Kelab Peminat

Mawar 2


Kesayuan jelas dari iris biru ayah angkatku ini tatkala dia memerhatikan ibunya yang terlantar itu. Dia anak yang bongsu, bercerai dengan isterinya beberapa tahun lalu dan tinggal berdua dengan ibunya. Aku menjangkakan hubungan mereka sudah tentu begitu akrab.

Tidak ramai penduduk yang aku kenal di sini mahu tinggal bersama dengan anak-anak yang telah besar. Budaya di sini mengkehendaki orang tua menjadi insan yang berdikari. Namun, melihat mereka berdua, bagiku sudah tentu ada jalinan istimewa yang memecah tembok budaya itu.



"Ayah," kataku perlahan seperti membisikkan rahsia. "Aku perlu kembali. Esok, selepas kelas, aku akan terus ke mari semula."

Ayah angkatku mengangguk.

Aku segera usai kerana mahu menunaikan kewajipan maghrib. Mujur masjid tertua di tanah asing ini berada di dalam perjalanan. Selesai berjemaah, seorang lelaki berjanggut pandak dan manis wajahnya melambai tangan dan mengajak kami duduk mengelilinginya.

"Sewaktu Salahuddin menakluki semula kota rebutan - Baitul Maqdis - beliau mengarahkan tenteranya membersihkan al-Aqsa dengan air mawar. Jika dahulu tentera salib menyimbah darah penduduk kota itu dengan hanyir darah, kini ia disucikan dengan wangian mawar pula. Ketahuilah saudara-saudaraku, bahawa dendam tidak akan membawa kita ke mana-mana. Hanya cinta yang mengekalkan kita di sini nanti." Kata-kata seorang Syeikh yang setia memberi kuliah di masjid tertua itu, berdengung-dengung di telingaku, saat aku ingin melabuhkan tirai malam.

Malam semakin kelam. Aku berkelubung di dalam pakaian tebal dan leherku dibalut skaf. Meski musim sejuk sudah usai, sisa kedinginannya masih lagi mengigit. Wajah tua ibu kepada ayah angkatku yang hanya terpejam matanya - terbayang-bayang.

(bersambung)

Tiada ulasan: