Menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan negara, memori di dalam kepalaku ligat beracilut.
Antara yang kuingati adalah bagaimana sebuah jet pejuang MIG29, turun dari angkasa tinggi, turun pada latitud lebih kurang 1000 kaki dan menujah enjinnya yang sekuat halilintar itu. Waktu itu aku masih kecil, darjah lima. Dan waktu itulah Pulau Pinang menjadi tuan rumah untuk sambutan kemerdekaan peringkat kebangsaan. Dan waktu itu jugalah kali terakhir aku lihat Anwar Ibrahim, mantan TPM, melambai tangan melalui kereta Proton Perdana Hitam, milik kerajaan Malaysia. Bunyi enjin MIG29 itu usahlah diremehkan. Kami sekeluarga yang pada waktu itu dalam perjalanan balik untuk mendapatkan kereta, tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi yang super kuat. Kami menyangkakan langit di atas mahu runtuh atau kiamat mahu terjadi seuasi sambutan kemerdekaan tersebut. Benar. Semua orang yang berjalan berdedai-dedai tertunduk dan hampir meniarap di atas jalan raya yang dibasahi hujan renyai-renyai. Apabila dengung di telinga mula menghilang, kami perlahan-lahan mendongak pada langit yang mendung dan melihat ekor MIG29 yang berapi-api.
Marah kami (penonton sambutan kemerdekaan) bukan kepalang pada juruterbang yang buat formasi entah apa yang memekakkan dan memeranjatkan serta menakutkan orang awam di bawah. Kalau dia tersilap terbang, lalu menghempas kami di bawah ini, siapa yang akan dipertanggungjawabkan?
Kemudian, tahun bertukar, tetapi aku tak pasti bila tahunnya. Sambutan kali ini pula adalah di Jalan Bagan Luar, sambutan peringkat negeri Pulau Pinang. Walaupun ia sekadar peringkat negeri, sambutannya bolehlah dikatakan meriah, sehingga Jalan Utama di tengah-tengah pekan Butterworth itu terpaksa ditutup untuk menampung khemah para dato'-dato' menteri dan orang kenamaan. Orang yang datang untuk menyaksikan perbarisan, usahlah dibilang. Berbeza dengan cuaca sambutan kemerdekaan di mana juruterbang MIG29 buat hal itu dahulu, kali ini iklimnya panas terik, walaupun majlis bermula awal pagi. Matahari terang-benderang kononnya turut sama meraikan hari kemerdekaan ini. Sebenarnya, Jalan Bagan Luar ini, terletak hanya beberapa puluh meter sahaja dari rumah. Maka, hari itu, Mak tetap juga membawa aku dan adik untuk menyaksikan perbarisan hari merdeka, walaupun sedikit lewat. Sesampainya kami di simpang empat Jalan Bagan Luar dan Jalan Heng Choon Thian, orang telah berhimpit-himpit dan saling mencalit peluh untuk menyaksikan skuad yang berkawad. Kami terkebelakang dan terpaksa merabat (memanjat) pasu-pasu bunga tepi jalan untuk melihat keseragaman anggota tentera dalam melangkah megah.
Tiba-tiba, tidak jauh dari kami, ada seorang perempuan yang tak bertudung, jatuh terlentang dan hampir-hampir menimpa orang di belakangnya. Dia menggelupur di atas jalan-raya dan kelihatan mulutnya berbuih-buih. Orang yang berada berdekatan mula panik dan seolah-olah ada pertunjukan baru di belakang barisan penonton yang bertolak-tolak di depan. Peluh orang ramai memercik dek cemas melihat situasi yang tak dijangkakan berlaku di hadapan mata. Perempuan dalam lingkuan awal 30-an itu terkial-kial melawan sawan yang menyebabkan jarinya mengerekot dan terketar-ketar.
Mujur Mak berada betul-betul di belakang tempat wanita itu menggelupur. Mak segera merangkul lengan perempuan yang berbadan besar itu, mendudukannya, mencari perdu tengkuknya dan pantas mencekak dua alur di belakang, betul-betul di kulit di mana rambut perempuan tadi berhenti tumbuh. Lama juga Mak mencekak tengkuk perempuan itu sambil terkumat-kamit membaca selawat. Orang ramai yang duduk di tepi barulah terhegeh-hegeh nak membantu. Itupun orang perempuan juga.
Tidak beberapa lama kemudian, pasukan St. John Ambulance pun tiba. Perempuan tadi kembali normal dan bajunya lencun kerana peluh. Mak cuba menenangkan perempuan sawan tadi daripada menangis teresak-esak. Mungkin kerana malu. Mungkin kerana segan. Dua petugas St. John Ambulance membawa perempuan itu hilang di celah orang-orang ramai. Kasihan betul nasib orang yang patriotik sedemikian.
Kini, di luar negara pula, aku masih dapat merasai sambutan kemerdekaan.
Yalah, nama pun duduk 'oversea.'
Sambutan di sini, yang diurus oleh mahasiswa lebih bersifat ringan. Ringannya kerana berpaksikan kepada hiburan. Bukan nak kata sambutan dekat Malaysia tak berpaksi hiburan, tapi, jujur kata, sini, aku rasa, berlebihan sangat hiburan itu. Hairan juga aku, sebab sukar nak rasionalkan tema sambutan: sama ada sambutan kemerdekaan, atau sambutan hiburan?
Majlis biasanya ada makan-makan, ada berlakon-berlakon, ada nyanyi-nyanyi dan sebagainya. Dan, yang paling memeningkan kepala, ada pula tari-menari dalam sambutan kemerdekaan tersebut. Tak tahulah nak kait celah mana antara perjuangan menuntut kemerdekaan dan tari-tarian ini. Mungkin, dahulu, ada pasukan tarian ini pergi ke London, menari depan Queen Victoria, lalu atas dasar kesenian, Queen British itupun melepaskan Malaya daripada belenggu penjajahannya. Lalu, kawan-kawanku, lelaki dan perempuan, mungkin kerana menghayati perjuangan tari-tarian tersebut, maka ditarikanlah kembali di depan audiens. Entah betul atau tidak, aku pun tak tahu. Entahlah, aku sendiri tak banyak baca buku sejarah.
Tapi, aku pun rasa terkilan, tempoh aku mengaji di sini cepat sangat. Teringin juga nak buat sambutan kemerdekaan yang luar dari biasa di alam kampus. Bukan takat nak terbangkan MIG-29, bukan takat nak bagi orang datang ramai-ramai; sampai ada yang kena sawan sebab kelemasan, bukan takat ada pancaragam askar, bukan takat lakonan semula perjuangan menuntut kemerdekaan melalui tarian - tapi lebih dari itu semua itu.
Apa sebenarnya yang lebih dari kemeriahan sambutan-sambutan yang aku ceritakan tadi?
Sudah semestinya mesej kemerdekaan yang penuh bermakna, yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan kita sebagai manusia.
Bunyinya retorik dan boleh kata macam slogan untuk pertandingan mencipta slogan kurang dari 15 patah perkataan.
Tapi, itulah cita-cita aku yang tersirat, yang aku sendiri rasa mustahil untuk dijelmakan.
Tapi itulah.
Merdeka itu semua, aku rasa macam hambar sahaja, bila berpuluh-puluh kali sambut, tapi tak ketahuan hala lagi kenapa sambutan itu dibuat.
Mungkin ini perasaan aku sahaja, yang mungkin mempunyai tahap rasa yang berbeza.
Aku bukan psikik yang boleh baca perasaan orang lain.
Maaflah.
3 ulasan:
retoriknya sambutan kemerdekaan sama saja setelah 52 tahun, a kali pertandingan kawad, pertunjukkan jet pejuang, kereta kebal dan lori MPSP + Bomba, dan boleh agak dah apa bahannya kali ni.Perkara yang sama dibincangkan semasa berbuka puasa sebentar tadi bersama adik-adik. Cuma Nabilah agak terpinga-pinga..
moga mereka menghayati betapa pentingnya kemerdekaan ini.
terima kasih mak, kerana menanam cinta mendalam along terhadap tanah air.
:D
Memang la..mahasiswa2 kita ni..makan tido berak...duit masuk tiap2 bulan..belanja awek...dating..tgk movie..gi HQ...sumenye hiburan...tu jadi cam tu.Cuba kalau hidup tu susah. kemerdekaan hanya boleh dihayati apabila kita dapat mengatasi sesuatu cabaran..apa cabaran yg mahasiswa2 kite tempuhi..setakat jawab exam tu tak kot..kate scholar..sume pandai2...tentu lepas...tapi cabaran2 yg dihadapi ibu bapa kita masa kecil..kemiskinan,keganasan komunis,zaman jepun. Tapi tak, kite sume masuk ke dunia ni,semua dah ada...terutamanya hiburan.Pandangan seposen saya. Minta maaf kerana guna bahasa melayu pasar, ini pun satu cabaran yang perlu saya atasi.
Catat Ulasan