Sebagai seorang penuntut, pelajar dan mahasiswa jurusan sains, saya kira pengembaraan geologi selama dua minggu di Ormniston dan Aileron amat-amat berguna dalam kehidupan.
Dari segi akademik, ajaran pensyarah untuk membentuk pemikiran saintifik, yang selari dengan konsep 'interpretation based on observation,' dengan menyertakan 'scientific evidence,' saya kira telah berjaya diserap masuk ke dalam minda setiap pelajar. Juga, dalam aspek pengajian geologi ini, tidak dapat tidak, pelajar perlu mempunyai imaginasi 4D yang tinggi. Imaginasi 4D yang dimaksudkan di sini adalah imaginasi panjang, lebar, tinggi yang berubah-ubah mengikut masa. Dan sudah semestinya, tempoh masa yang diperkatakan dalam jurusan geologi adalah tempoh masa berjuta-juta tahun.
Itu dari segi akademik.
Dari segi penuntut pengalaman, saya kira, saya adalah antara yang bertuah.
Dahulu, sewaktu berada di bangku sekolah menengah dahulu, saya tak pernah bercita-cita pun untuk menjadi ahli kaji bumi. Sungguhpun, pada waktu itu, kerap kali saya nampak pajero Jabatan Mineral dan Geosains negeri yang berwarna ungu mengunjungi sekolah. Apa yang bermain di fikiran saya waktu itu adalah untuk menjadi jurutera sahaja. Namun, akhirnya saya memilih geosains pada permohonan pelajaran di pengajian tinggi, tanpa mengetahui apa-apa pun mengenai latar belakang jurusan ini. Sebenarnya, pilihan itu dibuat atas alasan ingin mencuba. Dan antara sebab lain saya memilih, kerana siapa yang mendapat biasiswa Petronas pada zaman itu, dikira sebagai pelajar sekolah yang terbaik, walaupun tanpa mengira jurusan apa yang diambil.
Tetapi, saya bukanlah pelajar yang terbaik sekolah pun. Saya cuma pelajar biasa-biasa sahaja yang tidak pernah sekali pun mendapat nombor satu dalam tingkatan.
Benar kata peribahasa, tuah ayam nampak di kaki, tuah batu nampak pada 'quartz veins'-nya, tuah manusia, Allah sahaja yang tahu.
Bertuah juga kerana dapat mencabar diri ini sampai ke had yang paling maksimum. Bertuah juga kerana dapat merasai keperitan hidup di tengah-tengah gurun dan merasai perih-jerih mengerkah tenga memanjat gunung-gunung yang tinggi. Bertuah rasanya tidur di dalam khemah selama dua minggu, di mana malamnya terdengar lolongan Dingo dan angin yang tak putus-putus menghentam khemah. Bertuah juga saya kerana dapat memahami bagaimana Tuhan membentangkan alam ini, menghamparkan plat-plat bumi dan menyaksikan sendiri, bagaimana sejarah dan evolusi batu-batu, sungguhpun pada mata kasar kita, batu-batu itu kelihatan tidak bergerak walau satu milimeter.
Malam kedua yang dingin di Ormniston, saya tak keluar ke tandas pun. Entah macam mana, saya terlelap kembali dan bila waktu Subuh, baharulah saya keluar ke tandas. Dan entah bagaimana, lolongan Dingo dua tiga hari akhir kami di Ormniston, semakin lama semakin hilang. Mungkin Dingo-dingo itu telah dihalau jauh-jauh oleh renjer.
Kini, di samping menulis entri yang panjang untuk pengalaman di Central Australia, saya juga perlu menyiapkan laporan akademik tentang kajian kami di sana. Sebenarnya, mahu sahaja saya kongsikan tentang evolusi batu di Aileron dan Ormniston yang menakjubkan itu, akan tetapi, bila memikirkan tentang ruang dan kapisiti pembaca, saya kira, halaman ini bukanlah tempat yang sesuai. Saya berkira-kira, untuk mengolah pengalaman akademik ini melalui satu ruang yang lebih menarik. Apa kata, ia dinovelkan?
Begitulah ceritanya pengalaman kami di sana, pelajar jurusan geologi.
Dan, sekarang, saya berada di semester akhir, tahun terakhir saya di sini. Tinggal beberapa bulan lagi sebelum saya kembali ke Malaysia untuk mengalami fasa hidup baharu. Terasa, 3 tahun belajar di sini seolah-olah sungguh cepat berlalu.
Namun, kehidupan perlu diteruskan, walau apa pun cabaran yang mendatang. Baik cabaran itu berbentuk sebuah pengembaraan.
Sekian (buat masa ini)
p/s: lagu penutup cerita : lagu tema Indiana Jones
1 ulasan:
fuh mmg bes
Catat Ulasan