Kelab Peminat

Stress

Segala puji bagi Allah, minggu stress ini telah berakhir. Setidak-tidaknya, hujung minggu yang sarat dengan aktiviti luar kerjaya akan menenangkan jiwa serba sedikit. Tertunggu-tunggu kelas pada esok pagi yang bakal membicarakan perihal Kebahagian dan Pengalamannya dalam Islam.



Sepanjang minggu, perasaan saya bercampur-campur. Hubungan dengan manusia lain membuatkan saya mengalami situasi nan rencam. Hidup bermasyarakat dengan insan pelbagai latar dan perangai begitu mempelbagaikan warna kehidupan saya. Terutamanya sekali, tatkala menemukan kejadian yang di luar jangkaan.

Yang paling nikmat adalah apabila saya mendapat ilham dari  untuk memantapkan lagi dunia pendidikan kanak-kanak. Sememangnya tiada apa yang baru untuk diketengahkan, namun apabila mengintai tradisi keilmuan yang dipunyai oleh ketamadunan kita - nampaknya ada manfaat besar yang boleh dikongsikan. Ilham yang datang menusuk di kalbu ini terasa begitu damai dan usaha penyelidikan dibuat dengan begitu bersemangat sekali. Bersusah payah untuk kerja sebegini mampu melupakan masa tidur dan masa makan.

Namun, saya kira, ilham tidak datang bergolek. Ia hadir dengan tekanan. Tekanan yang memaknakan, bak kata Pak Shahnon Ahmad. Tanpa tekanan, ilham tidak akan tumbuh. Bukankah ilham itu mahal harga laksana berlian, yang terhasil apabila karbon dimampatkan dalam suhu yang tertinggi di perut bumi? - saya mengingat diri.

Baru-baru ini, saya terpaksa bersoal jawab dengan seorang sahabat sekerja saya. Soal jawab itu agak tegang kerana ia melibatkan beberapa soal prinsip dan percanggahan pendapat dalam erti kata profesionalisme. Jadi, situasi itu, saya cuba menanganinya secara profesional juga, yakni sebagai staf yang lebih senior di tempat kerja.

Akan tetapi, perkara yang paling sukar dan menyebabkan tekanan adalah mengawal diri. Kadang-kala suara mudah meninggi dan hujah senang sahaja melulu. Menahan adreneline yang cergas menujah jantung begitu menyeksa. Jika dipandang dari sudut metafizik, banyak lagi perkara yang perlu dibendung oleh kalbi. Semua itu ternyata menyesakkan dada - rohani dan jasmani.

Mujur semua itu berlaku di penghujung minggu kerja. Jadi, ketegangan itu akan kendur, saya kira, dengan cuti. Mungkin, dengan cuti ini, masalah yang bakal dihadapi minggu hadapan akan ditangani dengan lebih rasional.

Semoga ketengangan atau istilah terkenalnya - stress - akan cepat berakhir dan hidup berkerja itu akan dijalani dengan bersemangat dan gembira. Insya-Allah.

Tiada ulasan: