Kelab Peminat

Warkah Cinta Tsani (2)

Assalamualaikum,

Eloklah kita memetik soalan kita dahulu, saat kita membentang fikiran ilmu.

“Nikmat bersama suami isteri adalah nikmat tertinggi. Begitu juga tersentuh kulit dengan api, yakni, terasa seksa yang tak terperi. Sebab itulah dicipta syurga dengan bidadari dan neraka yang dibuat dari api. Jadi, di dunia lagi, Tuhan tunjuki, yang mana menuju ke bahagia abadi. Namun, hakir tinggalkan dengan teka-teki, apakah bahagia itu mempunyai erti?”

Biarlah kita bentangkan, apa lagi huraian persoalan.

Bahagia di dunia, bukan sekadar saat berdua sama, lelaki mahupun perempuan. Kita minta untuk memikirkan, peri binatang yang sama kelakuan, bersenggama tanpa ada batasan – apakah itu bahagia yang kita jadikan cerminan? Nah, kata seorang cendekiawan, masalah makna kebahagiaan, perlu lebih dihuraikan dan diteliti dengan kajian.

Pernah kita yang hakir mendengarkan, bahagia itu mengikut pengertian sendiri insan. Ada yang bahagia kerana harta bertimbunan, ada yang bahagia kerana perempuan rupawan. Ada yang bahagia kerana menjadi jaguh mengalahkan lawan, ada yang bahagia kerana licik menjatuhkan kawan. Sehingga dikata, bahagia itu tak mengandungi pengertian, bergantung pada perasaan insan. Bergantung pada nasib, suasana dan keadaan.

Maka, jika begitulah maksud bahagia yang menjadi persetujuan, apakah nanti, balasan syurga bergantung pada pendapat dan kepuasaan perasaan, untuk setiap manusia yang merupakan makhluk Tuhan? Apakah ini inti pemahaman, setiap manusia yang mengikut nabi akhir zaman, yang mengaku beriman dan yang bersikap ihsan?

Kata seorang teman, ada sebab ajaran Nabi untuk jadi ikutan. Kata agamawan, dengan mengikut sunnah sahaja akan mendapat kejayaan berkekalan. Dalam beragama, ada anjuran dan ada larangan. Digalak, akan insan, mengetahui kepentingan sesuatu amalan, ihsan dalam kelakuan dan ikhlas dalam setiap perbuatan. Dalam kehidupan, elok insan itu apabila berada di titik pertengahan. Bukan dibiar menurut syaitan, mengikut nafsu dan melampau batasan.

Biar kita ini, hamba Malikul Manan, perikan sebuah perumpaan. Dalam perjalanan menaiki kenderaan, ada simpang, ada belokan. Ada juga kenderaan kawan di belakang dan juga di depan. Kalau dilanggar petunjuk dan peraturan di atas jalan, apakah akan selamat sebuah pengembaraan? Bayangkan pula, jika semua pengguna jalan, patuh pada peraturan - bukankah perjalanan akan menjadi lebih tenteram dan aman?

Nah itulah dia kehidupan beragama yang selalu dijadikan misalan.

Jadi, ukuran kebahagiaan, mengikut kata cendekiawan, adalah sejauh mana diikut peraturan yang telah disyariatkan. Bahagia itu apabila benar tindakan dan keputusan insan - pada sesuatu tempat, masa dan keadaan. Inilah dia dinamakan keadilan. Dan apabila adil, sampailah ia pada kebenaran. Tiada lain petunjuk keadilan, melainkan agama Rasul akhir zaman. Kerana itulah, kita bentangkan, dengan mengikut agama, yang maksudnya kesejahteraan, akan mengecap kebahagiaan zaman-berzaman.

Namun, perasaan kita dilanda kegusaran, jika setuju agama itu menjadi panduan kehidupan, takut ada khilaf pemahaman dan silap pelaksanaan. Asbab, agama sekarang difahamkan sebagai tindakan sekat-sekatan, halang-halangan dan pantang larangan. Risau hati kita, dengan kata yang sering kedengaran, “Dalam agama, itu tak boleh, ini tak boleh, jadi apa yang dibolehkan?”

Inilah, insan yang hakir, mahu membentangkan tambahan fikir. Manusia itu umpama air. Lebih separuh badannya adalah cecair. Begitulah juga bagaimana jiwanya diukir. Dan fitrah air itu adalah mengalir. Jika kiri dan kanan, diempang sampai tiada alir, sudah pasti akan timbul bencana banjir.

Kita tahu agama kita bukan begitu. Bukan hanya tahu membendung ini dan itu. Bukan hanya mengarah, begini dan begitu.

Agama kita kunci bahagia.

Nantilah. Akan kita perikan dalam warkah seterusnya.

Sekian.

Wasalam.

1 ulasan:

Elham berkata...

MasyaAllah...so much wisdom for someone so young!!

I'm praying that my kids will grow up to be 'thinkers' like you...

Dont ever stop writing!