Kelab Peminat

Sila Sediakan Wang Syiling Secukupnya

Disklaimer: Entri ini, untuk penumpang yang mempunyai syiling yang cukup sahaja.

Di dalam bas, sudah pasti anda mengesani banyak tulisan-tulisan, berupa arahan, pemberitahuan atau undang-undang am. Misalnya, di dalam bas yang mempunyai pendingin hawa, yang tidak membenarkan aliran udara keluar-masuk, anda pasti akan dapat lihat sebuah tulisan undang-undang am : 'Dilarang membuang sampah keluar dari kenderaan ini!' Tergaru-garu juga kepala membaca pemberitahuan ini. Terfikir juga, bagaimana hendak melanggar undang-undang in di dalam bas yang tingkapnya tidak boleh dibuka langsung.

Semasa beratur, cuba anda bulatkan mata, terutamanya jika anda menunggu di depan pintu bas yang belum terbuka. Di sebelah kanan pintu, anda pasti akan mengesani satu pemberitahuan 'Sila Sediakan Wang Syiling Secukupnya.'

Adakah anda mempunyai masalah dengan pemberitahuan ini?

Cuba kita ambil contoh situasi, yang mungkin ada kaitan dengan anda.

Katakan anda adalah penumpang bas Putrajaya, yang mahu ke Kuala Lumpur. Tambang bas untuk satu kepala penumpang adalah RM3.80. Anda menyeluk-nyeluk saku anda, mencari-cari duit syiling, untuk mencukupkan nilai 80 sen itu. Namun, walaupun kuat bunyi kerincing duit syiling di dalam saku, anda dapati yang anda hanya mempunyai 6 keping duit syiling sepuluh sen. Yakni, anda tidak cukup 20 sen untuk membayar tambang penuh perjalanan ini.

Kemudian, anda membuka dompet, melihat wang kertas. Anda mempunyai 4 helai wang kertas 1 ringgit (RM4), 20 sen lebih daripada nilai tambang perjalanan.

Anda tiada pilihan lain kerana anda sudah berada di hadapan pemandu dan di belakang anda, orang mengibas-ngibas muka kerana marah dan bosan menunggu lama pemandu bas untuk membuka pintu.

Tidak dapat tidak, anda terpaksa menghulurkan 4 keping wang kertas seringgit kepada pemandu dan dengan tiada apa-apa perasaan, pemandu itu akan menyuruh anda menyentap tiket putih yang tertera tulisan seperti di bawah:

** (nombor bas dirahsiakan). Ekspres - Sehala. RM 3.80.

Pernahkah anda bertanya pada diri sendiri, ke mana perginya 20 sen anda itu?
Kenapa pemandu bas tidak memulangkan duit baki anda?

Kalau pemandu bas itu memberi alasan bahawa wang yang dijolok ke dalam tabung besi tidak boleh dikeluarkan (yakni, jika anda membayar RM10 pun, anda tidak akan mendapat baki wang anda!), anda perlu bertanya begini:

kenapa tidak direka sebuah sistem yang boleh memulangkan baki yang telah diberi, macam zaman dahulu, waktu bas masih memakai sistem konduktor dan ketip besi?

Ini persoalan-persoalan, kalau anda utarakan pada pemandu, sudah pasti ia tidak direspons ataupun paling bagus pun, mereka akan menjawab; "Dah depa buat macam ni, nak buat macam mana." Ataupun, "Kalau nak duit balik, naik bas M**** (nama syarikat bas dirahsiakan)."

Dua puluh sen, atau dua kupang, mempunyai nilai yang sangat besar sebenarnya. Bayangkan anda berada dalam situasi genting, telefon bimbit anda kehabisan bateri dan anda berada di tengah-tengah hujan lebat dan mahu mama anda mengambil anda. Dua kupang inilah asbab untuk membantu anda pulang ke rumah dengan selamat dan tidak basah kuyup.

Di samping itu, dua kupang jika dikumpul daripada sepuluh orang penumpang, pasti akan berjumlah 2 ringgit. Ini menunjukkan, syarikat bas R******, mendapat untung 2 ringgit dalam satu perjalanan, secara 'memaksa' penumpang membayarnya, boleh juga dikatakan 'mencuri.'

Apakah ini satu bentuk jual-beli yang adil? Anda tahu dan bersetuju perjalanan dari Putrajaya ke KL berjumlah RM3.80, tetapi anda terpaksa membayar RM4 dan baki 20 sen tidak dikembalikan, gara-gara tabung besi yang menganga menanti wang anda itu tidak boleh dibuka dan pemandu itu sendiri tidak kisah 20 sen anda dikembalikan atau tidak!

Jadi, dalam hal ini, saya ingin menyarankan beberapa perkara untuk menyelesaikan kemelut ini.

1. Syarikat bas perlu memaklumkan, bahawa wang baki untuk bayaran yang melebihi harga tambang tidak akan dikembalikan. Kos untuk membuat pemberitahuan ini boleh diambil dari kos membuat makluman undang-undang yang tidak boleh dilanggar - 'Dilarang membuang sampah keluar dari kenderaan ini' yang tertampal pada bas berpendingin hawa dan tingkapnya tidak boleh dibuka sampai bila-bila pun. Ini boleh dilakukan dengan mengganti pemberitahuan 'Sila Sediakan Wang Syiling Secukupnya' dengan 'Haha! Wang lebih yang anda bayar tak akan dikembalikan!'

2. Membuat pas bulanan pada penumpang. Penumpang akan membayar sejumlah tambang pada awal bulan dan pas ini akan digunakan sepanjang bulan itu, bergantung berapa banyak kali pun penumpang itu hendak menggunakan perkhidmatan bas. Harga bulanan sudah semestinya rasional dan masuk akal. Inisiatif ini telah dilakukan oleh bas RapidKL dan saya amat menyokong penuh usaha ini. Saya membeli pas integrasi yang boleh digunakan untuk semua jenis kenderaan awam bercap RapidKL. Syabas RapidKL!

3. Membuat 'doket', iaitu mata yang boleh dikumpulkan daripada hasil baki yang tidak dipulangkan. Mata yang dikumpulkan ini boleh ditebus dengan tambang perjalanan percuma atau hadiah berupa topi, kipas dan botol air mineral yang dicop dengan nama syarikat bas. Ini secara tidak langsung merupakan salah satu strategi pemasaran. Penumpang juga boleh memanfaatkan merchandise ini semasa kepanasan menunggu pemandu bas yang lambat.

4. Menambah satu sistem pemulangan baki bayaran penumpang. Cuba ambil contoh perkhidmatan bas Metro di Adelaide Australia. Pemandu disediakan dengan satu sistem pemulangan baki penumpang, di mana duit-duit syiling pelbagai nilai diaturkan dan penumpang yang membayar lebih untuk tambang akan mendapat kembali baki.

Ada banyak lagi usaha yang boleh dilakukan untuk memberi keadilan kepada penumpang. Ini adalah salah satu usaha untuk membanteras kelelahan penumpang yang selalu memberi ulasan negatif pada pengangkutan awam di Malaysia.

Dua kupang sebenarnya nilai yang kecil yang dicuri oleh syarikat bas berbanding nilai masa yang diambil secara sesuka hati. Nilai masa, yang disebabkan oleh kelewatan pemandu memulakan perjalanan, atau kadang-kadang terpaksa menunggu trip lain kerana pemandu sengaja melanggar jadual tetap (kerana bertolak awal), lebih berharga berbanding wang ringgit. Masa tidak boleh dibayar semula. Khazanah masa penumpang yang dicuri oleh pemandu dan syarikat bas yang tidak bertanggungjawab perlu dibayar dengan harga yang setimpal.

Moga suatu hari nanti, kita boleh berbangga, bahawa pengangkutan awam di Malaysia adalah terbaik di dunia.

Tiada ulasan: