalut di dalam kertas, aku letakkan pada dua tangannya yang bertindih di atas perut. Aku tertunduk seorang diri di hadapan keranda. Sewaktu aku usai memberi laluan kepada saudaranya yang lain, aku terpandangkan potret ibu kepada ayah angkatku yang sudah dikalungi bunga putih.

"Urusan pengkebumian bermula pukul 8 pagi nanti."

Tidak lama. Setengah jam kemudian, sebuah kenderaan istimewa akan membawa kami ke sana. Di tanah perkuburan, lahad telah tersedia. Semua hadirin berpakaian hitam. Cuma aku sahaja berpakaian putih.

Seorang paderi membaca peri kehidupannya yang dilalui dengan baik. Saat pintu keranda ditutup, aku sempat menjeling ke arah mawar yang masih terselit pada kedua tangannya yang kaku. Nampaknya, mawar merah itu akan membawanya ke alam seterusnya.

Ayah angkat dan aku - dua insan terakhir yang masih setia di tanah perkuburan itu. Dia memandang ke arah timbunan tanah yang masih merah.

"Aku tidak tahu, apa nasib ibu kita di sana. Dia seorang yang sangat penyayang."

Burung berkicauan pada ranting yang tiada daun, namun lemah sahaja bunyinya. Hawa yang begitu dingin memaksa kami segera pergi.

"Aku sengaja membiarkan mawarmu menemaninya di sana. Tetapi, kau harus terangkan, kenapa kau pilih mawar untuknya."

Aku tidak terus menjawab. Sebetulnya mencari kekuatan.

"Dalam pandangan hidupku, selepas kematian, tiada lagi perjalanan. Mereka akan tinggal di tempat nan abadi. Mereka akan kembali ke Pencipta nan Tunggal, seperti mana datangnya dari Dia yang Esa. Dan, Pencipta akan memberi balasan yang paling baik kepada siapa hamba-Nya yang mencintainya sebenar-benarnya.

"Mawar adalah lambang cinta, dalam diriku, ayah. Wanginya disenangi, lantas ia mudah dimesrai. Merah hatinya tanda betapa hangatnya perasaan sang pencinta. Durinya pelindung saat kuntuman cinta itu ingin diuji. Dan hanya bunga cinta ini sahaja yang mekar, walau diuji dalam apa jua musim pun."

"Orang yang benar-benar bercinta, akankah dia ke syurga?" tanya ayahku.

"Ke mana lagi tempat orang yang mengasihi satu-satunya Tuhan dan hamba-hambanya?"

Seekor kucing tiba-tiba menggesel kakiku dan kaki ayahku dengan manja. Rupanya kucing montel ini, yang hilang pagi tadi, telah mengikut kami menghantar tuannya. Ia mengiau-ngiau seolah-olah ingin mengatakan sesuatu. Namun, aku dan ayah angkatku, langsung tidak memahami. Dari jauh, kelihatan satu kelibat yang berjalan pantas meninggalkan kami.

Tiada ulasan: