Kelab Peminat

Tujuh

Minggu pertama Ramadhan sudah hampir habis. Tempoh projek proses penyucian, pembinaan dan pemantapan jiwa dan rohani tinggal tiga suku bulan lagi, atau 21 hari lagi. Dua puluh satu hari bukanlah lama mana. Sahur, pergi kelas, balik rumah, pergi masjid untuk berbuka, solat tarawih, tahajud dan sahur kembali, menjadikan masa itu terasa memecut laju macam kenderaan di atas lebuhraya.

Hari ini, saya pergi ke Al-Khalil lagi, bertemu dengan saudara yang sudah beberapa hari tidak berjumpa.

Selepas berbuka, sempat juga kami berbual selama hampir setengah jam.

"Masalah Islam sekarang adalah berpunca dari orang Arab," pernyataannya ringkas.

Belum sempat dia menyambung, ada seorang lagi saudara, memotong perbualan kami dan topik yang baru diasaskan oleh beliau itu, terbengkalai begitu sahaja.

"Dahulu aku pun rasa macam itu juga," monologku dalam hati, menyambung kembali pembinaan topik itu. "Tapi sekarang, aku rasa hipotesis itu macam tak tepat pula."

Hari ini, sewaktu menyudahkan 'assignment' di makmal komputer Huxley, bangunan Fizik (yang menjadi tempat lahirnya beberapa penerima Nobel, antaranya adalah adik-beradik Bragg), aku berkesempatan berbual dengan Azmi yang duduk di sebelah komputerku.

"Aku berasa sedih dengan dengan sikap segelintir pihak yang mempertikaikan hukuman Kartika." Azmi menyatakan kekesalannya. Itu setelah aku tunjukkan ulasan Norhayati Karpawi (Sisters In Islam) yang menulis di dalam Malaysiakini.

Aku cuba menyelami ombak yang bergulung di dalam jiwa Azmi. Getar yang berlubu di hatinya terpancar di balik raut wajahnya yang muram.

Tiba-tiba, kedengaran penggera percubaan, untuk menguji sistem penggera keselamatan jika berlaku kebakaran. Kami bergegas keluar dan di luar, langit mulai mendung dan angin yang bertiup terasa dingin.

"Walaupun mereka meletakkan ayat Al-Quran sebagai hujah, tetapi aku takut ia ditafsir dalam konsep yang salah. Yalah, walaupun ada kelemahan dari segi pelaksanaan hukuman, namun tidak patut mereka mempertikaikan undang-undang itu," sambung Azmi.

Sewaktu kami masuk ke dalam kembali, aku meneruskan kerja rumahku yang sepatutnya perlu dihantar Isnin ini. Namun, atas ihsan pensyarah, ia ditunda. Itupun kerana terdapat masalah teknikal, kerana, untuk menyelasaikan kerja rumah ini, kami perlu menggunakan perisian ERDAS Imagine, yang tidak dapat diakses selepas waktu kelas dan bilangan pelajar Remote Sensing yang ramai, menyukarkan kami menggunakan perisian itu secara individu.

Walaupun telah ditangguh, 'assignment' ini perlu dihantar juga. Inilah tanggungjawab sebagai seorang siswa - memenuhi kehendak pelajaran yang telah diaturkan oleh pensyarah.

"Masyarakat kita menolak perkara yang tidak baik." Aku berkongsi pemahaman sosiologi masyarakat tempatan. "Peraturan bertulis sememangnya ada. Pada masa yang sama, ada 'peraturan' yang dihakimi oleh masyarakat kita. Misalnya, tentang isu Kartika ini, perbuatan beliau, jelas melanggar 'peraturan' masyarakat yang terdiri daripada Melayu yang Islam. Maka, selayaknya, beliau dihukum kerana melanggar 'peraturan' itu."

"Maksudnya?" tanya Azmi. "Cuba jelaskan."

"Begini. Aku mendengar hujah SIS dari Al-Jazeera, yang mengatakan, perbuatan Kartika adalah dosa peribadinya dan mahkamah syariah tak layak menghukum. Namun, pada pandanganku, aku rasa, masyarakat kita bukannya jenis individualistik. Kita ini orang Islam, hidup dalam satu kesatuan Ummah. Apabila perkara yang tidak baik berlaku, maka semua individu dalam Ummah bertanggungjawab ke atas perkara yang berlaku tersebut. Ini kerana; pertama, dosa itu memang Kartika tanggung. Kedua, perbuatan Kartika itu membahayakan Ummah. Ketiga, jika ummah tidak mempedulikan hal ini, sudah pasti masalah ini akan merebak, dan merosakkan keseluruhan ummah itu. Keempat, memang Kartika boleh bertaubat, tetapi, untuk keadilan dalam taubat itu, atau untuk taubatnya diterima, beliau perlu melalui hukuman yang setimpal terhadap kesalahan yang telah dilakukannya," aku menyenaraikan hujahku pada Azmi. Dia sememangnya seorang yang tekun mendengar. Pengalaman kami berhadapan dengan Evangelis, yang tidak mahu mendengar langsung penjelasan kami mengenai konsep ketauhidan Islam, membuatkan kami lebih rapat. Barangkali rapat dari segi intelektual dan sinergi pemikiran.

"Benar. Lagipun, hukuman sebatan yang dikenakan, bukannya seperti mana hukuman sebatan yang kita tahu. Hukuman yang Kartika bakal hadapi, tidak melukakan dan tidak dipukul di kemaluan. Malah, tukang jalan hukuman itupun perlu melalui prosedur yang telah ditauliahkan. Cuma, mungkin si pelaksana hukuman itu masih belum ada pengalaman dalam hukuman pertama ini. Jika mereka menghujahkan Umar yang memaafkan kesalahan mencuri kerana kemiskinan, takkan mereka lupa pula yang Umar pernah menjalankan hukuman terhadap anaknya yang berzina."

Ada lojik. Ada rencana keadilan, baik untuk Kartika dan ummah seluruhnya. Namun atas kepentingan apa perkara ini dipersoalkan? Aku bertanya-tanya dalam hati.

Apakah menjuarai sangkaan-sangkaan dalam diri, kerana masih samar-samar tentang apa yang betul apa yang salah?

Bukankah undang-undang telah digubal, dan mahu dikuatkuasakan pada yang terbukti bersalah. Yang pincangnya pelaksanaan hukuman itu. Jadi, itulah yang harus dikritik. Bukannya sandaran hukuman itu. Juga, bukannya mempertikaikan munasabah atau tidak, menghukum orang yang meminum arak.

"Pada pendapat akulah kan, masalah umat Islam adalah 'knowladge illiteracy.' Kita sukar mendapat akses ilmu untuk memahami hakikat kebenaran yang ada dalam Islam itu sendiri. Jadi, kita mudah untuk menuduh itu dan ini, tanpa sandaran, atau sekadar bersangka-sangka sahaja," aku merumuskan perbincangan dengan mengetengahkan punca masalah. Ini aku petik dari ulasan Professor Dr Afifi Al-Akiti, pensyarah Melayu dalam Teologi Islam di Oxford University, UK.

Kami kemudian, usai ke surau, untuk solat Asar dan bersalaman sambil memasang janji, untuk bertemu keesokan harinya, untuk wacana yang lebih mendalam.

Ah, kenapalah dunia mahasiswa ini cepat benar berakhir.

1 ulasan:

Khairul Azmi berkata...

Walaupun singkat, moga-moga manfaatnya berpanjangan.

:D