Kelab Peminat

Eksistensialisme dan Sisyphus


Pada suatu hari, saya menyatakan hasrat kepada Cikgu saya, bahawa saya mahu menulis tentang pertembungan faham eksistensialisme dan faham Islam. Waktu itu, di Pesta Buku dan Cikgu saya sedang kesibukan menandatangani autograf daripada peminat bukunya. Perbincangan kami tersangkak-sangkak, namun tetap berisi.

"Kalau kamu ingin mengarang tentang ekistensialisme," kata Cikgu, "kamu kena memahami falsafah itu dalam-dalam." Dalam bicara Sofa Putih ITNM, Cikgu mengkritik beberapa pengarang Malaysia yang cuba memasukkan faham eksistensialisme ke dalam karya sastera.


Saya mengambil semangat Cikgu. Saya mengkesampingkan beberapa genre eceran dan menyimpan cemburu terhadap rakan-rakan pengarangan yang beberapa kali menyiarkan karya mereka di akhbar arus perdana - lalu memberi fokus yang begitu mendalam terhadap pengarangan yang saya maksudkan. Ia seolah-olah janji saya kepada Cikgu - untuk menghasilkan karya dan menghantarnya ke tempat yang akan diberi perhatian penuh oleh khalayak pembaca.

Saya cuba memesrai Albert Camus, pengarang L'Etranger (The Stranger). Juga menjadi pengamat jalur beberapa tokoh eksistensialis seperti Soren Kierkegaard juga Friedrich Nietchsze. Melalui pembacaan, saya mendapati mereka menolak konsep ketuhanan dan cuba menjadikan manusia itu sentral hakikat kehidupan.


Tiga prinsip asas eksistensialisme yang mencirikan mereka adalah, menentang, bebas dan ghairah. Mereka juga berpendapat bahawa mencari kebenaran itu adalah usaha yang absurd, di mana usaha mencari kebenaran itu adlaah sia-sia kerana kebenaran itu sendiri tidak ada. Dan saya dapati, ia menjadi teras pemikiran liberalisme yang cuba melarikan dan menafikan hakikat keagamaan dan ketuhanan.

Yang menarik perhatian saya adalah Myth of Sisyphus - sebuah esei Albert Camus. Penat juga memahami Absurdism yang cuba diperkenalkannya, kerana ia adalah satu konsep asing dalam sarwa pandang Islam. Lalu, saya membuat rujukan saling, di dalam karya Prof. Syed Naquib al-Attas - Ma'na Kebahagiaan dan Pengalamannya dalam Islam dan menemukan konsep sa'adah dan syaqawah. Alhamdulillah, dari situ saya mendapat pencerahan, apatah lagi apabila Prof Syed Naquib al-Attas menghurai mengenai ma'na syaqawah. Tidak dilupakan, kertas kerja Dr. Syamsudin Arif sewaktu Kolokium Pemikiran Syed Naquib Al-Attas di MAS Academy tidak lama dahulu (anjuran HAKIM), memberi manfaat besar kepada pemahaman saya.

Sewaktu mendaki Bukit Broga pagi tadi, saya sempat bercerita kepada dua sahabat saya mengenai Sisyphus, watak dalam mitos Greek yang menjadi hero absurdism Albert Camus. Sisyphus menerima hukumannya abadinya itu dan menganggap itulah kebahagiaannya. Seperti pandangan seorang eksistensialis-absurdis, mereka menganggap bahawa usaha mencapai kebahagiaan adalah kebahagiaan itu sendiri.


Banyak yang ingin saya huraikan. Namun, eloklah saya menyimpannya dahulu supaya karya itu dinikmat dalam satu hidangan lengkap nanti - moga-moga mengenyangkan intelektual pembaca. Usaha kecil saya, untuk ketamadunan Melayu-Islam, harapnya akan memberi manfaat kepada bangsa dan negara. Amin, InsyaAllah.

Rumusan di nota kaki Prof Madya Zainy Uthman, yang ditemukan di dalam terjemahan karya Ma'na Kebahagiaan dan Pengalamannya dalam Islam, Professor Syed Naquib al-Attas, mungkin boleh membantu anda mengenali siapa Sisyphus.

Sisyphus merupakan seorang watak di dalam lagenda Greek, anak kepada Aeolus dan Enarete dan dikenali sebagai seorang penipu. Pada suatu hari, Sisyphus dikatakan telah melihat dewa agung, Zeus menculik dewi yang bernama Aegina. Aegina merupakan anak kepada Asopus dan Metope. Lalu, Sisyphus berjumpa dengan Asopus dan memberitahu ke mana anaknya dilarikan oleh Zeus. Sebagai balasan, Asopus menjanjikan mata air sebagai hadiah.


Apabila Zeus mengetahui bahawa rahsianya dibocorkan oleh Sisyphus, dia telah menghantar Thanatos, yang merupakan dewa kematian orang Greek, untuk menghukum Sisyphus. Namun, dengan kelicikan Sisyphus, dia berjaya mengurung Thanatos dan menyebabkan manusia tiada lagi dewa kematian. Ini akhirnya mengakibatkan manusia tidak lagi mati dan pertumbuhan manusia menjadi semakin ramai.

Dewa-dewa Greek menjadi gempar. Lalu mereka menghantar Ares untuk melepaskan Thanatos daripada kurungan lantas mencari di manakah Sisyphus. Sekali lagi, Sisyphus melakukan muslihat. Dia telah meminta isterinya untuk melaksanakan segala upacara kematiannya, sementara rohnya dihantar ke alam kematian Hades. Namun, isteri Sisyphus tidak melaksanakan wasiatnya dan Sisyphus mengambil peluang ini untuk menipu Hades dengan kembali ke alam asal kerana mahu menyempurnakan jenazahnya dan berjanji akan pulang semula ke alam kematian selepas menyempurnakan urusannya itu. Namun, sekali lagi dia mengingkari janjinya dan terus tinggal di tempat asalnya.

Kerana sikapnya yang suka selalu berbohong kepada dewa-dewa, maka ruhnya ditangkap dan diazab di alam Tartarus, alam tempat segala ruh diseksa di dalam mitos Greek. Seksaan yang terpaksa dilalui selamanya oleh Sisyphus adalah mengangkat batu besar ke atas gunung dan apabila dia sampai di puncak, dia akan menolak batu itu semula menuruni lurah dan dia akan mengulangi usaha mengangkat dan menolak batu itu berulang-ulang kali, tanpa henti.

Terima kasih Arif dan Hijaz kerana membawa saya ke Puncak Broga, juga memberi gambar-gambar yang menarik di sana tadi. Rindu pada alam terubat juga akhirnya.

1 ulasan:

Hijaz Kamal berkata...

Salam.No worries mate.terima kasih menjadi teman bual dan berkongsi cerita masa perjalanan ke puncak!!!Sememangnya advencer pagi tadi lebih bermakna dengan cerita Sisyphus.