Kelab Peminat

Merayakan Nostalgia 3


Maka dijadikan cantik lebaran itu, dengan keimanan dan ketaqwaan yang subur dan murni di dalam perasaan. Ditatah pula dengan falsafah yang bergemerlapan, juga dihiasi dengan ukhwah yang berkilauan. Perjuangan membentuk peribadi selama sebulan disambut dengan penuh kesyukuran. Di segenap sudut di setiap ketika, meriah takbir dilaungkan. Dalam tangisan wujud ketenangan kerana hanya dengan kebahagiaan, simbol kesedihan itu boleh wujud dalam suasana penuh kegembiraan.

Hanya Allah sahaja yang diagungkan. Hanya pada-Nya tempat sebaik-baik pengembalian.

Allahuakbar, Allahuakbar walillah Ilhamd.

***

Senja itu sejuk benar. Angin laut yang bertiup itu, barangkali membawa dingin dari Antartika, benua ais di sebelah selatan ke benua gurun di latitud 30 darjah selatan ini. Kami semua berpeluk tubuh, berbuka puasa di pantai Henley dengan santapan Pizza yang dibeli dari Falfela dan ayam panggang yang dibeli dari Coles. Hidangan ringkas ini diserikan lagi dengan roti Arab yang Aliph beli dari Lawash. Namun, tubuh perlahan-lahan berhenti menggeletar apabila makanan memenuhi perut.

Nun di sebelah barat, kelihatan bintang Kejora, bintang yang muncul setiap kali matahari terbit atau terbenam. Kehadiran kerongsang langit itu, menandakan sinar suria sudah usai untuk memberi laluan pada persembahan bintang-bintang yang umpama pameran batu-batu permata. Dan, di antara permata-permata yang berkelip di hamparan baldu hitam itu, ada selembar benang emas yang melengkung. Benang emas itulah yang akan menjadi kunci kepada sambutan gilang-gemilang yang diraikan setiap tahun. Kami semua, berjumlah 4 kereta, mewakili teman-teman untuk mencari hadiah istimewa dari Tuhan itu.

Setelah puas makan, kami bersolat maghrib secara berjemaah di tepi pantai, juga dalam hambatan angin sambil diuliti alunan ombak laut. Syahdu menusuk betul-betul ke relung hati. Aku hiba, barangkali inilah adalah Ramadhan yang terakhir. Matahari yang terbenam, seolah semua kenangan Ramadhan itu akan terbenam di sudut sanubari yang dalam.

Selesai solat, kami kembali mendapatkan kereta, mahu bersegera ke kawasan pantai yang dijanjikan, bersama-sama dengan kumpulan lain yang memerhati anak bulan dari tanah bertuah, Adelaide.

Kami mara ke arah utara, menuju ke pantai Semaphore, namun dalam perjalanan, membelok masuk ke Terminus Av, dan menuju ke sebuah pantai yang amat kukenal. Apa tidaknya, inilah pantai Grange, tempat praktikal Geologi Endapan (Sedimentary Geology) tahun lepas. Ini bermakna, pantai tempat orang meneropong anak bulan, sudah tersasar jauh dan kami perlu berpatah balik. Jam sudah menunjukkan pukul 7.30 malam. Abang Syed, wakil orang yang sudah berkeluarga, menelefon, bertanya tentang pengesahan bilakah jatuhnya hari raya. Antara kami, tiada siapa pun dapat memberi pengesahan, kerana anak bulan langsung tak kelihatan.

Tidak dapat tidak, kami terpaksa berpatah balik ke selatan, menempuh kembali jalan sepanjang 10 km sebelum tiba di West Beach. Aku sendiri pun tidak pasti, bagaimana kami boleh tersalah hala pada mulanya, sedangkan West Beach adalah tempat kelasi-kelasi muda Uni of Adelaide bermain kapal layar, dan aku telah ke sana beberapa kali juga. Aku, selaku penunjuk jalan, benar-benar terlupa!

Kami rasa, kami tiba agak lewat di situ. Tiada kelibat sesiapa pun di West Beach. Tiada kawan-kawan Bosnia atau Eriteria, dari 'Ayn Academy.

Aku tidak berpuas hati. Takkan tak boleh nampak langsung? Maka, bersegeralah aku berlari-lari anak di dalam kegelapan, menempuh denai yang tidak berlampu, menuju ke tepian air yang bergulung ombaknya. Ternyata air sedang memanjat gigi pantai, menuruti hukum alam dalam fitrah pasang surutnya. Aku memandang ke langit malam, seolah-olah mencari cahaya istimewa dari Tuhan. Tak mungkin benang emas bersembunyi di balik langit yang cerah dan bergemerlap cahaya bintang-bintangnya?

Malah, gugusan bintang dan gas yang terapung di angkasa Bima Sakti juga sudah kelihatan. Kata pensyarah astronomiku, sekiranya gugusan bintang dan gas ini dikesan oleh mata, ini bermakna, mata sang pemerhati sudah sensitif pada apa-apa perubahan cahaya di langit.

Jadi, takkanlah benang emas itu masih lagi mahu bersembunyi?

Atau, sebenarnya, esok bukan hari raya. Itu adalah kemungkinan yang pasti. Tetapi, aku tak dapat pastikan kesahihannya, kerana inilah kali pertama aku meneropong anak bulan hari raya. Aku tak dapat tentukan sama ada muncul ataupun tidak anak bulan itu di langit. Lagipun, aku bukannya mufti atau penyimpan mohor besar raja-raja. Aku tak boleh mengisytiharkan sesuka hati - esok atau lusa raya.

"Melbourne, Sydney tak nampak juga anak bulan," lapor Aliph pada rombongan pelajar Malaysia yang tengok anak bulan. Habis semua kawan-kawannya di seluruh bandar-bandar Australia ditelefonnya.

"Hah, kalau macam tu, maknanya raya hari Isninlah kita." Kataku.

"Hey, apa da?" Samir terkejut.

"Tapi ada yang siap buat majlis bertakbir hari ini. Macam yakin je esok raya. Kalau esok tak raya macam mana?" Salah seorang dari kami bersoal, tapi aku tak berapa ingat siapa.

"Eh, nanti dulu. Sabar dulu. Perth dan Darwin masih belum hantar laporan lagi. Kena tunggu dulu. Lepas itu, kita dengar apa kata majlis Ulama' Australia isytihar apa."

"Hmmm... Raya Isnin pun, Isnin laa." Ada suara mengadu pasrah. Juga, aku tak pasti dari siapa.

"Kita raya nak ikut Malaysia ke nak ikut apa? Kalau Malaysia, aku konfem raya esok."

"Susah juga tu. Kalau aku, aku ikut ulama' Australialah. Kita dah duduk sini kan."

"Aku dengar kata, ada orang dah raya semalam."

"Pulak?"

Di tempat parkir kereta itu, kami teruskan perbualan yang diselang-seli dengan ketawa dan senda gurau. Pada masa yang sama, kami menunggu makluman dari kawan-kawan Aliph yang terletak di merata-rata tempat di Australia. Di Masjid City, salah seorang rakan kami memberitahu yang solat tarawih masih lagi dilakukan kerana tiada siapa pun dapat mengesahkan esok raya atau tidak.

Kami menunggu dengan penuh harapan.

"Kalau betullah esok tak raya, habis tu, apa guna diorang buat majlis takbir malam ni? Baik buat solat tarawih. Lebih baik lagi kalau datang ramai-ramai ke sini tengok anak bulan."

"Mungkin sebab depa tengok anak bulan semalam lagi kot?"

"Ha'ahlah. Mana tau, diorang dah nampak dulu."

Macam itulah kami berbual. Menunggu sebaik-baik rancangan dari Tuhan. Kalau esok raya, baguslah. Kalau raya jatuh lusa, pun bagus juga, ada satu hari lagi untuk berpuasa. Apa-apa pun ketentuannya, kami menunggu dengan kesabaran dan juga penuh harapan. Dalam setiap sanubari, suratan doa dikirim pada Tuhan dan kami hanya meminta yang terbaik dari-Nya. Pada-Nyalah tempat sebaik-baik tempat meminta.

Telefon berdering.

"Alhamdulillah!" Canggih betul zaman sekarang, mudah betul berhubung dengan mana-mana manusia, walau di mana juga mereka berada. "Terima kasih syeikh! Kita dah dapat laporan dari Perth."

Dan, cuba teka apa?

Kan sebaik-baik perancangan itu, Allah sahaja yang buat.

(bersambung)

2 ulasan:

Arif Rahman berkata...

Salam alaikum, selamat hari raya! Minta maaf zahir dan batin ye Syuk.

Aku pernah join Ayn Academy tengok anak bulan beberapa tahun lepas, dan mereka mula mencari-cari 'benang emas' tu dari sebelum Maghrib lagi. Waktu nak dekat-dekat Maghrib tu nampak paling jelas, kalau tak silap.

Korang tu macam dah lambat sangat je...

Muhammad Teja berkata...

Kami usya dari Henley, sebab kami buka puasa dekat situ. Tak nampak apa-apa juga pun. :|