Kelab Peminat

Sikap 1

Seminggu lagi sebelum pengajian saya di sini tamat.

Seminggu inilah, entah kenapa, saya jadi radang lain macam.

Mungkin sebab semalam. Petang semalam. Petang itu saya terpaksa menemani Mas Makmor, walaupun pada awalnya saya sudah meminta diri padanya. Dia memegang paha saya, menahan saya dan bertanya kenapa. Saya sebenarnya menahan sabar, namun sukar menjelmakan hujah rasional untuknya.

"Saya rasa, di sini, saya tak ada peranan," kata saya.

Sukar juga untuk memahamkan saudara saya dari Riau ini, walaupun kami bercakap dalam bahasa yang sama. Saudara dari Palestin, Brother Yasin, awal-awal lagi telah mengungsi, berlalu tanpa meninggalkan kata-kata. Tindakannya itu, saya jangka, pasti terbuah dari apa yang terdetik dalam hati saya.

Pertama sekali, izinkan saya berkata jujur. Tiga tahun sudah saya berada di sini dan saya kira, saya perlu cakapkannya juga. Malah, ini sudah masuk tahun akhir saya. Andainya hakikat tak tersampai, saya boleh dikirakan sebagai orang yang menyembunyikan kebenaran. Kebenaran itu selalunya pahit untuk ditelan.

Saya tak boleh menyalahkan sesiapa dalam hal ini. Perasaan malu dan terkilan, yang datang menyelinap di dalam hati adalah rasa yang datang sendiri, tanpa saya minta. Sikap kebudak-budakkan, sikap keanak-anakkan dan sikap tak matang mencerminkan ada sesuatu yang tak kena pada falsafah/ideologi/fikrah yang terkandung dalam kepala otak kita. Kecelaruan pemahaman dan penghayatan inilah saya rasa penyakit utama yang melahirkan pesakit-pesakit yang melampaui batas dan adab mahasiswa yang berTuhan dan kononnya faham beragama.

Dalam entri ini, biarlah saya jelaskan simpton-simpton penyakit tersebut, dengan nada 'tamparan.' Ini supaya, bagi yang mengarang dan membaca entri ini, harapnya akan cepat berubah kembali menilai semula apa yang dipegangnya.

Semalam, saya terkedu. Malu amat pada orang yang lebih tua seperti Mas Makmor. Mesyuarat atau dalam bahasa 'Islamik'-nya - ma'syura, hanya dilatari oleh muka-muka Melayu. Terdetik dalam fikiran, "Mana orang lain ni? Mana orang Islam yang lain ni? Apakah organisasi ISSUA sekarang akan bertukar menjadi racial-centric?"

Saya cuba memikirkan kenapa.

Seperti selalunya, saya akan bertandang ke rumah Allah di Universiti of Adelaide, menjalankan kewajipan. Surau Union House, sungguhpun telah mengalami pengubahsuaian fizikal, namun rohaninya masih berada di takuk lama. Ada kawan-kawan sebangsa sebahasa terbungkang dan meniarap di belakang. Ada yang tidur berdengkur. Ada yang duduk-duduk bersembang sambil bermain iPhone. Terdengar juga ketawa kik kik kik dari tirai belakang. Solat jemaah di depan semestinya terganggu.

Sebelum saya saksikan semua itu, ada sesuatu yang lebih mengejutkan saya tatkala saya melangkah masuk ke dalam surau Uni of Adelaide ini. Tabung kutipan derma mangsa gempa bumi Padang telah bertambah. Satunya, yang kotak itu, saya tahu ia memang milik saudara-saudara dari Indonesia. Yang baru ditambah ini, yang dalam bentuk tin Milo itu, milik kawan-kawan dari sebuah pertubuhan tersohor mahasiswa Malaysia di Adelaide. Saya bertanya kepada diri sendiri, "apakah keperluan meletakkan tabung lagi, sedangkan yang sedia ada pun tak penuh-penuh?" "Kenapa nak mewujudkan tabung dari orang Malaysia untuk diberikan kepada saudara Indonesia, sedangkan boleh sahaja kita menderma terus buat saudara Indonesia yang terlebih dahulu menyediakan tabungnya?"

Saya geleng kepala.

Saya merenung hari-hari yang telah berlalu. Hari yang di mana masanya amat pantas, sampai saya sendiri gagal merakam memori yang indah-indah untuk saya bawa pulang. Yang tersimpan hanya memori yang menyakitkan hati, dek kekurangan adab dan perangai yang terjelma kerana pandangan dan pemahaman yang salah pada takrif beragama dan berpendidikan.

Saya pernah bertanya pada diri, "Inikah yang diminta oleh pihak penaja buat kami yang belajar di oversea ini?"

Apa yang saya kesalkan, banyak aktiviti yang dijalankan di sini, menyekat perhubungan dengan rakan-rakan tempatan Australia, terutamanya yang sama agama. Mujur bagi saya, kesedaran ini datang di waktu akhir semester, namun, itu sudah terlambat. Sangat-sangat terlambat.

Mahasiswa Melayu Malaysia memang banyak melakukan aktiviti kemahasiswaan. Ya, berlambak aktivitinya. Aktivitinya, kalau yang kononnya 'faham' itu, akan mengadakan bernada 'Islami,' meskipun ia sebenarnya adalah ritual doktrinisasi atau program penumpulan akal. Yang dilebelkan 'tak faham' pula, lebih cenderung pada aktiviti yang kurang ilmiah, yang tak serius dan tak memberi pulangan pada jiwa atau pemikiran andai tenaga dan masa dikorbankan. Atau mudah kata, aktiviti yang mengagung-agungkan hiburan.

Namun, baik yang bernada Islami atau tidak, saya kesani, aktiviti itu semuanya terlingkung dalam lingkaran kulit sawo matang, mata bundar, hidung penyek, tudung 60 inci, selipar jepun dan t-shirt polo, t-shirt wanita muslimah dan seluar jeans. Jarang sekali aktiviti yang melibatkan orang yang berbahasa Inggeris, yang pesertanya terdiri dari bermacam-macam warna dan bentuk hidung. Oh, kalau adapun, mungkin ia adalah siri lecture akademik yang sememangnya perlu dihadiri.

Pendek kata, aktiviti kita masih dalam sungkupan tempurung rasis. Bergiat cergas umpama katak-katak dalam akuarium, nampak kehebatan di luar, namun tak mahu melompat keluar mengambil manfaat darinya. Malah, di dalamnya, kita bertumbuk, berterajang, menguak, mengodek, mencelepak sesama sendiri. Masih lagi takut untuk meneroka amfibia lain yang bukan berwarna hijau.

Saya mengeluh. Mengeluh berat.

Saya kasihan melihat Mas Makmor yang hanya tertunduk dan malu-malu terpaksa mengangkat tangan ketika mesyuarat agung semalam, mengikut pilihan yang saya lakukan. Terasa orang tua itu dipaksa untuk menjadi budak hingusan di kalangan pelajar-pelajar yang sakit falsafah pendidikannya.

Adakah patut pos yang penting dalam organisasi yang membela agama di Universiti, dipilih dengan penuh riang ketawa, seolah tanggungjawab itu sebuah hiburan dan gurau senda? Inikah yang kita namakan kejayaan dalam berpersatuan, apabila kita dengan semangat ukhwah rasis, mendominasi medan pertemuan pelbagai bangsa ini di atas nama agama ini, dan mengkesampingkan saudara seagama kita yang lain?

Kalau yang membawa ukhwah rasis ini adalah mereka yang berkaliber, yang mengerti selok-belok politik mahasiswa, yang tahu mengimarahkan surau Union House dengan betul, saya kira, Pak-Pak Arab atau Sudara-Sudara Indon, pasti tak kisah sangat. Malah saya jamin, merekalah yang akan berbondong-bondong mengangkat tangan untuk mengundi. Ini, yang datang, masih lagi terbawa-bawa budaya sekolah menengah yang mengada-ngada. Bukan sahaja memalukan bangsa, bahkan menyakitkan hati buat mereka yang tahu beradab dan berperangai sebagai mahasiswa.

Dua tiga perkara yang saya jelaskan dengan nada 'penampar' adalah rentetan dari kemelut jiwa dan pemikiran yang melanda mahasiswa Melayu di Adelaide. Ada banyak lagi simpton-simpton yang boleh saya ketengahkan untuk kita semua kenal pasti apakah puncanya. Namun, biarlah ini menjadi permulaan sebuah epik revolusi dalam sikap kita sebagai mahasiswa terpilih, yang tahu kita ini dipilih Allah untuk ke bumi Adelaide ini.

Saya akan teruskan perbincangan ini, dalam entri seterusnya kelak. InsyaAllah.

Buat yang tak senang duduk atau terasa puas dengan karangan saya ini, cuba anda tarik nafas dahulu. Ambil pedoman dari tulisan blog ini, sebelum anda membambu saya dengan komen-komen.

(bersambung)

10 ulasan:

aLiph aL Turkistani berkata...

Anda benar..
Melayu di Adelaide memang racist.. Aku pun racist sket2 gak..
kena istigfar banyak2 la bro..
sebab nabi s.a.w dan sahabat r.hum tidak pernah racist sama sekali.. bila kita racist even dalam agama pun, kita sebenarnya telah menghidupkan sikap jahiliyah dalam diri..
kita sebenarnya telah ditipu syaitan..
berdoalah supaya semua umat Islam faham maksud agama..

Targhib : And hold fast, all of you together to the Deen of Allah, and not divided among yourselves. (Ali-imran 3: 103)

ihsan_huhu berkata...

tuh r aku kje smlm kl x leh gak aku menyapot AGM smlm.

selamat dibambu hahah

FakirFikir berkata...

Point yang baik. Menujah akal, membongkar rahsia.

Izrul Zainal Abidin berkata...

Ulasan yg baik..

Usah terlalu terbeban dengan perkara yang tidak boleh diubah.. barangkali dengan penulisan di ruangan ini dpt memberi lebih manfaat..

Teruskan berjuang.. nikmatilah saat2 akhir sebagai student.. cabaran di luar sana lebih hebat..

Tanpa Nama berkata...

Salam,
Saya faham dan noted tentang apa yang diperkatakan saudara. tapi yang saya baca hanyalah renungan, rintihan, kritikan dan tiadanya jalan penyelesaian atau cara pembaikan. tidak saya rasa tertampar di situ, sebab yang pertama saya lihat ialah diri anda sendiri.

Manusia itu serba lemah. Itu perlunya pada sikap tegur menegur, atau dalam bahasa 'Islami'nya amar ma'ruf, nahi mungkar. Tapi lebih baik kalau teguran itu besertakan cadangan yang lebih baik. Janganlah teguran itu bersifat retorik, tapi tidak pernah nak memahami atau mendalami individu atau organisasi yang telah melakukan sedaya upaya mereka untuk mengubah keadaan. Bercakap sebagai orang luar yang hanya memerhati sambil buat kesimpulan mmg senang.

Cuma satu yang ingin saya sampaikan. Kalau lah anda faham apa yang sebenarnya berlaku pada ISSUA dan sangat mengambil berat isu ini, bukan lepas AGM hari itu sahaja anda bersuara. Saya tahu komen saya lain dengan isu dan persoalan yang anda cuba sampaikan which is ttg Melayu Adelaide. Cuma komen saya berat kepada isu ISSUA yang dijadikan contoh 'upfront' yang di'highlight' ttg teruk betul kebanyakan mahasiswa melayu ni.

Sungguh, point of view anda mmg benar. kami pun dah lama memikirkan masalah yang sama. Kami yang berada di dalam komiti lebih terasa. Manakan tidak, hak-hak student bangsa lain mungkin sahaja terabai dengan dominasi Melayu di dalam persatuan. Apa akan kami nak jawab dengan Allah nanti. Kami dah fikir tentang semua itu. Tapi ISSUA atau setiap organisasi lain perlukan bantuan tangan yakni mereka yang bergerak. Mungkin kami tidak mampu mencapai 'locals' dan anda mampu. Bukankah menolong itu lebih baik? Bukannya menegur, tapi tak pernah terjun dalam medan sama-sama membantu dan memperbetul.

Seorang hanya akan rasa dirinya tiada peranan bilamana dia melakukan sesuatu dengan tujuan yang salah. If you want to change the world, start with yourself. Yang dapat saya lihat, organisasi anda pun di'melayu'kan juga. tidak saya nampak bezanya di situ. Hebatnya anda berbicara ttg isu ini di blog, saya harap dapat diterjemahkan kepada amal. Kalau bukan di sini, di Malaysia.

Saya tidak mahu berbincang tentang jemaah tersohor itu. Niat mereka meletakkan tabung itu bukan untuk anda nilai tapi Allah. Mungkin mereka terlepas pandang. Ada anda sampaikan dengan lisan pandangan anda kepada mereka? ataupun hanya ingin berblog dan menambah isi kandungan entry? Isu jemaah tu terpulang kepada individu untuk memilih. Saya rasa jika sudah sampai ke sini, setiap individu adalah seorang intelek yang bijak memilih. Dipilih dan hanya mengikut arus adalah satu perkara yang bodoh. Indoktrinasi anda kata? Janganlah begitu. 'Berbaik sangka'nya anda. Jangan berkata tentang apa yang tidak anda tahu. Sekurang-kurangnya, mereka dah jalankan tugas mereka menyampaikan ttg Islam kepada orang 'Melayu', menyedarkan kaum 'Melayu' tentang perlunya keutuhan dalam membina hubungan dengan Allah. Meningkatkan 'izzah Islam dalam diri 'Melayu'. Tidak semua yang datang ke Adelaide sedar ttg Islam seperti anda walaupun telah lama bergelar seorang Muslim.

Persoalan yang lebih baik ialah, anda yang faham Islam ni sudah jalankan tugas anda sebagai seorang Muslim yang menyampaikan? Apa khabar orang sekeliling anda?

Muhammad Teja berkata...

Tanpa nama,

Sungguh panjang sekali komentar anda, namun tidak berani menonjolkan nama.

Hakikatnya, kebenaran itu bernama.

Saya sedar kelemahan saya, sebab itulah saya menegur di sini di blog saya, dengan nama saya terpampang jelas. Ini supaya, orang boleh nilai apa yang saya katakan, dan macam saudara/i kata, boleh nilai diri saya yang serba kurang ini. Apa yang tak betul, tegur/debat/marah kepada saya. Apa yang betul itulah yang perlu kita utamakan.

Saya ketengahkan isu ISSUA ini kerana ia adalah kemuncak perangai yang saya lihat yang berlaku dalam diri bangsa kita. Hakikatnya, banyak lagi perkara sebegini berlaku, namun kali ini, apa yang terjadi benar-benar kronik - dan saya melihat isu ini perlu ditegur secara terbuka.

Anda menyentuh mengenai organisasi saya, ya benar ia adalah dalam lingkungan Melayu. Namun, lingkaran yang saya tubuhkan adalah lingkaran bahasa dan sastera. Kalau ada orang lain yang berbahasa Melayu dan BUKAN MELAYU, dan BERMINAT dengan Bahasa Melayu, mereka amat dialu-alukan. Eh, eh, jangan melatah mengatakan lingkaran ini terlingkar dalam orang Melayu sahaja. Dekan International Student Uni of Adelaide juga ada bertemu dengan pihak kami, berbincang mengenai bahasa dan produk yang kami hasilkan. Hatta Pak Guard di Village pun mendapat manfaat produk Bahasa Melayu yang lingkaran kami hasilkan. Mungkin kami tak mendabik dada yang ada Caucasian di dalam lingkaran yang saudara/i kata 'melayu' ini, kerana kami bukannya bersikap nak tunjuk ahli kami yang ramai. Kami logo pun tak ada, sebab kami tak mahu hadkan dalam lingkungan persatuan/jemaah. Kami berniat untuk menyebarkan dan memartabatkan Bahasa Melayu seluas-luasnya.

Ya, tentang tabung itu, saya tak tegur secara lisan kepada yang berkenaan. Terima kasih kerana memberi teguran.

Namun, niat ikhlaslah pada Allah macam mana pun, tapi, kalau salah cara/amal-nya tak berguna juga.

Jemaah? Saudara/i harap tunggu dulu. Saya tak mahu membongkar isu ini sampai entri saya berjela-jela panjangnya. Memilih? Adakah anda pasti orang memilih atau orang 'dipaksa' memilih?

Jalan keluar? Kalau saya tak tahu jalan keluar, buat apa saya tulis entri ini. Itu bising burung murai namanya. Namun, jalan keluar yang paling awal adalah kesedaran. Dengan menyampaikan apa yang berlaku, harapnya terdetik kesedaran.

Mereka menyedarkan orang Melayu tentang Islam? Saya simpan kata saudara/i itu. Simpan supaya nanti, bila saya pulang ke Malaysia, atau kalau ada kesempatan di sini, saya nak tanyakan pada orang alim 'ulama, cendekiawan agama, ahli falsafah agama apa kata mereka tentang jemaah 'kita' ini.

Persoalan akhir saudara/i seolah-olah menyuruh saya mengisytiharkan apa yang telah saya buat. Memancing saya supaya mengatakan dengan mendabik dada.

Baik, saya tahu dengan upaya saya, dengan kelemahan saya banyak yang saya tak mampu buat. Orang sekeliling saya? Sudah semestinya bermasalah dan perlu ditegur di sini, sebab saya ada kekuatan di sini, dengan berblog. Mungkin saudara/i bermasalah itu dan membaca entri ini. Alhamdulillah, sampai juga apa yang ingin saya sampaikan.

Pinta saya pada saudara/i, jangan melatah dahulu. Jangan hadang cahaya kebenaran dengan sikap kita dengan rasa 'i'm holier than thou.'

Saya dengan rendah diri meminta saudara/i setia membaca siri entri sikap ini, sampai ke penghujungnya. Supaya kita nampak perkara ini satu persatu. Ini kerana, ada pembaca lain yang mengambil manfaat dan saya tak mahu mengabaikan mereka.

Satu persatu. Untuk dihadam. Bukan untuk kalut melatah.

Muhammad Teja berkata...

Untuk kebaikan semua, saya hendak tampilkan pandanga Imam Al-Ghazali mengenai isu 'siapa yang bercakap, apa yang dia cakap.'

-dari blog rausyanfikir.com

Imam al-Ghazali sendiri dalam Munqidh min al-Dhalal mengupas kata hikmah Saidina Ali r.a:


" …This is the practice of those dim-witted men who know the truth by men, and not men by the truth. The intelligent man, on the contrary, follows the advice of the Master of the Intelligent, Ali–God be pleased with him!–where he says: “Do not know the truth by men, but rather, know the truth and you will know its adherents.” The intelligent man, therefore, first knows the truth, then he considers what is actually said by someone. If it is true, he accepts it, whether the speaker be wrong or right in other matters. Indeed, such a man will often be intent on extracting what is true from the involved utterances of the erring, since he is aware that gold is usually found mixed with dirt. …"

http://rausyanfikir.com/2009/10/panas-dikritik.html

aLturkistani berkata...

"Sekurang-kurangnya, mereka dah jalankan tugas mereka menyampaikan ttg Islam kepada orang 'Melayu', menyedarkan kaum 'Melayu' tentang perlunya keutuhan dalam membina hubungan dengan Allah. Meningkatkan 'izzah Islam dalam diri 'Melayu'. Tidak semua yang datang ke Adelaide sedar ttg Islam seperti anda walaupun telah lama bergelar seorang Muslim."

Alhamdulillah.
Baguslah.Teruskan "sedarkan" org2 Melayu.

TAPI...
Jangan lupakan local di sini. Mereka pun Muslim. They deserve the right like Melayu as well.

TAPI..
Jangan sampai taksub jemaah sehingga hilang Islam di dalamnya.

TAPI..
Jangan sampai terbit rasa asabiyah. Cth : mendulukan "gang" sendiri dulu, memuliakan "gang" sendiri lebih dari orang lain.

TAPI..
Jangan sampai limitkan Melayu sebagai matlamat sahaja.

PERSOALAN???
Adakah nabi s.a.w dan sahabat ra.hum sedarkan "gang" dia je?

PERSOALAN???
Adakah dakwah nabi s.a.w dan sahabat ra.hum menggunakan teori "sekurang-kurangnya"?

PERSOALAN???
Adakah Melayu boleh jadi Muslim jika nabi s.a.w dan sahabat ra.hum menggunakan teori "gang" dan "sekurang-kurangnya"?

PERSOALAN???
Sampai bila hendak bersama Melayu saja?

PERSOALAN???

Banyak boleh dipersoalkan. Terlalu banyak.

Kita lihat contoh nabi s.a.w dan sahabat ra.hum. Adakah mereka racist?

Jangan guna akal dalam mencari wasilah.

Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku. Selamatkan seluruh umat nabiku sehingga bayi terakhir sebelum hari kiamat. Peliharalah aku dari penyakit asabiyah.Amin..

Targhib:

Imam Malik says that the following saying of Rasulullah s.a.w has been conveyed to me : "I have been sent for the PERFECTION of good conduct." (Hadis Hasan from Muatta' Imam Malik)

X2 berkata...

"Sudara-Sudara Indon"
sekadar bertanya mengenai bahasa.adakah Indon itu ialah Indonesia.Bukan apa.Saudara kita dari Indonesia kurang senang jika mereka dibahasakan dengan Indon.Takut ada saudara kita dari Indonesia terasa dengan perkataan Indon.Mungkin sekadar masalah kecil dan tak perlulah dipanjangkan.

Muhammad Teja berkata...

X2,

Saya setuju dengan anda. Namun, kebiasaan kami di sini, jika berbual sesama orang Melayu, kami bahasakan mereka Indon. Tapi, tak pernah pula kami tahu yang mereka terasa kalau mendengar panggilan Indon itu.

Terima kasih X2 atas teguran. InsyaAllah, kami akan lebih berhati-hati dalam hal ini.