Kelab Peminat

DOM

Dari kiri, Saudara Faisal (PKPIM), Lutfi (Pena/Moderator), Termizi (UKM) dan Teja (Al-Ameen)
Semalam, saya menjadi panel untuk Dialog Orang Muda. Pendengarnya terdiri daripada pelbagai latar. Daripada mahasiswa, aktivis bahasa dan ilmuan yang setaraf pejuang. Kami membicarakan mengenai nasib bahasa Melayu yang sekadar melukut di tepi gantang di pusat keilmuan.



Forum ini menghuraikan peri hebatnya bahasa Melayu. Sahabat panel saya menghurai mengenai bahasa Melayu pada abad ke-17 dahulu, pernah dicalonkan sebagai bahasa universal, yakni bahasa yang bakal meniti di bibir-bibir manusia seluruh dunia. Tidak dinafikan, pencalonan itu berdasarkan beberapa kriteria yang amat dominan dalam bahasa Melayu, yakni berupaya menampung kehebatan ilmu yang terkandung dalamnya dan kejelasan dan ketepatan makna pengungkapannya. Ia telah terbukti, apabila bahasa Melayu mempunyai kekuatan tersendiri kerana ia bertindak menyatupadukan bangsa Malaysia selepas merdeka. Bahkan, sebelum kedatangan penjajah lagi, bahasa Melayu berupaya menyatupadukan beratus-ratus etnik yang menduduki kepulauan Melayu, malah diangkat sebagai lingua franca di kota Melaka, kota yang digelar Venice timur.

Saya cuba menyorot pendengar kepada masalah besar yang berlaku di gedung-gedung ilmu. Saya sebenarnya meluahkan rasa sakit hati kerana sering dimomokkan dengan slogan 'menguasai bahasa Inggeris - anda akan berjaya dalam hidup.' Mengenangkan slogan ini diungkapkan oleh mereka yang menduduki posisi penting di universiti, saya gusar retorika ini akan merosakkan akal budi pelajar.

Ada beberapa alasan saya berkata sedemikian.

Saya mempersoalkan kenapa mahasiswa perlu dipaksa untuk menguasai bahasa Inggeris di universiti? Juga, apakah bentuk penguasaan yang dimahukan? Adakah ia sekadar menguasai komunikasi bahasa Inggeris atau menguasai bahasa yang menjadi pintu ilmu nan luas ini?

Saya mendapati, bahasa Inggeris sering dikambinghitamkan untuk memuaskan kehendak komoditi pasaran dan industri. Mahasiswa diberikan janji-janji muluk, kononnya dengan menguasai komunikasi bahasa Inggeris, industri di luar kampus akan menerima dengan tangan yang terbuka. Hakikatnya, tidak sedemikian. Ini disebabkan oleh, tentu sahaja ramai graduan yang boleh berbahasa Inggeris dengan fasih - namun masih menganggur dan berhempas pulas menjual diri di syarikat-syarikat besar. Yang menjadi masalahnya di sini, apabila usaha untuk memuaskan nafsu industri ini terlalu ditekankan, maka bahasa Melayu secara sengaja dan tidak sengaja dipinggirkan. Bahkan, ada pula mulut-mulut lancang yang mengatakan bahasa Melayulah punca mundurnya masyarakat yang menggunakannya sebagai bahasa ibunda.

Maka di sini, saya menegaskan kepada para hadirin bahasa bahasa Inggeris mempunyai peranan yang lebih murni berbanding menjadikan seseorang itu kononnya laku di pasaran. Ia adalah bahasa yang menampung lautan ilmu. Maka, bahasa Inggeris haruslah didekati dengan niat menyelami lautan ilmu yang ditampunginya itu - bukannya didekati untuk keuntungan sementara dan memenuhi kehendak pasaran semasa. Di sini, seorang penuntut ilmu, bahkan seorang naib cancelor harus menyedari bahawa, kewujudan mereka di universiti bukan untuk menjadi keldai atau zombie untuk syarikat-syarikat kapitalis yang tidak mengenal etika dan budaya - tetapi sebagai seorang yang ingin mendaulatkan keilmuan untuk bangsa dan negara.

Saya menyarankan kepada pendengar agar bahasa Inggeris didekati atas dasar keilmuan, tetapi bukan digunakan untuk menggantikan komunikasi bahasa Melayu, yakni bahasa nasional tanah air. Bahasa Melayu mempunyai peranan yang sangat penting dan kritikal untuk menjaga kestabilan negara. Bahkan, bahasa Melayu juga harus diberi ruang untuk diisi dengan istilah bidang keilmuan baru seperti bidang teknologi maklumat, sains tabii dan sebagainya, melalui usaha terjemahan tentunya. Sesungguhnya, ketamadunan sesuatu bangsa itu dipacu dengan memakai bahasa tempatannya - sudah tentu dengan pengukuhan dan bantuan dari bahasa-bahasa kuat yang lain.

Sewaktu giat memberi penerangan, saya ditanya mengenai realiti dunia sekarang yang begitu menuntut manusia menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantara, baik dalam urusan rasmi dan tidak rasmi. Tambahan, saya turut disoal mengenai nasib graduan pengajian Melayu yang seperti sama-sama melukut di tepi gantang dengan bahasanya di dunia kerjayanya.

Saya menerangkan bahawa itu bukanlah suatu isu yang perlu dirisaukan sangat, tetapi ia perlu ditangani dengan jiwa dan upaya yang besar. Ini adalah masalah ekonomi dan perniagaan, bukan masalah bahasa itu sendiri. Jika kita mengabaikan peratusan jawatan kosong di sektor awam, ruang untuk diisi oleh para penutur bahasa Melayu di syarikat swasta amatlah tipis. Ini disebabkan oleh, majikan swasta yang berniaga di tanah air, kebanyakannya tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan perniagaan mereka. Maka, tidak dapat tidak, mahasiswa perlu menguasai komunikasi bahasa Inggeris dan pada masa yang sama - mereka tidak boleh meminggarkan bahasa kebangsaan mereka. Jika ini sukar dilakukan, saya mencadangkan satu jalan lain yang bagi saya lebih efektif.

Orang yang mencintai bahasa kebangsaan seharusnya mula mendirikan syarikat swasta dan menyediakan khidmat pekerjaan swasta kepada pekerja yang mempunyai kecenderungan sama seperti mereka. Ia boleh sahaja di luar konteks dunia penerbitan. Saya menjelaskan bahawa, kita boleh sahaja menubuhkan apa jua syarikat perniagaan dan syarikat itu juga tidak perlu bergantung pun kepada projek dan tender kerajaan.

Syarikat yang baik sebenarnya bermula daripada manusia yang menguruskannya dengan baik. Barulah produk yang baik akan berperanan dan mudah diniagakan di dalam masyarakat. Pengurusan yang baik bermula dengan etika profesional yang ada di dalam syarikat. Para pekerja dan majikan akan berkongsi visi dan misi yang sama - bukan sekadar mengaut keuntungan, tetapi melipatgandakan kebaikan melalui perniagaan yang sama-sama diusahakan. Sudah tentu, aspirasi yang murni itu, salah satu elemennya adalah untuk memartabatkan bahasa Melayu di persada dunia. Dari sebuah syarikat kecil yang mengutamakan bahasa Melayu dalam urusan perniagaannya, ia akan menapak menjadi sebuah syarikat gergasi - yang akan meninggikan kedudukan bahasa Melayu di persada perniagaan antarabangsa.

Barangkali cita-cita ini dilihat terlalu idealistik. Akan tetapi, untuk keluar daripada mentaliti lepasan ijazah yang berjaya adalah yang digaji dan menduduki jawatan yang tersedia di kerajaan - adalah langkah awal yang paling mudah dilakukan. Nasib bahasa Melayu bergantung kepada diri kita sendiri. Jika tidak, kita sendirilah yang merintih di masa hadapan.

Perlu diingat, ini adalah usaha yang boleh dilakukan oleh insan yang berada di luar dunia keilmuan - demi untuk menyelamatkan bahasanya. Jika seseorang itu seorang pejuang ilmu, maka peranannya lebih besar di sebalik gading ilmu itu. Saya menyerahkan itu semua kepada para cendekiawan untuk menyusun intelektualnya.

p/s: terima kasih kepada Zarif, Nazmi dan lain-lain yang mengambil gambar semasa forum. terima kasih kerana sama-sama menyorak dan menepuk tangan di dalam Dewan Orang Muda (meminjam kata-kata Prof Abdullah Hassan). Orang muda kena bersemangat!


p/s: sesiapa yang mahukan rakaman DOM, sila tinggalkan emel di komentar. 

2 ulasan:

LJ Nurhadi Zainol berkata...

nurhadizainol@yahoo.com

Tanpa Nama berkata...

ammarsmkbj@gmail.com