Kelab Peminat

Glenelg

Saya teruja, tatkala mendapat panggilan telefon dari Alif Anwar, yang mengajak saya ke Glenelg, pantai peranginan yang paling dekat dengan bandar Adelaide. Kami bertemu di dalam tram di Victoria Square, pada jam 6 bersama Azmi, Hijaz dan Syafiq dan tiba di Glenelg, setengah jam kemudian.

Glenelg, mungkin ramai yang tak sedar, jika ejaan 'Glenelg' diterbalikkan, sebutannya masih tetap sama. Tram yang membawa kami tiba di Moseley Square dan saat itu kelihatan selat Vincent yang terbentang ke arah barat di balik jeti. Ramai orang berpapasan, kebanyakannya ahli keluarga yang membawa anak-anak kecil dan juga orang tua-tua, menikmati cuaca petang yang indah. Ada pasangan merpati yang melayah turun dari Hotel Stamford, menuju pasir pantai yang putih. Kelihatan juga anak-anak muda Inggeris yang berlari-lari mengejar sesama sendiri. Barangkali, orang ramai di sini mengambil peluang cuaca baik ini, sepertimana kami juga, kerana sudah lebih 2 minggu Adelaide asyik ditimpa hujan.

Matahari mulai pudar, menanti masa berlabuh di ufuk barat, sedang awan-awan membuka ruang di kiri dan kanan sinarannya, memberi laluan pada pemandangan matahari terbenam yang indah.


"Andai bumi ini Allah ciptakan serba cantik, aman, damai dan tenteram, bagaimana pula nanti keadaan di syurga." Kami mengeluarkan syor bicara ini pada teman-teman yang sibuk mengambil gambar.

Angin dari barat kemudian mengelus manja rambut kami. Apabila kaki kami menjijak pasir pantai yan putih, Azri, Amir dan Fakar menyertai kami. Mereka tiba lebih awal di Glenelg dan sudah menjilat aiskrim Conpenhegan pelbagai perisa berlatarbelakangkan simfoni ombak air pasang.

Kami terpesona. Suria senja memantulkan kontras warna biru langit, biru laut dan kuning pasir pantai. Langit tanpa awan memayungi lautan yang berkilau-kilau, bersaing rona dengan pasir yang sedikit berbukit. Gigi air cuba memanjat kembali beting yang ditinggalkan selama 6 jam sebelum ini.

Para jurugambar yang telah tenggelam dalam asyik dengan kamera masing-masing, sibuk bertukar posisi. Saya dan Azmi berlegar mencari ruang sendiri. Amir dan Fakar pula berjalan kembali ke tram kerana mahu pulang awal.

Saya dan Azmi berdua tak banyak melantunkan bicara kerana mahu menikmati kedamaian tempat pertemuan antara daratan dan lautan ini.

Fikiran saya berlegar. Semalam saya, Azmi, Firdhaus, Hijaz dan Aliph ada berbincang sesuatu yang sungguh bermakna. Saya putarkan kembali layar ingatan dan cuba mengingat perkara yang hangat kami kongsi bersama.

"Apakah yang mengukur cinta?" tanya Azmi pada kami semua dan soalan itu terngiang dalam kepala saya.


Ingatan saya terganggu, melihat berpuluh-puluh camar terbang mengejar langit Glenelg, apabila Alif Anwar menyergah dari belakang. Telatah itu amat melucukan.

Seingat saya, malam itu, kami semua bersepakat dengan satu jawapan. "Cinta bukan sekadar diukur dengan rasa bahagia dan ketenangan apabila kita memperoleh sesuatu. Kejayaan cinta adalah apabila kita berjaya mengikuti panduan agama dalam bercinta. Ini kerana, dalam bercinta, sepasang suami-isteri itu tidak lepas dari pergolakan dan pergeseran. Dengan mengikuti panduan Islamlah, segala urusan kehidupan perkahwinan itu akan lebih teratur. Baik dari sebelum perkahwinan, hatta dalam proses penceraian sekalipun."


Syafiq mengajak kami ke Marina Bay, tempat letak kapal-kapal layar mewah. Namun, petang itu, hanya sebuah Catamaran tinggal. Barangkali kapal-kapal lain sudah menaikkan layar, meluncur di pantai-pantai West Beach, Henley dan Semaphore, yang terletak bersebelahan dengan Glenelg.

Saya memanjangkan fikiran lagi di tepi pantai yang serba tenteram ini. Malam semalam itu juga, kami melanjutkan perbincangan, sementelah Azmi baru pulang dari Malaysia. Banyak benar berita yang dia kongsikan.

"Orang lelaki mempunyai tanggungjawab terhadap wanita. Orang lelakilah yang perlu menjaga dan mendidik wanita." Saya kurang ingat siapa yang mengatakan itu, kerana perbincangan ilmiah malam itu memang benar-benar meriah dan mesra, seumpama ombak yang berjuta tahun lamanya bersahabat dengan pantai. "Jadi, bila lelaki bermasalah, maka wanita juga akan ditimpa masalah. Contohnya, macam masalah sekarang. Sekiranya lelaki tak mengizinkan wanita masuk ke dalam rumahnya, maka masalah fitnah dan khalwat takkan terjadi."

Lantas saya bergurau, "kalau macam tu, bolehlah aku kata kalau lelaki tak layan, wanita tak tergediklah kan?" Ketawa kami berderaian.

Ombak besar bergulung, laju menghempas pantai dan menyelerakkan beberapa ketul kerikil di atas pasir.

"Jadi, untuk menyelesaikan masalah ini, kita perlulah ketuk pintu hati mereka. Pintu hati sang lelaki itu terlebih dahulu." Aliph mengusulkan cadangan. "Allahlah memegang kunci pintu hati. Tugas kita hana mengetuk pintu hati."

"Malah, kita juga perlu menanyakan panduan dan nasihat orang alim mengenai masalah lelaki-wanita ini," cadang Azmi.

Kami berenam berkumpul kembali, bergambar kenang-kenangan di atas tambakan batu. Bongkah batu sebesar manusia diatur kukuh-kukuh untuk menghalang ombak dari menceroboh kawasan Marina Bay.

Setelah puas bermain di atas bongkah-bongkah batu yang besar itu, kami segera melangkah ke jeti, supaya tidak terlepas detik-detik istimewa matahari terbenam. Angin dingin menyeluruhi tubuh kami tatkala kami berjalan ke tengah laut, di atas jeti kayu yang sudah berusia.

"Isteri yang terbaik adalah wanita yang berkehendakkan agama, biar apa pun keadaannya sebelum berkahwin. Isteri yang baik, bukan sekadar lawa, bukan sekadar berharta dan bukan sekadar berketurunan Mat Salleh." Pada malam sebelum kami tiba di Glenelg, begitulah kami merumuskan kata sesama kami.

Senja sudah berlabuh, malam mengambil tempat bersama seribu satu burujnya. Kawan-kawan lain menemankan saya dan Azmi berbuka puasa di Nando's.

Sebelum pulang, saya telah ditinggalkan sebuah nasihat yang amat berguna, yang tak rugi kalau dikongsikan.

"Apabila kita memperkatakan sesuatu yang baik, nescaya Allah akan menguji kita. Maka, berhati-hatilah dengan apa yang ingin dikatakan."

Malam sekembalinya saya dari Glenelg, saya sudah terkenangkan sebuah petang yang menakjubkan di tepi pantai. Petang itu, di bawah matahari yang terbenam, kami telah menyaksikan dua kebesaran Allah.


Hebatnya penciptaan alam ini.

Hebatnya Allah menautkan hati kami semua.

Jurugambar entri ini: Alif Anwar, Syafiq Sirajuddin, Azri, Hijaz Hasnan.

2 ulasan:

John Connor berkata...

Salam.bila nk publish buku syuk?travelog ka bole gak.travelog tarbiyah ka travelog haji ka pon boley.

Muhammad Teja berkata...

insyaAllah.

doa-doakanlah ya. moga dipermudahkan