Kelab Peminat

Harapan

Ihsan gambar: Hafizul Hilmi

Agak lama tidak menjengah ke ruang pengarangan ini, sementelah kesibukan menguruskan Pesta Buku Kuala Lumpur 2011 untuk Al-Ameen.

Sejujurnya, saya menganggap pesta buku ini sebahagian kehidupan saya. Saya gemar memetik kata-kata Abu Saif, 'erti hidup pada memberi.'

Di sini, saya bertemu manusia yang rencam latar belakang dan sifatnya. Tambahan, tahun ini juga saya menemui pembaca yang telah membeli kumpulan cerpen dan tulisan blog 'Tak Payah Sombong Pun Tak Apa.' Mereka merupakan penelaah hikmah kehidupan yang setia dan mahu berkongsi pengalaman yang sama dengan karya saya. Jutaan terima kasih buat para pembaca yang sanggup mengeluarkan wang untuk mendapatkan naskhah ini. Semoga hikmah dan pengalaman yang saya kongsikan akan memberi manfaat dalam kehidupan. Insya-Allah.



Selain itu, saya turut bertemu dengan para pengarang dan pemikir terkemuka. Isa Kamari, misalnya. Beliau merupakan pengarang profilik dari Singapura yang telah menghasilkan sekalian novel, cerpen, puisi dan drama pentas. Beliau juga merupakan pemenang SEA Writer Award. Saya mengambil peluang untuk berbual panjang dengan beliau, sekitar isu semasa dan isu-isu pengarangan. Tatkala bersama dengan insan besar sebegini, terasa aura mereka menyerap dan semangat untuk menghasilkan karya kembali mekar. InsyaAllah, semoga pesta buku tahun depan, para pembaca setia Muhammad Teja akan mendapatkan tandatangan di dalam nashkah novel pula.

Sengaja saya berkongsi khabar saya di ruang ini. Saya sebenarnya diuji dengan ketidaksihatan fizikal sewaktu pesta buku ini. Agak teruk juga, namun, alhamdulillah, saya telah pulih dan kembali bertugas di booth. Dugaan yang menimpa, membuatkan saya termenung dan berfikir, betapa besarnya kurnia Allah saat sihat dan bertenaga. Setiap helaan nafas, sungguh penting buat kehidupan, sungguhpun, tidak pernah pun kita meminta kepada Allah, untuk setiap udara yang kita sedut setiap hari ini. Betapa nikmat itu terasa besar, tatkala ia ditarik secara tiba-tiba oleh-Nya.

Teringat kata-kata hikmah sahabat saya, Ikhwan Zhaki, bahawa kadangkala kita perlu bersyukur atas nikmat yang tidak diminta, bukan sekadar bersyukur terhadap nikmat yang diberi setelah kita memintanya kepada Allah. Kerana Allah senantiasa memberi kurniaan besar yang selalunya tidak kita sedari.

Perjalanan kehidupan terasa semakin jauh dari kenangan yang indah. Kenangan zaman kanak-kanak. Kenangan zaman persekolahan. Kenangan zaman kampus. Semakin hari terasa semakin sukar, namun kesukaran itulah membuat kita lebih dewasa.

Pada suatu ketika, saya mengingatkan kepada si dia, bahawa dalam kehidupan, kita berkongsi harapan dengan manusia lain. Jadi, janganlah sesekali menyerah kalah dan menghampakan harapan insan yang kita cintai - terutamanya ibu bapa dan anak-anak yang bakal dipelihara nanti. Kata saya padanya, "berbaloikah tindakan kita untuk berputus asa hari ini jika hendak dibandingkan dengan senyuman dan kegembiraan insan yang penting kepada kita suatu nanti?"

Pesta buku selalu memberi kejutan yang bermakna kepada saya. Di sini saya pernah bertemu dengan guru pertama saya. Juga, di sini saya melihat bagaimana bonda saya menguruskan program terbesar negara ini dengan jayanya. Di sinilah saya menemui ramai insan yang saya temui dan belum temui sebelum ini. Di sinilah saya belajar sesuatu supaya dapat melangkah dengan sepertimana hamba yang bernama manusia.

Pesan saya kepada si dia. "Pilihlah jalan cinta. Jalan untuk sampai kepada-Nya. Insya-Allah."

Tiada ulasan: