Kelab Peminat

Konflik di sisi lain

Saya telah terpinggir dalam dunia pengarangan sejak bulan ini kerana disesaki dengan pelbagai kerja-kerja akademik dan aktiviti-aktiviti non-akademik. Biasalah, mahasiswa tahun terakhir di dalam semester terakhirnya dan saya sendiri malas menghuraikan 'assignment' yang tak putus-putus datang. Tambahan, sekarang ini di dalam bulan 8, bulan kemerdekaan dan hampir juga ke bulan Ramadhan. Dan, seperti tahun-tahun sebelumnya, bulan lapan akan diisi penuh dengan pelbagai kegiatan mahasiswa, baik sesama mahasiswa Malaysia ataupun mahasiswa luar negara.

Minggu lepas, ISSUA atau persatuan pelajar Islam University of Adelaide menganjurkan Islamic Awareness Week, selama dua hari di Eclipse Room, Union House. Tahun-tahun sebelumnya, saya tidak berkesempatan untuk bersama-sama di dalam expo ini, namun, tahun ini, saya mencari peluang untuk menjadi sukarelawan umum. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar, sepertimana yang telah dirancangkan. Ada banyak buku, poster dan tayangan video yang memaparkan sisi dan perspektif realiti sebenar Islam dipamerkan buat para pengunjung yang terdiri daripada pelajar dan staf University of Adelaide.

Ramai juga yang datang singgah. Pada mulanya, saya ditugaskan untuk mengedar pamplet di luar Eclipse Room. Kemudian, apabila ada pengganti, saya melepak di dalam ruang expo, melayan tetamu yang datang. Dan tetamu yang datang itu, sudah semestinya mempunyai ragam.

Saya mengkagumi tetamu yang datang untuk mencari maklumat, berkaitan dengan Islam, melalui sumber primier, iaitu melalui mulut orang Islam sendiri. Misalnya, ada seorang lelaki, datang bertanyakan, apakah sebenarnya agama Islam itu? Kalau ia sekadar agama biasa, kenapa ia menjadi sebegitu popular di kalangan media? Apa sebenarnya mesej yang ingin dibawa oleh Nabi Muhammad SAW? Dan apakah sebenarnya yang dilakukan untuk menunjukkan bahawa orang itu benar-benar mengikuti agama Islam?

Namun, seperti yang dijangkakan, ada juga yang datang untuk membuat masalah. Boleh kata, inilah pengalaman pertama saya mengendalikan orang yang datang, untuk berdebat, bukannya untuk mencari apa yang benar, sebaliknya untuk mengatakan orang salah, berdasarkan pemahamannya. Lama juga saya dan Azmi menjawab dan cuba memahamkan lelaki ini, akan tetapi, setiap kali kami cuba untuk membina basis pemahaman dan perbincangan, dia tegar melontar persoalan lain, barangkali dengan niat untuk menambah kekeliruan. Salah satu ayat yang masih ternigang di kepala adalah:

"I don't believe in you guys."

Dan, katanya itu dikeluarkan di saat kami cuba menenangkan beliau, yang gagal mengetengahkan lojik tentang konsep teologi yang difahaminya.

"Say to him, how unfortunate you are," kata Brother Mustafa, apabila saya dan Azmi menceritakan perbualan kami dengan lelaki itu.

Bagi saya, Islamic Awareness Week telah memberi sedikit pencerahan mengenai apa yang bermain dan persepsi masyarakat non-Muslim, terutamanya di negara Barat mengenai Islam. Pada pendapat saya, pengetahuan ini penting untuk kita, sebagai orang Islam, untuk memudahkan pergerakan dakwah; iaitu untuk membetulkan salah faham dan persepsi yang salah terhadap Islam yang dipasakkan dalam jiwa dan fikiran mereka.

Kemudian, dua hari lepas, saya sempat menyertai program 'Israel Apertheid,' namun ia sebenarnya bukanlah di bawah kendalian ISSUA. Yang mengesankan, aktiviti ini bersifat penerangan daripada 2 orang aktivis yang menyokong pembelaan masyarakat Palestin yang dizalimi Israel dan para penonton boleh bangun; sama ada untuk bertanya soalan, mengutarakan komentar ataupun berdebat dengan speaker. Speaker pertama adalah aktivis sosialis dari Australia yang telah banyak menjalankan misi kemanusiaan di Palestin. Manakala, speaker yang kedua adalah seorang psikataris Yahudi anti-Zionis.

Sudah semestinya, ada penonton yang bangun mencabar penerangan yang diberikan oleh kedua-dua speaker. Dan, pencabar-pencabar itu sudah semestinya pelajar-pelajar dari Israel.

Apa yang menarik perhatian saya adalah sikap mereka ketika berada dalam aktiviti yang mempunyai perdebatan. Mereka, walaupun saling memerangi hujah, penganjur masih lagi mampu mengawal ketenteraman dewan daripada dicemari dengan adegan penuh emosi. Tidak dapat dinafikan, saya akhirnya membuat kesimpulan sendiri, sememangnya budaya masyarakat di sini (yang berkulit putih, baik Yahudi atau Inggeris), sukakan perdebatan untuk menguji sejauh mana kukuhnya hujah mereka terhadap seseuatu pandangan. Lagipun, inilah kali pertama saya saksikan dua orang Yahudi bertelagah, berkenaan isu Israel dan identiti mereka.

Dari sudut lain, saya kira, saya mendapat pencerahan mengenai apa pandangan orang Yahudi (anti-Zionis) tentang Israel. Ya, dari segi kemanusiaan, saya bersetuju dengan speaker kedua ini, yang menentang kezaliman Israel dan sikap Apartheid mereka. Sebagai seorang psikataris, beliau menjelaskan punca mengapa Yahudi Zionis menjadi demikian; iaitu kerana perasaan paranoid dan takut mereka akan peristiwa Holocoust yang akan berulang kembali. Jadi, penubuhan negara haram Yahudi, seperti kata beliau, adalah untuk melindungi bangsa Yahudi daripada melalui sekali lagi pengalaman getir perang dunia kedua. Namun, kesalahan mereka adalah; mereka pula melakukan kezaliman atas bangsa lain iaitu bangsa Palestin yang selama ini telah hidup aman dan damai selama beribu-ribu tahun.

Akan tetapi, idea penyelesaian yang dicadangkan beliau masih lagi boleh dibincangkan. Idea 'One State Solution,' yang bagi beliau lebih demokratik dan lebih saksama, bagi saya, masih banyak kelemahan. Ini kerana, proses itu seolah-olah mengukuhkan lagi negara Zionis Israel, sungguhpun memberi keadilan semula kepada rakyat Palestin. Ini kerana, pada pandangan beliau, sebarang sempadan Israel-Palestin akan dibubarkan, dan negara baru akan ditubuhkan, di mana di negara baru itu setiap rakyat, baik Arab atau Yahudi, mempunyai menikmati kerakyatan dan layanan yang serata. Dan, sistem perundangan dan pentadbiran di negara baru tersebut, sudah pasti akan mengambil sistem yang sedang digunakan oleh Israel sekarang.

Namun, perlu diingat, kebanyakan Yahudi yang mendiami Israel bukannya penduduk asli tanah tersebut. Mereka adalah orang yang berhijrah ke tanah Palestin dan menubuhkan negara di situ, itupun dengan bantuan British. Jadi, seharusnya, tanah itu perlu dikembalikan pada pemilik asalnya, iaitu masyarakat Palestin yang asal, bukan kepada orang imigran yang tiba-tiba datang entah dari mana.

Itulah pengalaman saya sepanjang seminggu bercuti daripada laman blog ini. Buat pembaca yang setia, jangan marah kalau saya terlambat mengemaskini ruang ini. Terima kasih kerana menjadi pembaca yang setia.


1 ulasan:

ihsan_huhu berkata...

IAW mmg best. tiap2 taun aku volunteer, taun nih xdpt sbb xdok kat uni

tp kdg2 aku kecewe ngn jawapan2 volunteer yg terlalu teknikal, n kdg2 xmenjawab soalan.

psl talk israel tuh mcm best je, kl ade ag sound r k. aku nk bawak bom. hahahaha