Kelab Peminat

Merayakan nostalgia 1


Kalau aku membuat sifir dalam alam memoriku, masjid telah memberi pengaruh yang besar dalam kehidupanku selama ini. Dari surau berek polis yang Arwah Pak Amran sering laungkan azan, ke Surau Kampung Jawa tempat kariah Bagan Luar berkumpul, Masjid Telaga Air yang mempunyai khutbah 2 bahasa (Melayu dan Tamil), Surau Seksyen 6, Kota Damansara yang meriah selalu, sehinggalah masjid-masjid yang berada di sini, di Adelaide ini. Bolehlah aku katakan yang masjid ini tidak dapat tidak, membentuk peribadi individu yang mengunjunginya, termasuk diriku.

Dan sekarang, apabila aku merenung rantaian memori silamku, ternyata aku terasa sangat perlu menghargai apa yang sedang dan akan berlaku di sini. Tak sangka, tinggal beberapa hari lagi hari-hari Ramadhan terakhirku di sini, sebelum kami semua menyambut hari raya, kemudian pulang ke Malaysia, dan mungkin tidak akan kembali ke sini lagi.

Ya, mungkin tidak akan kembali lagi di sini, di Adelaide ini, untuk meyambut Ramadhan dan sekaligus menyambut Hari Raya yang penuh gilang-gemilang itu.

Masjid Adelaide City, masjid yang berjarak 7 minit berjalan kaki dari The Village, merupakan rumah Allah yang selalu sahaja menggamit dalam kepala.

Mana tidaknya, saat aku berada di dalam ruang solat untuk bersolat Zuhur, waktu itulah cahaya matahari menujah masuk melalui tingkap kaca kuning dan mencerahkan saf pertama. Aku dapat rasakan, cahaya matahari yang masuk melalui bangunan berbentuk segi empat sama ini, seolah-olah cahaya rahmat yang Allah yang memancar dari langit, masuk ke dalam masjid, dan menyirami hamba-Nya yang mengabdikan diri. Seringkali, hujung minggu, aku cuba sedaya upaya, mencari kelapangan, untuk menghabiskan masa tengah hari di masjid. Sungguh, terasa urat-urat dan darah yang mengalir dalam jasad dan rohani, lancar dan saling kuat-menguatkan, selama seminggu. Dan, kalau boleh, aku memasang impian, bukan sahaja setiap minggu, malah mahu setiap hari aku menguatkan jasad dan rohaniku untuk berjemaah di sini.

Jika berpagi-pagi untuk berjemaah Subuh di masjid, suasana tenteramnya lebih menusuk dan benar-benar aku terasa ketenangan (As-Sakinah) itu masuk menjerap di dalam dada. Bermula dari rumah, kami berjalan kaki melepasi 2 blok rumah kedai, bertemankan lampu jalan dan ciapan burung-burung yang bangun untuk mencari rezeki. Angin pun berolak perlahan, menari bersama-sama dengan pohon zaitun yang tumbuh sepanjang ruang pejalan kaki, berhadapan dengan rumah satu tingkat yang sudah berusia, yang telah menjadi rumah warisan bandar Adelaide. Kemudian, seusai solat Subuh, Ustaz Haitham akan mensyarahkan kitab Riyadus-Salihin. Dan, saat kuliahnya yang begitu sedap didengar itu, cahaya yang menyuluh dari belakang, bersama dengan siulan kakak tua, ciap rumah dan pelbagai jenis unggas lagi lain, menyambut majlis ilmu di saat matahari terbit. Aku yakin, pasti berpuluh-puluh malaikat turut sama menghadiri dan dan mengerumuni majlis ilmu sebegini, tanpa mengira pukul berapa pun ia diadakan.


Pada hari Jumaat, jika aku cuti, aku akan ke Masjid City juga. Waktu inilah, selain daripada merasai kemeriahan alam di sekitar masjid, aku dapat rasakan manusia yang bermacam ragam, berbeza warna kulit dan bahasa, datang bersama-sama mendengar khutbah peringatan dan sujud dan rukuk mentaati perintah Allah SWT. Memang rencam sungguh latar umat Islam ini, baik yang gelapnya dari benua Afrika, ataupun, yang mata sepetnya dari Korea, malah ada juga yang bermata biru dan hijau muda, dari Bosnia atau orang Inggeris Australia sendiri. Alangkah hebatnya kebesaran Allah SWT, dalam menyatukan manusia yang pelbagai dalam kesatuan Tauhid pada-Nya. Bukankah Allah SWT sendiri merakamkannya dalam surah Ar-Rum, ayat 22:

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.


Dan kini, Aidul Fitri semakin menghampiri. Dan, kenangan 2 tahun lalu merayakan solat sunat Aidil Fitri di masjid ini kembali terbayang di ingatan. Waktu itu, setiap umat Islam, pelbagai latar budaya dan bangsa, memakai pakaian yang indah, cantik, menarik dan mempersona. Saudara dari tanah Arab semuanya berjubah dan berserban merah putih, saudara dari Pakistan memakai kurta yang berwarna cerah, saudara dari Bosnia memakai kemeja dan kot hitam dan saudara-saudara kita sebangsa; memakai baju Melayu lengkap dan penuh, bersekali dengan minyak wanginya sekali. Waktu itu, apabila masing-masing berbaris untuk menyusun saf, kelihatan jenis-jenis baju yang berbeza-beza, yang aku sendiri tak tahu apa namanya. Dan, tidak lain dan tidak bukan, walaupun sungguh berlainan jenis pakaian, kami semua bersatu di Masjid City untuk merayakan kemenangan setelah sebulan berjuang di bulan Ramadhan.


Alangkah indahnya waktu itu. Alangkah indahnya perayaan itu di Masjid City. Sungguhpun pertama kali beraya di perantauan, tidak terasa diri ini kesunyian menyambut hari raya.

Moga Aidul Fitri ini, tahun terakhirku di Adelaide ini, akan membina nostalgia di Masjid City yang sangat-sangat bermakna untukku simpan dan untukku kenang, sepanjang kehidupanku.

InsyaAllah.

Tiada ulasan: