Kelab Peminat

Sikap 5. Jalan Keluar

Saya menjangkakan, ini adalah entri yang terakhir untuk kita bicarakan isu ini. Saya ada peperiksaan, orang lain pun ada peperiksaan. Masing-masing stress. Jadi, tak naklah kita menyerabutkan kepala otak kita dengan emosional yang melampau. Akan tetapi, jangan pula dek kerana peperiksaan dua minggu ini, kita tak mahu jadi insan yang rasional - mahasiswa yang terpimpin dengan hujah kebenaran. Dua minggu ini cuma minggu menguji sejauh mana kita matang dengan kemahiran dan pengetahuan yang telah diberi selama 12 minggu sebelum ini. Jadi, pada Allahlah kita mengharapkan 12 minggu sebelum ini bermanfaat untuk 2 minggu yang akan datang ini.

Sebelum saya membentangkan jalan keluar untuk dari masalah ini, apa kata kita terokai sudut paling rahsia dalam diri kita – hati. Al-Ghazali dalam karangannya, Kīmyāye Sa'ādat (Al-Chemy of Happiness), mengibaratkan hati itu umpama tasik. Kelima-lima deria berserta akal, kata beliau, adalah saliran yang membawa air ke dalam tasik yang bernama hati itu. Setiap hari, tasik hati itu akan diisi melalui keenam-enam saliran ini. Namun, ada satu ketika, tasik itu perlu berhenti daripada menerima tambahan air melalui saliran – untuk memuhasabah kembali, apa yang telah terkandung di dalam tasik hati itu.

Mari kita mencuba kaedah ini:

Sunyikan diri.

Kosongkan fikiran.

Kemudian, terokai isi hati anda sendiri dengan persoalan-persoalan.

Apakah tasik hati kita mendak dengan kotoran yang tak diperlukan?

Apakah tasik hati kita jernih sehingga kita nampak dasar hati yang paling dalam?

Apakah hati kita sentiasa berkocak dengan amarah dan keinginan kita pada wanita dan gajet-gajet canggih dunia ini?

Apakah hati kita sentiasa tenang, walaupun mendapat scholar yang paling sedikit antara kawan-kawan dan hidup paling sederhana antara semua orang?

Tanyalah dengan penuh ikhlas pada diri, siapakah yang lebih rapat dengan kita, melainkan hati dan diri kita sendiri. Hati dan diri yang paling rapat ini – apakah nasibnya kelak?

Tanyakan pada hati, apakah sandaran keyakinan kita terhadap sesuatu perkara, pemahaman atau ideologi?

Apakah bersandarkan jasa dan budi kawan-kawan kita?

Apakah dek kerana sebuah pertalian persahabatan, kita sanggup membelakangkan kebenaran?

Apakah kebenaran itu bagi kita?

Apakah dengan hujah?

Atau dengan ukhwah?

Saya sebenarnya bukanlah seorang pemikir dalam menyusun tindak-tanduk masyarakat di sini. Saya cuma seorang pemerhati, yang nampak peristiwa-peristiwa yang berlaku di bumi Adelaide ini, merangkumkannya melalui siri entri Sikap, lantas membentangkannya pada anda. Saya ada melakukan sedikit kajian masalah ini, menyilang semak dengan pendapat tokoh-tokoh klasik dan kontemporeri, meringkaskannya untuk pemahaman kita semua dan sekarang ini, cuba membentangkan jalan keluar.

Seperti dalam entri Sikap 4 – Fikir, jalan keluar kita adalah dengan mendalami ilmu. Namun, jalan untuk mendalami ilmu itu seharusnya diperhalusi. Apatah lagi, kita yang berada di sistem pendidikan pragmatik yang berasaskan fakta zahir sahaja dan menerimanya bulat-bulat tanpa saringan; perlulah memikirkan sebuah method yang realistik di balik matlamat kita yang ideal. Tambahan, dengan kekangan masa dan sumber, perancangan untuk kita menadah permata ilmu pertama itu perlulah dibuat dengan penuh cermat, supaya usaha kita ke arahnya adalah usaha yang optimum – tidak melampui batas, selaras dengan adab dan meletakkan diri kita pada tempat yang sepatutnya (adil).

Memandangkan masalah kita di sini berbentuk sebuah lingkaran, maka kita perlu cari – kepala lingkaran tersebut.

Masalah merendah-rendahkan martabat ilmu, bagi saya merupakan masalah pertama yang perlu kita banteras. Dengan ini, pada pandangan saya, masalah kejumudan, ancaman doktrinisasi, kelemahan kepimpinan mahasiswa dan kesungkupan kita dalam tempurung masyarakat akan selesai satu persatu.

Sebelum ini, saya sudah huraikan masalah ini dengan panjang lebar – sudah semestinya untuk menerapkan kesedaran dalam diri kita. Alhamdulillah, inilah langkah pertama kita untuk keluar dari kepompong masalah.

Kemudian, saya telah jelaskan cara fikir yang betul, sebagai seorang mahasiswa, yang Melayu dan Islam, iaitu untuk mengenal pasti ilmu yang pertama dan ilmu yang kedua. Ilmu yang pertama itu, mempunyai martabat yang tinggi – selaras dengan kedudukannya sebagai ilmu wahyu, yang diberikan oleh Allah atas dasar kasih dan sayang-Nya kepada kita. Ilmu kedua pula, adalah sebagai aksesori kita dalam menghadapi perjalanan di dunia yang sementara ini.

Bak kata Imam Al-Ghazali, persinggahan kita yang sebentar di dunia ini seperti persinggahan sebuah kapal di sebuah pulau. Orang yang cerdik, akan turun ke pulau tersebut, mengambil apa yang diperlukan sebagai bekal dan kembali semula ke kapal, seawal yang boleh untuk mendapat tempat yang paling selesa di dalam kapal tersebut. Orang yang rugi adalah orang yang pergi keluar, menghimpun ‘batu-batu permata,’ kembali lewat ke kapal dan kehilangan tempat yang selesa untuk pelayaran seterusnya. Orang yang rugi ini, terpaksa menghuni dek bawah dan berhimpit-himpitan dengan ‘batu-batu permata’-nya dalam keadaan yang tidak selesa. Akhirnya, di dalam kesempitan itu, ‘batu-batu permata’ yang bernilai di luar tadi, kini tidak lagi mempunyai harga di bawah kurungan yang gelap dan kepam di bawah kapal.

Usaha pertama dan utama yang kita boleh lakukan dan semua orang boleh lakukan adalah dengan berdoa dengan penuh ikhlas pada Allah SWT, supaya kita ini menjadi hamba-Nya yang dikurniakan ilmu yang pertama itu. Ilmu pertama itu dikurniakan atas dasar kasih sayang-Nya terhadap hamba-Nya supaya hamba-hamba-Nya ini hidup dalam panduan dan tidak terkapai-kapai dalam kehidupan di dunia.

Kemudian, dengan kesedaran dan dengan cara berfikir yang betul dan doa yang tulus pada Allah, kita seharusnya sudah bersedia untuk berusaha dalam dunia asbab. Allah tak akan kurniakan apa yang kita nak kalau kita tak bersungguh-sungguh nak terhadap sesuatu perkara itu. Jadi, untuk menzahirkan kesungguhan kita, maka perlulah dijelmakan dalam bentuk tindakan.

Usaha ini, pada pandangan saya, sebenarnya diusahakan dengan kemampuan kita kembali, kerana manusia ini diciptakan dengan berbeza-beza dari aspek fizikal.

Di bawah ini, saya ingin membentangkan beberapa usaha praktikal yang boleh kita lakukan, sebagai mahasiswa, untuk mengekang permasalahan ini.

1. Untuk mendapat ilmu yang pertama ini, tidak lain tidak bukan, kita seharusnya mengikut cara Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda. Seperti firman Allah dalam surah Yusuf: 108

Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.”

Jadi, dalam hal ini, dalam perjalanan kita mendalami ilmu pertama, di tempat yang bernama Adelaide ini, di zaman yang jauh dari cahaya kenabian ini, seharusnya kita mencari jambatan penyambung antara kita dan baginda dan sahabat-sahabat baginda. Tidak lain tidak bukan, dengan menghadiri sesi ta’lim (mengilmukan) yang sudah semestinya dikendalikan oleh ‘alim ‘ulama yang berautoriti dan bertauliah. Ini kerana, para ‘alim ini, sanad ilmu mereka boleh dijejak sehinggalah ke baginda Nabi dan para sahabat. Jika boleh, anda boleh bertanya kepada mereka. InsyaAllah, sekiranya benar mereka mendapat pengajian ini melalui jalur yang tulen, mereka tidak akan lokek berkongsi. Seperti tersebut di dalam sebuah syair:


" Ilmu adalah warisan Nabi demikiannlah dijelaskan
Dalan nas syara', dan para Ulama’lah pewarisnya
Tidaklah beliau yang terpilih meninggalkan sesuatu selain hadith darinya
Bagi kami dan itulah perhiasan dan harta benda beliau.
"


2. Sekiranya situasi tak mengizinkan, maka seharusnya kita mendapatkan dengan apa yang sedia ada. Misalnya, dalam hal ini, kadang-kala kita tidak didatangi oleh ‘alim ulama, maka apa yang tinggal adalah bayan yang mengingatkan kita tentang kebesaran Allah dan keperluan beriman (biasanya di Masjid City, selepas Maghrib setiap hari Rabu, dalam Bahasa Inggeris). Interaksi secara alam realiti ini boleh mewujudkan suasana kerohanian, berbanding dengan interaksi alam maya yang bagi saya masih banyak kekurangan. Tambahan, suasana masjid sebagai tempat peribadatan kita pada Allah SWT, merupakan ruang yang sesuai untuk kita mengilmukan diri dengan ilmu pertama itu. Jika berkebolehan, mungkin kita boleh membelanjakan masa, wang dan tenaga untuk menyertai jemaah yang keluar di jalan Allah SWT – untuk keluar mengusahakan iman dan amal, belajar cara-cara kehidupan Nabi SAW dan para sahabat dan menziarah saudara seagama di luar perbatasan Adelaide. Dengan keluar dari ruang lingkup keselesaan ini (comfort zone) kita akan lebih mudah mengenali permata yang tersimpan dalam diri kita. (rangkuman pengalaman perjalanan rohani kami boleh dibaca dalam siri entri Makmul).


3. Kemudian, untuk mengekang budaya indoktrinisasi ke dalam diri kita adalah dengan memperbanyak bahan bacaan. Misalnya, katakanlah dalam Kembara Ilmu yang lepas, kita berbicara tentang tajuk ‘Tenangkan Hati, Kuatkan Tekad.’ Sudah semestinya apa yang dibincangkan dalam program itu masih lagi bersifat permukaan. Sekiranya kita mengambil bulat-bulat falsafah yang dibentangkan tanpa membuat rujukan silang, sudah pasti kita yang mendengar tersalah tanggap dan mengalami kerugian. Saya ingin memetik kata Prof Wan Mohd Nor Wan Daud yang menyentuh isu membaca:


Perlu disebut bahawa memang terdapat sebahagian yang menyertai arus keislaman ini adalah pengikut yang malas membaca dan berfikir; sekadar menerima apa sahaja yang disampaikan oleh tokoh yang mereka kagumi. Mereka bersikap keras terhadap umat Islam dan fanatik terhadap kumpulan sendiri, tanpa mengira sama ada pegangan kumpulan mereka itu salah atau benar. – Penjelasan Budaya Ilm, DBP 1997.


Secara spesifiknya untuk isu falsafah yang dibentangkan semasa program itu boleh dibuat rujuk silang melalui wacana dari Imam Al-Ghazali, Kīmyāye Sa'ādat (Al-Chemy of Happiness) (yang mengupas tentang hakikat asbab dan ketentuan dalam bentuk yang begitu indah sekali); Syed Naquib Al-Attas, Islam and Secularism (yang membongkar pensekularan jiwa melalui sistem pendidikan barat dan membetulkan paradigma kita terhadap sistem ilmu dan pendidikan universiti) dan juga Professor HAMKA, Falsafah Ketuhanan dan Falsafah Hidup. Ketiga-tiga makalah besar ini ada pada saya dan boleh dipinjam.

Selain dari isu falsafah atau cara pemikiran kita (world-view) untuk menanggap sesuatu perkara, bidang sejarah yang dibentangkan dalam program-program sebelum ini juga perlu dibuat rujukan silang. Rak 959.xxx di Barr Smith Library (Library Harry Porter) dan novel SN Arenawati perlu diteliti untuk membuat validation terhadap apa yang disampaikan oleh penceramah. Selain itu, dalam menanggap masalah sosial masyarakat kita, pembacaan juga harus dilakukan untuk mengukuhkan atau meruntuhkan persepsi yang diterapkan pada diri kita. Misalnya, buku The Myth of Lazy Native, Syed Hussein Al-Attas (ini saya tengah baca, bila habis nanti baru boleh pinjam), boleh digunakan sebagai bahan rujukan. Selain itu, novel-novel besar juga mengupas pemikiran dan perlakuan orang Melayu Malaysia. Walaupun pembacaannya bersifat ringan, namun ia memerlukan penafsiran yang tajam untuk kita menanggapi apa yang ingin disampaikan oleh pengarang (inilah gunanya SASTERA dan LINGKARAN SAHABAT SASTERA untuk menjelaskannya). Contoh novel besar tersebut adalah Salina, Hujan Pagi (SN A. Samad Said), Ranjau Sepanjang Jalan, Sutan Baginda, Detik-detik diri di Daerah Daif, Autobiografi Perjalananku Sejauh ini, Setitis Embun Semarak Api (SN Shahnon Ahmad) dan banyak lagi.


4. Kemudian, dengan sedikit sebanyak ‘keberanian,’ kita perlulah bersemuka bersama-sama untuk berbicara dan berkongsi pendapat mengenai sesuatu permasalahan. Misalnya, ada kumpulan MASCA dan ISMA yang berbeza pendekatan. Mesyuarat atau perjumpaan antara pemimpin merupakan satu method yang terbaik untuk kita menyelesaikan banyak perkara. Tambahan, baru-baru ini, sidang pengarang Ketupat telah mengadakan eksperimen ‘mesyuarat terbuka’ di mana perbincangan terbuka tentang isu yang ingin disentuh dalam Ketupat Mini telah dilakukan. Hasilnya cukup memberangsangkan kerana pendapat para pembaca, para pengarang dan semua sekali, yang berbeza latar pandangan boleh dikongsi dalam ruang yang terkawal. Hasil dari mesyuarat ini adalah karangan dalam Ketupat Mini yang diedarkan semasa Kembara Ilmu baru-baru ini. Namun, bagi saya, ia masih dalam peringkat eksperimen dan masih perlu menjalani beberapa lagi siri mesyuarat kelak. Saya ingin sekali memetik kata Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud mengenai mesyuarat:


Proses membuat keputusan di semua peringkat mestilah dilaksanakan melalui syura yang berteraskan maklumat betul, pentafsiran yang adil dan keikhlasan menyelesaikan masalah secara jangka pendek dan jangka panjang. Dalam institusi/masyarakat berbudaya ilmu mesyuarat dijalankan secara rasional, keputusan dibuat bukan atas permainan politik, kekuatan kedudukan atau paksaan. Dalam iklim musyawarah yang sihat seseorang individu diberikan kebebasan menyatakan pendapatnya tanpa sebarang sekatan asal sahaja pendapatnya itu tidak secara langsung mengarah kepada pemberontakan dan pertumpahan darah. Setiap ahli majlis syura bertanggungjawab membincangkan sesuatu isu yang diketengahkan dengan kajian yang teliti dan membincangkan sesuatu isu yang diketengahkan dengan teliti dan adil, tidak mewakili hawa nafsu sendiri atau kepentingan kelompok yang tidak berasas. Seseorang ahli majlis syura di peringkat mana sekalipun mestilah berani berpegang kepada ilmu yang diketahuinya terutama untuk membela individu atau golongan yang tertindas atau untuk membawa perubahan moral atau kebaikan-kebaikan lain. Sesungguhnya keberanian moral golongan cendekiawan daripada berbagai-bagai bidang amat kurang pada masa ini, dan ini mengikt Solzhenitsyn adalah tanda awal kejatuhan sesuatu tamadun. Satu ciri keberanian moral di kalangan cendekiawan ialah kesanggupan mengubah pendapat sendiri jika dibuktikan salah oleh hujah yang jelas dan benar. Sesungguhnya kegiatan berparlimen adalah satu majlis syura penyelesai masalah jika ahli-ahlinya membuat ‘kerja rumah’ masing-masing dan mempunyai keberanian yang tersebut tadi. - Penjelasan Budaya Ilmu, DBP 1997.


5. Perlu dibezakan mesyuarat yang dicadangkan di sini dengan sistem usrah yang dikendalikan selama ini. Ini kerana, mesyuarat yang dicadangkan di sini bersifat inter-jamaah/persatuan/kelab dan sebagainya. Jadi, perkongsian idea, pengalaman dan sudah semestinya ilmu akan bersifat meluas. Syura boleh sahaja terdiri daripada pemimpin kelab atau dibuka kepada orang ramai. Sesiapa yang berminat untuk membuka sesuatu isu, perlulah hadir untuk bercakap, membentangkan hujah dan pendapat dengan penuh rasional dalam iklim ilmiah dan sedar akan dirinya itu adalah mahasiswa yang terdidik. Mesyuarat, sebagai salah satu method pentadbiran Nabi Muhammad SAW, perlu juga dihormati akan adab-adabnya. Dari sini, kita akan memupuk budaya kepimpinan diri yang baik dalam suasana kepimpinan yang sempurna. Elok juga cara ini diperhalusi, supaya akan ada satu garis panduan untuk kita melaksanakannya dengan penuh jaya.


6. Selain dari usaha luaran itu, kita juga boleh membuat usaha yang berbentuk pengarangan atau ‘representation’ pada kesepakatan pandangan/idea kita. Misalnya, ruang Ketupat sentiasa terbuka untuk karangan-karangan yang memberi manfaat pada mahasiswa di Adelaide ini. Ini kerana, kita sepatutnya, sebagai mahasiswa intelek, perlu mengekang lambakan hiburan yang boleh diperolehi melalui klik di laptop sahaja. Ketupat, pada pandangan saya, seharusnya cuba menjadi akhbar dan lidah rasmi mahasiswa Adelaide – baik mengupas isu semasa, isu negara dan apa-apa isu yang penting untuk mahasiswa (sekarang, sidang pengarang sedang berusaha ke arah itu). Untuk menjadi lidah rasmi, kerjasama daripada pengarang dan pembaca perlulah dijalin erat. Pengarang menghasilkan karangan yang bermutu, manakala pembaca seharusnya menjadi penerima yang aktif, membaca dan menjadikan isu yang disentuh oleh setiap keluaran Ketupat sebagai ‘bahan bualan.’ Seperti yang saya sebutkan di atas tadi (no. 4), isu yang dibincangkan dalam mesyuarat terbuka sudah semestinya boleh diketengahkan lagi ke medan masyarakat dengan karangan-karangan di dalam Ketupat. Untuk merealisasikan usaha ini, kelab-kelab lain seharusnya memberi laluan kepada Ketupat sebagai media cetak tunggal di Adelaide – dengan menyumbangkan artikel dan sebarang bentuk penulisan ke wadah Ketupat. Ini supaya pembacaan masyarakat Adelaide lebih bertumpu dan spesifik, di samping kita mempunyai satu medan idea yang menjadi mewakili semua kelab/jemaah/persatuan dan sebagainya. Saya yakin, sidang pengarang yang akan datang, akan lebih komited melaksanakan tanggungjawab ini, sekiranya kita bersama-sama berikhtiar dalam mewujudkan akhbar rasmi mahasiswa di Adelaide.


7. Saya sangat-sangat tertarik dengan mesyuarat yang diadakan di Masjid City setiap hari Khamis, jam 7.30 petang, selepas solat maghrib (ralat, sebelum ini ditulis 6 petang). Mesyuarat ini, dihadiri oleh saudara Islam yang berbilang bangsa. Baik Lubnan, Afghan, Bangladesh, Melayu dan sebagainya dan di sini kami membincangkan mengenai permasalahan umat di Adelaide dan bagaimana cara untuk mengatasinya. Mesyuarat sebegini, sudah semestinya ‘membuka mata’ kita apabila pelbagai latar bangsa dan pekerjaan saudara seislam membicarakan tentang apa yang terjadi di dalam agama. Malah, adab-adab mesyuarat sudah lama dipraktikkan dan mungkin kita boleh mengambil contoh bagaimana mesyuarat ini boleh diadakan jika dilakukan sesama kita. Seelok-eloknya, buat yang ingin mencuba, boleh menghadiri mesyuarat ini dengan ditemani dengan orang yang telah pergi sebelum ini, untuk mengelakkan kekekokkan. Jika anda seorang yang terbuka, saya kira, tak perlu teman pun tak apa.


8. Untuk berbaik-baik dengan ‘locals’ jangan kita berasa takut untuk memberi salam. Seperti yang kita tahu, salam adalah satu pemecah benteng warna kulit, status dan warganegera kita dan membina asas sebuah ikatan ukhwah. Tak perlulah saya memberitahu bagaimana nak bermanis muka dan memilih bahasa yang baik, kerana anda semua pun telah tahu itu semua.


9. Katakanlah anda ingin mengendalikan program yang bersifat internasional – jangan hanya berharap pada poster dan pengumuman waktu khutbah sahaja untuk membuatkan orang tahu. Anda perlu untuk merapati saudara-saudara seislam anda dan memberitahu mereka secara lisan. Jangan malu kalau mereka menolak, kerana anda telah melaksanakan semaksimum usaha untuk menyampaikan sesuatu perkara. Jadi, sekiranya anda sendiri sudah mengkhabarkan pada mereka secara ‘one on one,’ maka anda sudah terlepas daripada tanggungjawab ‘dakwah’ anda. Lagipun, ini sangat-sangat menghampiri cara Nabi Muhammad SAW. Jadi, bagi saya, poster, emel, gambar dan sebagainya tidak akan dapat menandingi cara dakwah Nabi SAW yang hebat ini.



10. Akhir sekali, saya kira, apa yang elok untuk kita lakukan secara individu adalah dengan memperbaiki sikap kita sendiri. Ta’alim, Bayan, Usrah, Kuliah, Mesyuarat, Ketupat dan sebagainya tidak akan mampu mengubah diri anda sekiranya anda sendiri tak nak mengubah sikap anda. Lepak-lepak di surau, bersembang kuat-kuat, bergolek dan terlentang di dalam Surau Union House sebenarnya menjatuhkan imej kita sebagai orang Melayu di mata saudara-saudara Islam yang lain. Bagaimana orang nak menghormati kita sekiranya, kita sendiri tak menghormati jati diri kita dan jati diri orang yang sama dengan kita. Orang menghindari kita kerana kita sendiri ‘menghindarkan’ diri kita dari orang, dengan sikap kita yang buruk dan sengal. Mungkin, dengan membetulkan akhlak kita di dalam rumah Allah, adalah usaha pertama kita untuk memperoleh semula kepercayaan bangsa lain terhadap bangsa kita. Walaupun lengkapnya jati diri itu bukanlah syarat utama untuk mengenali bangsa lain dengan lebih luas, namun ia perlu ada pada diri kita, sebagai batu keyakinan untuk kita mendekati orang lain, tanpa rasa malu yang tak bertempat dan takut yang tak bersebab.


Saya kira, inilah sahaja dari bahagian saya, di dalam ruang blog yang serba sempit ini. InsyaAllah saya akan meluangkan masa sekiranya ada para sahabat di luar sana ingin mendalami apa yang ingin saya sampaikan melalui siri entri Sikap ini. Ini bukan langkah penyelesaian mutlak, namun ia sekadar cadangan yang boleh saya rangkumkan dari pembacaan, pelajaran dan pendidikan saya yang terhad ini.

Sekiranya saya memakai bahasa kasar sebelum ini, saya meminta maaf dan merendah diri. Saya, dengan kelemahan saya, tak dapat menjumpai method yang sesuai untuk membuka mata kita semua, melainkan dengan cara kasar sebegitu. Maafkan saya jika kata-kata saya mengguris mana-mana pihak. Namun, prinsip saya, kebenaran selalunya pahit untuk ditelan. Saya pernah merasainya, malah lebih pahit dari kata-kata kasar. Saya tak mahu kawan-kawan seperjuangan saya merasai kepahitan yang melampau itu dan sekurang-kurangnya, dengan kepahitan dan kekasaran ini, harapnya ia menjadi ubat kepada penyakit hilangnya adab kita.

Anggaplah ini semua adalah teguran. Teguran antara adik-beradik. Berbeza pendapat itu pasti, namun berputus saudara itu jangan sekali. Menajam akal dengan hujah, melapang dada dengan ukhwah. berbeza pendapat tak semestinya berbeza saudara, kan?

Segala kelemahan adalah dari saya kerana saya cuma makhluk yang tak signifikan pun di dunia ini. Hanya Allahlah yang Maha Sempurna dan Maha Bijaksana dan kita perlulah kembali kepada panduan dan didikan-Nya.

Akhir kalam, saya ingin memetik kata-kata Syed Naquib Al-Attas

Islam possesses within itself the source of its claim to truth, and does not need scientific or philosophical theories to justify such a claim. Moreover, it is not the concern of Islam to fear scientific discoveries that could contradict the validity of its truth. [Prolegomena, p. 38]

Wallahualam

6 ulasan:

aLturkistani berkata...

kesimpulan yg mudah..

usaha atas "gang" sendiri.jangan lupe "gang" lain. mereka pun muslim juga.

usaha atas "bangsa" sendiri.jangan lupa "bangsa" lain. mereka pun muslim juga.

usaha atas "warganegara" sendiri. Jangan lupa "warganegara" lain. Mereka pun muslim juga.

usaha atas "cara" sendiri. Jangan lupa "cara" nabi. "cara" nabi itu lebih hak.

Cuba try fikir2kn..

Adakah dakwah nabiku bersifat kebangsaan?

Adakah tarbiyah nabiku bersifat kebangsaan?

Adakah pengisian nabiku bersifat kebangsaan?

aku yakin, sape2 pun akan jawab TIDAK.

aku yakin, ada yang akan jawab TIDAK + TAPI.

Apa pun, nabi s.a.w dan para shabat r.hum telah menunjukkan contohnya.

Tapak2 kaki telah telah ditinggalkan.

Kita sabagai pengikut, ikut jela.

InsyaAllah, akan sampai ke destinasi mereka.

Nabi s.a.w datang menghancurkn benteng2 pembahagian antara kabilah2,kaum2,background2.

Para sahabat faham dan bertebaran keseluruh alam.

Daripada 124000 sahabat. Hanya lebih kurang 10000 kubur sahabat ada di tanah Hijjaz.

Fikir2kan.Adakah mereka usaha atas bangsa mereka saja?

Masih ada arab yang kristian.

Ada mereka tunggu semua arab Islam dulu, baru bertebaran ke luar jazirah arab?

Fikir-fikirkan.

Jangan taksub.

Jangan taklid buta.

Jangan ghulu.

Luaskan pandangan,luaskan pengalaman.

Jangan tutup telinga.

Dengar hujah dulu.

Fikir dengan akal yg waras.

Rational terhadap dalil.

Jangan jumud.

Kelak, kamu akan menyesal.

Dengan Alah, kita tak boleh ber"tapi"..

Dengan nabi s.a.w pun kita tak boleh ber"tapi"..

syahadah dan kalimah tayyibah dalah kalimah iman..

jangan sesekali men"tapi"kan nya..

Tanpa Nama berkata...

Persoalan Kenapa Melayu Dalam Perjuangan Islam?

http://ustabdullahzaik.wordpress.com/2009/11/04/persoalan-kenapa-melayu-dalam-perjuangan-islam/

Mampu menjawab sebahagian persoalan.

aLturkistani berkata...

Habis bace dah.

Hanya ijtihad akal yg peribadi.

Tiada dalil sahih disandarkan.

Bukan cara sahabat r.hum menakal dalil itu macam.

Maaf, tak jawab persoalan.

Takpela, hangpa nk melayu pun melayu la.

Tapi jgn lupe yer, bangse len.

Ulang lagi skali, nabi s.a.w tak racist!

Tanpa Nama berkata...

Persoalan dh terjawab sbnrnya.

Dia berbalik kpd Persoalan ijtihad.

Setiap orang ada ijtihad masing2.. Maka berbaik sangka lah dengan ijtihad saudara seIslam kita sendiri. Rasa tidak elok berburuk sangka dan menjatuhkan saudara sendiri, hanya kerana ijtihad yang berbeza dgn diri.

Setiap orang buat kerja. Beramal. Dan gunakan titik-titik persamaan yang ada utk saling menguatkan. Berlapang dada dengan ijtihad saudara kita. Kerana mereka juga bekerja, seperti anda. Bukan menjatuhkan dan mengatakan orang lain salah, kita aje la yg betul.

Wallahu'alam.

aLturkistani berkata...

Tak jawab pun.

Soalan aku.

Nabi s.a.w wat ikut bangsa ke?

Sahabat r.hum wat ikut bangsa ke?

Kawan,
Kalau semua org keluar ijtihad,rosaklah agama.Sister in islam pun keluar ijtihad gak.

Kawan,
Kalau ko belajar sejarah nabi dan sahabat. Adakah ijtihad macam itu keluar dari mereka?

Kawan,
Islam tertegak dengan dalil Al-quran dan As-sunnah serta hujah bagaimana sehabat faham,dan generasi salaf faham.

Kawan,
Ijtihad tidak racist bukan ijtihad aku. Itu sunnah nabi s.a.w dan ijtihad sahabat. Aku tak keluar ijtihad.

Kawan,
Aku tak buruk sangka. Aku berbaik sangka yang korang boleh faham macam mane nabi s.a.w dan sahabat r.hum bawa agama. Aku ajak semua orang buat ikut cara nabi s.a.w dan sahabat.

Kawan,
Rasanya anda yang berburuk sangka. Aku menegur dan mengingatkan. Sebab cara korang tidak tepat. Bukan salah.

Kawan,
Aku ulang lagi sekali. Aku tak kata aku betul. Aku kata cara nabi s.a.w dan sahabat rhum yang paling tepat. Cara mereka tidak mengenal bangsa,kaum,puak,latar balakang dan lain2.

Kawan,
Setiap orang memang buat kerja. Tapi kerja agama kene ikut nabi s.a.w dan sahabat rhum. Bukan ikut akal.

Kawan,
Aku tak suruh ko tutup persatuan racist ko. Aku suh korang kerjasama dengan local2 di sini dan seluruh dunia.

Kawan,
Berlapang dada bila sama2 betul atau sama2 salah. Sekarangni,korang kurang tepat. Aku tegur.Sebab aku sayang korang.Korang ada potensi untuk bangunkan Adelaide.Bukan melayu sahaja.

Kawan,
Korang tau tak macam mana Melbourne boleh maju? Asbab pelajar2 Malaysia zaman 70an yang berpototensi macm koranglah wat usaha ikut sunnah. Tanpa mengira perbezaan kaum,bahasa,dll.

Kawan,
Titik persamaan hanya pada as-sunnah. Tiada sunnah. Tiada persamaan. Macam Jim dan Abim. Tertib sama. Tapi nak berpecah. Isma pun pakai tertib yang sama. Tapi berpecah. Yang anak JIM, tak boleh masuk Isma.

Kawan,
Ada tak sahabat r.hum selapas kematian nabi s.a.w buat group masing2?

Kawan,
Tiada siapa jatuhkan siapa. Kenapa kawan buruk sangka ni. Aku ajak korang selain dari makan setalam dengan bangsa sendiri. Mari duduk makan dengan bangsa lain sekali. Selain duduk usrah sesama bangsa sendiri, mari berusrah dengan bangsa lain. Ajak mereka. Aku lagi ske. Aku pun akan join even tak diajak.

Kawan,
Aku tak betul. Nabi s.a.w dan sahabr r.hum betul. Cara mereka paling tepat dan benar.

Kawan,
Jangan taksub.Jangan jumud. Jangan taklid buta. Buka minda. Fahamkan sunnah nabi s.a.w betul2.

Kawan,
Kalau ko benar. Kenapa ko tak datang bentang kerja ko kat aku. Aku tak penah diajak. Tak perlu selindung disebalik nama anonimos.

Kawan,
Sila datang rumah aku untuk mendengar lebih penjelasan. Atau datang duduk majlis2 rakan Islam kita yang lain. Kawan pernah dengar ke?

Kawan,
Aku pun usrah cam ko dulu. Jawapan2 ko,ustat2 ko, sume dlm otak aku je. Sebab aku menjawab macam tu la dulu.

Kawan,
Aku ajak mereke bekerja macam nabi dan sahabat. Bukan macam aku. Kerja atas jalan taqwa.

Kawan,
ko kenal aku. Aku tak kenal ko. Kalau free, datanglah jumpa aku. Aku memberitahu kebenaran.

Kawan,
Aku telah berusaha untuk berlapang dada. Tapi aku belum temui lagi ajaran nabi s.a.w dan sahabat rhum yang ajar kita wat usaha ikut backgroud kita sahaja.

Kawan,
Yang aku temui, semua mengajar tentang perpaduan ummah. Berbilang bangsa,bahasa dan lain2.

Kawan,
Ijtihad tidak mengatasi sunnah. Sunnah ada terang lagi bersuluh.

Allahu a'lam..

aLturkistani berkata...

Sila rujuk sini..

http://www.youtube.com/watch?v=Jslv7hs0uo0

Ni cakap pasal perpaduan Islam di Malaysia.

Aku cakap pasal perpaduan Islam untuk 1 dunia.