Kelab Peminat

Memori sentimental Ramadhanku

Kiranya, tahun ini, kali pertama jugalah aku menjejakkan kaki semula ke Al-Khalil Mosque yang terletak lebih 10 KM dari Adelaide City. Terima kasih kepada Hijaz, selaku teman yang memandu kami rumah Allah yang paling besar di Adelaide ini. Bukan senang nak menziarahi masjid ini jika tiada kenderaan.

Boleh kata, Al-Khalil ini merupakan kebanggaan orang Adelaide, baik yang Malaysia atau bukan. Dari segi saiznya, tanah perkuburan Islamnya, tempat letak keretanya, juadah berbukanya yang luar biasa banyaknya (yang percuma lagi sedap) dan keindahan binaan masjid, membuatkan jiwa ini terasa seperti mahu pergi lagi dan lagi ke sana. Malah, yang menarik, pada pandanganku, adalah kerencaman jemaah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, yang bersaf-saf; rukuk dan sujud menyembah Allah SWT, Tuhan yang Esa, Tuhan Yang Satu. Ruang solat yang selesa dan dengan sistem audio yang mantap, boleh memaksimumkan tumpuan untuk beribadat dengan lebih khusyuk. Dan, yang paling menusuk, alunan lembut bacaan Al-Quran dari Imam, membuatkan solat tarawih 8 rakaat seolah-olah tidak terasa apa-apa.

Apabila pulang, aku terkenang-kenangkan masjid yang diberi barakah oleh Tuhan ini. Dan, seperti biasa kenangan itu aku biar menjalar kepada masjid/surau yang pernah menyediakan tempat untukku mendekatkan diri kepada Tuhan, di dalam bulan Ramadhan yang penuh kemuliaan ini.

Dahulu, sewaktu awal-awal dahulu, Abah sering membawaku ke Surau Kampung Jawa, yang terletak lebih kurang 500meter dari kuarters kerajaan Butterworth, Jalan St. Marks, kuarters dua tingkat yang juga merupakan rumah kami sekeluarga. Abah menunggang motor dan aku dibelakang membonceng, dan belum sempat masuk gear tiga, kami sudah sampai ke halaman surau, di mana waktu itu juga, bilal sedang melaungkan azan. Parkir berbumbung juga sudah penuh dengan motorsikal dan basikal jemaah lain yang merupakan khariah tempatan, yang rata-ratanya kakitangan kerajaan; baik pegawai pertanian, kastam, hospital, bomba, polis, JKR dan sebagainya. Dan kebiasaannya, kedengaran air memancut keluar dari pancur (paip) tunggal di parkir berbumbung itu (yang sepatutnya digunakan untuk mencuci), digunakan oleh pak cik-pak cik untuk mengambil wudhuk.

Waktu itu aku masih kecil, naik motor pun, masih lagi erat memeluk pinggang Abah. Bila masuk ke dalam surau, Abah akan mara ke hadapan, bersolat sunat dua rakaat dan berbual dengan pakcik-pakcik kopiah putih. Aku pula, 'didudukkan' di saf belakang. Mungkin kerana belum baligh dan diletakkan bersama budak-budak yang belum baligh sepertiku juga.

Dan, fitrah budak-budak, memang bising dan suka main, tanpa mengira ia rumah orang atau rumah Tuhan.

Namun, secara jujurnya, aku taklah menyertai rakan-rakan sebayaku waktu itu. Entah, aku pun tak tahu kenapa. Mungkin aku ini kera sumbang, yang canggung untuk buat hingar. Atau aku dilanda takut ditinggalkan keseorangan di belakang. Aku pun tak ingat. (Bila budak-budak bising sangat, ada arwah Pak Cik tu akan tampar belakang kuat-kuat, mungkin sebab tak nak ditampar, aku duduk diam-diam).

Maka, bilal pun iqamat dan semua makmum bangun, termasuk aku, berbaris dan bersedia untuk solat.

Imam bertakbir, aku pun bertakbir.

Imam sudahkan bacaan Fatihah dengan amiin, aku dan budak-budak lain, jerit amin kuat-kuat.

Imam rukuk dan sujud, aku pun rukuk dan sujud.

Bila masuk sola terawih, bila bilal selawat ke atas Nabi, kami pun pulun sambut selawat, walaupun sekadar bagi ada bunyi sahaja.

Dan, ia berulang sampailah kami habis solat terawih.

Habis bersalam-salaman, aku mengikuti Abah, celapak atas motor, memegang pinggangnya dan membonceng pulang ke rumah.

Keesokan hari Ramadhannya, perkara sama juga berlaku dan aku hanya menuruti dengan penuh taat, tanpa banyak soal.

Sekarang, fikiranku kembali semula ke Adelaide, di hadapan laptop. Kenangan di Surau Kampung Jawa terasa seperti sudah lama dan makin susah nak digambarkan di dalam fikiran. Namun, perasaan berada di saf belakang, mengaminkan Fatihah kuat-kuat dan berselawat dengan penuh semangat, masih tetap utuh dan hidup di dalam hati ini, sehingga hari ini.

Aku bertafakur.

Bagaimana kalau Abah tak bawaku ke surau itu waktu aku kecil-kecil dahulu?

Apa akan jadi padaku sekarang?

Aku berhenti menaip sebentar. Menanti jawapan dari sanubariku sendiri.

****
Benar, tanpa ajakan Abah, aku sendiri tak tahu apa akan terjadi pada diriku sekarang ini.

Bagiku, Abah telah membina asas yang baik untuk anak sulungnya, asas untuk mengenali Tuhan, walaupun pada waktu itu, aku rasakan yang aku terlalu kecil untuk memahami hakikat Ketauhidan dan Akidah.

Tunjang ini, yang telah membentuk diriku, yang telah menjadikan aku adalah aku yang sekarang. Senang kata, Abah telah membentuk identiti Muhammad Teja ini. Identiti yang paling asasnya, iaitu Islam, mewarisi ke-Islam-an itu, dan menjadi seorang Muslim.

Alhamdulillah. Terima kasih Abah.

Terasa dengan identiti ini, aku terasa seperti 'ada' dan berpijak di atas muka bumi.

Walaupun kadang-kala aku terlupa, kabur dan sesat tindakan, namun, paksi yang mengakarkan hidupku ini, yang Abah telah didikkan, akan mengingatkan aku kembali, untuk menjadi diriku yang sebenar.

Dan, dalam bulan Ramadhan ini, sewaktu menghampiri Tuhan di Al-Khalil, gambaran 20 tahun kehidupanku berputar di dalam kepala. Kiranya, mahu sekali aku melorong hati untuk memuhasabah diri ini kembali:

Sejauh mana aku mempertahankan identiti ini.
Atau sejauh mana aku telah mencemari identiti ini.

Hmm...

Kiranya, tahun ini, ada harapan yang mekar, yang mahukan Ramadhan yang lebih sentimental, yang lebih bersemangat, yang lebih hebat, yang lebih dari bermacam-macam segi lagi.

Dan, aku panjangkan doa ini, bukan untuk diriku, bukan sekadar untuk keluargaku sahaja, malah, untuk yang mempunyai identiti yang sama sepertiku, yang bergelar Muslim tentunya.

Amiin.

****

Seusai solat subuh tadi, aku panjangkan renungan.

Bukankah identiti atau lebih tepat disebut jati diri itu adalah rukun dalam kemerdekaan.

Apalah guna merdeka tanpa jati diri.

Apalah guna merdeka tanpa tahu siapa diri kita.

Apalah guna merdeka tanpa tahu apa yang baik untuk diri kita.

Jati diri itu seolah sebuah tapak atau lot tanah, yang akan dibina di atasnya sebuah rumah budaya dan kehidupan.

Seperti nukilan Faisal Tehrani dalam Tuhan Manusia yang berbunyi:

“Andai kota itu peradaban, rumah adalah budaya dan tiangnya adalah agama.”

Dan izinkan aku mengaitkan dengan apa yang aku katakan tadi:

“Andai kota itu peradaban, rumah adalah budaya, tiangnya adalah agama dan dibina di atas tapak jati diri manusia.”

Pengertian kemerdekaan yang aku maksudkan itu, akan aku panjangkan kelak dalam entri seterusnya. Anda, jemputlah menghadam terlebih dahulu ‘pembuka selera’ yang terhidang ini.

Wallahualam.

4 ulasan:

Jimi Teratas berkata...

'Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada ibu bapa kamu. Kepada Akulah tempat kembali.' (Surah Luqman: 14)

Besarnya jasa ibu bapa kita... Kalau tak diajarkan Islam, mungkin hidup kita terkontang-kanting sekarang.

Semoga Ramadan membebaskan dan menggembirakan kita.

KJ

Mohamad Fitri berkata...

terima kasih saudara,
anda telah mengingatkan kembali kenangan waktu mula-mula saya solat terawikh berjemaah di masjid, situasi kita sama, yang membezakan anda anak sulung, saya yang bongsu. karya yang menarik.:-D

ihsan_huhu berkata...

tq kpd abah2 kita

ps: alkhalil? 10km? anytime je tuh jom berbeskal

Tanpa Nama berkata...

frankly, menyentuh hati :) nice one.