Kelab Peminat

Tika korban dipinta

Saat menerima perintah Allah, Nabi Ibrahim as, segera bersiap. Baginda perlu meninggalkan Siti Hajar dan Nabi Ismail yang masih lagi kanak-kanak, di tengah-tengah gurun yang tiada asbab kehidupan atau tiada percik ketamadunan.

Perintah Allah itu besar, lagi berat. Namun, hati sekuat Ibrahim, yang pernah dicampakkan ke dalam api menjulang tinggi oleh Namrud - tidak sesekali akan goyah. Yakin baginda betul-betul bulat kepada Allah, sehingga terakam di dalam Al-Quran, saat baginda membalas pertanyaan malaikat tentang pertolongan yang mahu dihulur, "Hasbunallah wani'amal wakil, Allahlah sebaik-baik pembantuku" - saat terlontar dari lastik gergasi untuk dihukum bakar hidup-hidup.

Dan, kerana iman yang begitu agam, api yang secara fitrahnya membakar, dengan kudrat dan izin Allah SWT, menjadi sejuk dan sejahtera, untuk Nabi Ibrahim AS, selama empat puluh hari. Di dalamnya, berkat keimanan yang kukuh di dalam hati baginda, Allah menyelamatkannya daripada terbakar, hatta satu bulu roma pun tidak tersentuh oleh api, bahkan di dalamnya pula, tersedia bermacam juadah, untuk santapan seorang hamba yang dikasihi oleh Tuhan Semesta Alam.

Dan, Nabi Ibrahim bukan sekali sahaja diuji dengan begitu getir. Malahan berkali-kali. Dan setiap kali, baginda membuktikan, bahawa hanya Allah sahajalah yang mengizinkan segala-galanya berlaku dan sandaran kepercayaan hendaklah pada keizinan-Nya itu. Kali ini, baginda diperintahkan untuk meninggalkan kedua-dua insan tercinta, anak dan isteri, betul-betul di pinggir rahang kematian. Siti Hajar, isteri yang setia dan taat pada suami, bertanya pada baginda. Dua pertanyaan tidak berjawab. Namun, Siti Hajar, bukannya wanita yang mudah mengalah. Dia adalah wanita terpilih.

"Apakah kau akan pergi meninggalkan kami di sini?"

"Sekeras-keras hati ayah, akan lembut juga apabila melihat anaknya yang hampir pada jurang kematian. Sekeras-keras hati suami, akan lentur juga apabila mengetahui isteri yang tercinta akan terjatuh ke dalam lembah kematian. Namun, apakah dayaku, ini perintah Allah."

Di dalam hati, Nabi Ibrahim sekali lagi membina keyakinan. Jika Tuhan yang sama menyelamatkannya dahulu daripada api, maka Tuhan yang sama akan menyelamatkan anak isterinya. Tuhan itu Tuhan yang Satu, yang Esa - LaillahaillAllah. Tiada Tuhan Selain Allah.

Lalu, baginda melangkah, menuju ke utara, ke bumi Syam untuk usaha dakwah.
Pengorbanan merupakan satu-satunya kunci yang membuka pintu akan menuju ke daerah yang teragung. Daerah rahmat Allah yang dikurniakan, sungguhpun kaki masih berjijak di atas muka bumi ini lagi. Dan, Nabi Ibrahim, menjadi insan yang membuka denai menuju ke daerah itu, untuk ditelusuri oleh cucu-cicit baginda, yang salah seorang daripadanya adalah insan yang paling agung yang pernah dicipta, baginda Nabi Muhammad SAW. Denai Hanif, sebagaimana difirmankan Allah.

Tabiat pengorbanan inilah, yang menjadi inti agama. Ibrahim berhijrah seorang diri meninggalkan dua insan yang bertakhta di hati, demi menyambut perintah Ilahi. Begitu juga Nabi Muhammad SAW dan para sahabat Radiyallahuanhum, berhijrah ke Madinah, meninggalkan segala yang mereka punyai, demi menyelamatkan iman dan melaksanakan perintah Malikul Mulk dan Rasulullah SAW. Berhijrah untuk melangkah ke daerah lebih agung. Dan untuk melalui pintu yang menghijab itu, pengorbanan sahajalah yang menjadi kunci.

Berkat doa Nabi Ibrahim, dilahirkan umat yang mulia. Berkat doa Nabi Ibrahim, Mekah yang dulunya bukan tempat asbab untuk hidup, menjadi tumpuan jutaan manusia, zaman-berzaman. Dan, berkat doa Nabi Ibrahim jugalah, agama Islam, agama yang terakhir untuk manusia, mengikuti tabiat pengorbanan yang telah dilakukan oleh baginda.

Dalam pengorbanan, ada ganjaran. Bukan sahaja di sini, bahkan ganjaran itu akan berkekalan selama-lamanya di akhirat. Dan, pengorbanan apa lagi yang teragung, melainkan pengorbanan untuk agama.

Pernah ulama' berkata, "tanpa pengorbanan, meskikah ada keimanan." Juga, dalam nada yang lain, "semakin besar pengorbanan, semakin besarlah keimanan."

Sebenarnya, dalam agama kita ini, itulah yang dipinta Allah SWT. Saat kita berikrar bahawa tiada yang layak disembah melainkan Allah, kita juga berikrar bahawa Nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah. Setiap sunnah, setiap denyut fikir agama, setiap degup risau umat - kitalah yang mengikutinya, untuk membenarkan ikrar yang telah dibuat. Inilah ikrar seorang yang sanggup berkorban - seorang yang sanggup berpagi-pagi untuk mendirikan solat, bersusah-payah untuk menuntut ilmu agama dan menyebarkannya, menahan sabar dan marah melayani karenah manusia, bertungkus-lumus untuk mengikhlaskan hati untuk setiap amalnya.

Dan tiada lagi pengorbanan yang lebih besar yang boleh dilakukan insan, melainkan keluar berjihad di jalan Allah dan sanggup menggadaikan nyawa dan kehidupannya, untuk meninggikan kalimat paling agung, paling tinggi, paling keramat.

Inilah denai yang dirintisi oleh para ulama' dan orang soleh. Di hadapan mereka, ada para wali, para ulama' besar. Di hadapan mereka, ada para sahabat. Dan, mereka semua dipimpin oleh seorang manusia, sebaik-baik insan, Rasulullah SAW. Destinasinya adalah keredhaan Allah. Nabi Ibrahim sudah membuktikannya, bahkan, baginda sudahpun berjaya tiba.

Namun, itu kisah mereka, terakam dalam buku-buku sirah dan kitab-kitab agama. Persoalannya, adalah kita. Hari ini, di dalam zaman yang sudah malap cahaya Nabi, apakah kita sanggup memikul kunci pengorbanan, untuk melangkah ke daerah teragung yang penuh dengan kenikmatan dan kelazatan yang berkekalan, dalam keredhaan Allah SWT?

Dan setiap orang yang bersedia, akan bangun dan memberikan nama!

Sri Petaling
14 Jun 2010

Nota: Isi dan inti bayan Maghrib oleh Maulana Syaukan dan terjemah oleh Maulana Hamid semasa Jord Malaysia 2010

Tiada ulasan: