Kelab Peminat

Episod 2: Sesat dari Mount Boothby


Hari kedua di Aileron terasa segalanya semakin mencabar. Demam dan batuk memamah kesihatan dan kecergasan, malah otakku semakin pudar kecerdasannya. Namun, semangat yang ditonjolkan oleh Mus, Ringo, Syed dan Mariah membuatkanku terasa ketinggalan andai mahu berehat-rehat sahaja meladeni ketidaksihatanku di dalam khemah. Lantas, aku berpagi-pagi bangun dan menguatkan semangat, demi pelajaran dan pengetahuan yang harus dituntut. Aku sematkan dalam jiwa, 'aku tak bisa mengalah.' Suara halus di dalam jiwa mengatakan 'pantang dicabar,' juga bersipongangang di dalam relung jiwa. Entah kenapa slogan-slogan bersemangat itu bergema-gema dan tidaklah aku ketahui dari mana puncanya. Apa-apa pun, ada hari yang mencabar yang perlu ditempuh.

Kami memanjat Mount Boothby setinggi 800m dari aras laut. Struktur gunung itu sendiri terasa amat mendangkalkan. Sementelah dengan kesihatanku yang terumbang-ambing, setiap dakian ke puncak terasa seperti kezaliman terhadap staminaku. Aku tertinggal jauh ke belakang. Terjatuh terlentang sekali tatkala mahu melangkah batu setinggi paha. Tergolek ke dan tertampan sekali lagi di atas pokok Spinifex dan banyak sembilu yang tertancap di tapak tangan. Hari bersama 'demonstrator' yang berjalan laju di hadapan terasa amat-amat melelahkan, apatah lagi bagiku. Seringkali aku tertinggal di belakang dan tercungap-cungap mencari udara. Kawan-kawan sekumpulan dalam kajian lapanganku ini sibuk menghulurkan tangan, membantuku sekadar termampu.

Mount Boothby terdiri daripada susunan batu yang besar, yang melindungi kawasan yang lebih tinggi di belakangnya. Maknanya, apabila kami memanjat gunung ini, kami terasa seolah-olah sudah berada di puncak, padahal, apabila kami bergerak dua tiga langkah ke hadapan, rupa-rupanya ada 20 meter lagi untuk dilangsaikan. Apabila kami menakluk 20 meter itu, ada lagi 20 meter yang perlu dipanjat lagi. Perkara ini berulang empat kali kalau tak salah aku. Dan empat kali menghadapi situasi ini, memang benar-benar memerah tenagaku sampai ke titisan terakhir.

Kami tiba di puncak lebih kurang jam 3 petang. Itupun, aku sudah kenanaran dan malas mengambil data dan bacaan batu di situ. Penerangan 'demonstrator' tidak lagi aku dengar, sebaliknya aku hanya duduk-duduk dan terasa seperti hendak muntah. Entah ke mana teriakan semangat 'aku tak bisa mengalah' dan 'pantang dicabar' hilang. Apa yang mampu aku beri perhatian adalah keindahan dari puncak Mount Boothby itu, melihat muka bumi Australia yang terbentang dengan daratan. Gunung-gunung dan bukit-bukit lain yang berada di sekeliling kelihatan seperti pulau-pulau di tengah samudera, memacak tinggi dan dari puncak, kelihatan kenderaan yang melalui lebuhraya dua lorong seperti seekor semut yang bergerak perlahan-lahan. Itulah yang mampu aku hayati. Bukan lagi kuliah geologi di atas ketinggian 800m dari aras laut.

Jam 4 petang, kami bertolak pulang, menyusur jalan curam untuk sampai kembali ke bas. Jalan turun dari puncak Mount Boothby sangat-sangatlah mencabar. Serasa-rasa, kecondongan jalan turun itu melebih 30 darjah. Kebanyakan ahli kumpulanku mengambil keputusan untuk mengambil jalan pintas untuk sampai ke tempat parkir bas. Jalan pintas ini melalui kawasan paling curam dan merempuh hutan pokok Gum dan busut-busut semut.

Seperti biasa, aku paling lambat sekali dalam perjalanan, termasuk perjalanan pulang ini. Mujur, aku ditemani oleh seorang pensyarah yang berjalan di belakang sekali, untuk memastikan keselamatan pelajar, seperti aku tentunya. Terkial-kial juga aku menyusun langkah, mengelak spinifex dan batu-batu longgar, dan sekali sekali menggelungsur dan melompat, supaya selamat mencari keseimbangan tempat berpijak. Akan tetapi, seperti bicara peribahasa, malang tak berbau, sungguhpun lalat gurun terbang di mana-mana. Aku terjatuh juga sekali lagi di atas spinifex. Seluarku juga koyak kerana terlanggar gerigis batu yang tajam. Luka-luka di badan, usahlah diceritakan.

Setelah perjalanan turun yang mengerah fizikal dan mental, perjalanan masih berbaki 3km merempuhi hutan pokok Gum dan busut-busut semut. Sebenarnya, kami tak nampak pun tempat parkir bas dan kawan-kawan kumpulanku sudah jauh meninggalkan aku dan pensyarahku ini. Susah juga menentukan koordinasi memandangkan kami terselindung di bawah pokok-pokok setinggi 3 meter dan hari juga semakin gelap. Berpandukan kompas, pensyarah yang menemaniku tadi cuba menentukan arah. Mula-mula kami berjalan lurus. Apabila perjalanan kami tiba-tiba dihalang oleh sebuah bukit kecil, kami berdua menukar arah. Kemudian, kembali memanjat bukit kecil tersebut kerana merasakan arah kami tersilap. Di puncak bukit kecil tersebut, pandangan kami ke arah tempat parkir bas masih tak kelihatan.

Perjalanan masih jauh, perasaanku memberitahuku. Jarak dari tempat kami berdiri seakan-akan tiada penghujung, apatah lagi dengan tubuhku yang sudah tak bermaya. Air di dalam kantung beg dan botol juga telah kering. Kakiku juga telah kebas dan terasa lecetan di tapak kaki menjadi semakin kritikal. Ingin sahaja aku rebah dan pengsan, supaya ada orang mengangkatku dan tak perlulah aku berjalan lagi dengan penuh seksa. Tetapi, memikirkan rasional cadangan yang tak masuk akal ini, aku cuba gagahkan diri. Sekali lagi, slogan 'aku tak bisa mengalah' dan 'pantang dicabar' berbunyi-bunyi di kuping telinga, seolah-olah ada orang yang berucap dengan penuh karisma memberi semangat padaku.

"How far we gonna walk?" tanyaku, memberi isyarat putus asa. Memang aku terasa kami berdua telah sesat di tengah hutan pokok Gum dan busut-busut semut yang berwarna merah setinggi pinggang.

"It should'nt be far. Let's keep walking," loghat British pensyarah amat pekat dengan optimis, dan aku terasa sangat kelat untuk menelan realitinya. Dia kelihatan yakin dan cuba memberi keyakinannya padaku.

Aku mengeluh. Berjalan, kadang-kadang cuba menambah kelajuan, tetapi kembali termengah-mengah. Hari semakin dingin dan semakin kelam. Pokok-pokok di hadapan seakan tidak ada penghujungnya. Tambahan, pensyarah yang bersamaku ini tidak berhenti langsung untuk berehat sejak tadi. Letih dan penat, cuba meruntuhkan semangatku yang masih bersisa.

'Aku tak bisa mengalah.'

'Pantang dicabar.'

'Tuhan, kerdilnya aku di bumi-Mu.'


Akhirnya, aku nampak kelibat Mus yang berada di hadapan. Harapan di jiwa mulai menyinar dan aku dapat rasakan, kami tidak jauh lagi dari tempat parkir bas. Juga, perasaan tersesat di tengah hutan pokok Gum dan busut-busut semut semakin memencil. Aku kuatkan langkah, sepadan dengan tenaga yang masih bersisa. Dalam hatiku, aku kuatkan diri dengan berzikir dan berzikir, lagi dan lagi, mengingati kebesaran Tuhan dan menginsafkan diri, betapa lemahnya diri ini di tengah alam ciptaan-Nya.

Setelah hampir sejam lebih kami berjalan, akhirnya, kedengaran bunyi kereta dari lebuh raya. Kelihatan beberapa kelibat pelajar yang berjalan di hadapan dan kami bersegera menyertai mereka. Akhirnya, kelihatan bas yang berwarna putih yang diletakkan di pinggir lebuh raya dan beberapa pelajar lain yang sedang duduk-duduk.

Saat itu, aku terasa seperti segala beban yang berada di pundak meresap ke dalam udara dan tubuhku terasa ringan untuk melangkah kembali. Aku hanya mampu tersenyum, pada Mus dan pada Horsyam, rakan dalam kumpulan kajianku. Aku duduk bersebelahan jalan lebuh raya, meminta air dari Horsyam dan cuba berbual-bual dengan Mus, untuk mengusir segala rasa ingin pitam.

Sesampainya di tempat perkhemahan, aku merebahkan diri di dalam khemah, di atas tilam angin yang empuk, setelah solat jamak ta'khir asar dan zuhur. Itulah tenaga yang akhir yang aku rasakan masih tinggal. Dan hari itu, sekali lagi, aku tidur awal seperti malam sebelumnya. Pada firasatku, setakat kehidupanku ini, inilah hari yang menduga fizikalku sampai ke hadnya. Syukur pada Tuhan, aku dapat menempuhinya dengan cekal dan tabah.

Akan tetapi, hari pemetaan masih banyak lagi, hitungku sendiri.

(bersambung)

1 ulasan:

ihsan_huhu berkata...

tuh r ko kencing xmintak izin nanna n grandpa

hahaha