Dan sememangnya, dalam susuk-susuk kehidupan yang semakin lama semakin menghampiri kelemahan ini, kita masih tegar mencari sudut-sudut untuk kita penuhi dengan khazanah dan harta yang amat bernilai buat jiwa.
Dan, kemewahan yang kita sengaja cari dan letakkan dalam setiap juzuk masa yang kita tempuh itu; merupakan sesuatu yang hanya datang cuma sekali.
Dan, sudah pasti ia tidak akan kembali dengan rupa, gaya dan cerita yang sama, di masa akan datang kerana ia akan menjadi kisah nan silam, yang kukuh dalam ingatan dan perasaan.
Kami mencari sesuatu yang lain, sesuatu yang luar dari biasa dan sesuatu yang boleh dikatakan aneh walaupun taklah sepelik mana. Sudah semestinya yang lain itu, yang luar biasa itu dan yang aneh itu kami tegar lakukan.
Sungguh, walaupun sudah beberapa hari ia berlalu, ia masih hidup segar dalam ingatan, bermain dalam liku-liku perasaan dengan bunga-bunga kegembiraan dan cahaya kebahagiaan yang terang-benderang.
Pada siapa lagi untukku berterima kasih, atau lebih mulia lagi kalau aku katakan syukur, jika bukan pada Tuhan, yang mentakdirkan, yang menyusun, yang merancang dan mengkehendakkan semua ini terjadi.
Alhamdulillah.
******
Dan sudah semestinya benar kalimah "Kita merancang, Allah juga merancang. Sebaik-baik perancangan adalah perancangan Allah." Aku menyingkap makna kata-kata itu, tatkala dia mengkhabarkan kepulangannya ke tanah air waktu hari raya ini. Sungguh, aku terkejut, sedih bercampur gembira. Mana tidaknya, siapa lagi yang akan bersama-sama meraikan kegemilangan sambutan ini, melainkan orang yang telah sabar dan gigih membentukku. Aku dapat rasakan kesunyian beraya tanpanya terrencana di dalam kotak fikiran, tetapi Allah juga merancang untukku, perasaanku dan untung nasibku.
Pada masa yang sama, sebagai pelajar semester akhir, aku perlu menyiapkan tugasan literature review yang sepatutnya aku habiskan lebih awal. Padan muka aku, inilah padahnya bertangguh. Kalau kutahu akhir bulan Ramadhan tidak akan menjadi sesibuk ini, nescaya aku akan merancang untuk menyiapkannya 2-3 minggu lebih awal. Bukan apa. Aku ini pun bukannya pakar dalam selok-belok mengarang Academic English, tambahan teori-teori Orogeni Intraplat (Intraplate Orogeny) atau Penggunungan antara Plat; masih belum kuhadam betul-betul dalam kepala. Malah, sekali-sekala, bila kawan-kawan geologiku mengajakku berbual, sudah pasti aku menukar isi yang telah aku rancang untuk tulis. Dan, aku berulang-kali bersusah payah, untuk kembali menguliti 14 Jurnal dan melakukan cross-refferences, menggandingkan dengan input dan pencerahan yang diberikan oleh pensyarah dan membina sebuah lagi model tentang proses yang menyebabkan penggunungan di tengah benua Australia itu terjadi.
Bekerja pada saat-saat akhir (yang juga menjadi kebiasaan buat mana-mana pelajar pun) mengakibatkan stress. Terasa tidurku sentiasa tak pernah cukup. Terasa hati ini mudah benar naik darah. Terasa mudah sahaja mulut ini melakukan umpatan. Sungguhpun, waktu itu, semua umat Islam masih berada di dalam madrasah Ramadhan. Kalau diikutkan nafsu, tak bergelar graduan Ramadhanlah aku!
Kemudian, dengan pelbagai perasaan yang bergelombang, datang pula hari raya. Aku berjaya menyiapkan tugasan akhir itu dan menghantarnya dengan penuh rasa bangga. Tetapi, hari sudah melangkaui hari Jumaat - tinggal 1 hari lagi untuk hari raya. Aku menjadi cemas. Mana tidaknya, seluarku yang sering terkoyak di lutut (al-maklumlah; rock kapak), juga pakaian-pakaian yang biasa aku pakai, perlu diganti dan dibeli yang baharu. Aku juga merancang untuk menyambut hari raya ini dengan pakaian yang terbaik yang aku punyai, dan pada pandangan aku, baju yang baru dibeli adalah baju yang terbaik. Namun, rancanganku hanya tinggal rancangan. Malam setelah aku menghantar tugasan itu, Hijaz, Ikhwan, Azam dan juga aku merebut peluang terakhir beriktikaf di Al-Khalil (citra cintanya yang akan aku kongsikan kemudian), dan seusai subuh, kami terlelap sampailah tengah hari. Bangun sahaja dengan mata yang tertusuk cahaya suria, aku berpisat-pisat melangkah dan bersiap. Ada yang lebih prioriti berbanding baju baru dan seluar baru. Dan, itu aku perlu laksanakannya kerana bagiku, mengotakan janji akan mengatasi segala perancangan yang telah aku buat selama ini.
Aku susunkan kembali aktiviti yang perlu aku jalani pada hari Sabtu yang sudah lewat ini. Ke masjid City untuk mengemas, ke Central Market membeli barang, ke SQ untuk bertakbir raya dan ke Maple untuk menyambut hari raya secara berjemaah dengan kariah di situ. Namun itu hanyalah sekadar perancangan seorang manusia.
Telefonku tiba-tiba berbunyi.
"Malam ini kita tengok anak bulan. Hang boleh pasti ke kita raya esok, kalau anak bulan tak nampak?" Suara itu tegas menegaskan. "Takkan kita nak bertakbir kalau kita sendiri tak tahu bila hari raya." Waktu itu, aku sedang memberus kanvas yang bakal menjadi lapik orang bersolat untuk jemaah yang melimpah ke luar masjid City.
Aku, Hijaz dan kawan-kawan Singapura yang lain segera menyiapkan dan mengemas masjid. Kanvas biru dibentangkan di kiri dan kanan bangunan solat utama, tikar-tikar yang baru dibeli dari Malaysia dihamparkan dan batu-bata yang berselerak kami susunkan. Ada anak-anak muda Melayu Singapura membersihkan ruang solat dengan pembersih vakum.
Nampaknya, rancanganku terpaksa diubah lagi. Mesti kena tengok anak bulan. Aku sendiri belum pernah berpengalaman meneropong anak bulan yang orang kata sukar dilihat itu. Kata orang, ia seolah-olah selembar benang yang bercahaya di langit malam dan dikelilingi oleh bintang-bintang. Aku mengumpulkan rakan-rakan dan pukul lima kami sudah bersedia untuk ekspedisi ke West Beach.
Petang itu, setelah aku membeli sekotak kentang yang berharga $2 dan setelah aku mencuci bilik air, kami bersedia untuk ke sana, untuk meneropong anak bulan, buat pertama kalinya di negeri orang. Sudah semestinya kami juga mahu bersama-sama dalam menentukan bilakah jatuhnya hari raya tahun ini.
Dan Allahlah sebaik-baik perancang.
(bersambung)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan