Kelab Peminat

Takbir dalam kuliah


Dahulu, sewaktu menuntut di semester pertama tahun pertama di sekolah Sains Bumi, Universiti Adelaide, kami diterangkan mengenai beberapa teori untuk mengukur berapakah usia bumi. Antaranya adalah teori yang dikemukakan oleh ilmuan Kristian, menerusi Bible, juga beberapa ilmuan barat lain seperti teori penyejukan bumi (oleh Lord Kelvin), teori keasinan laut dan teori pereputan radioaktif. Di dalam praktikal, kami disuruh untuk mengira usia bumi ini, berdasarkan setiap satu teori tersebut. Ternyata, setiap satunya menghasilkan bilangan yang berbeza-beza.



Dalam semester pertama juga, kami dihuraikan mengenai teori evolusi. Saya kira, sekolah Sains Bumi saya ini merupakan pendokong kuat Darwinisme. Bahkan, dalam kuliah, kami diminta untuk mengkesampingkan sebentar pendapat agama mengenai bagaimana makhluk itu dijadikan - supaya sesi kuliah dapat dijalankan dengan aman dan tenteram. Saya pernah mendengar kisah seorang pelajar Kristian bangun berdebat dengan pensyarah dek kerana ketidaksefahaman ini - sehingga pelajar itu terpaksa dihalau keluar dari dewan kuliah atas alasan pelajar lain juga hendak belajar.

Tiga tahu menuntut ilmu geologi, teori dan praktikal - membuatkan saya keliru. Pertama, faham geologi di sini menggunakan sarwa pandangan (worldview) Barat yang terang-terang menjenakakan Tuhan sebagai pencipta alam. Kedua, mereka mengangkat Darwinisme sebegitu tinggi sehinggakan pendapat yang dilihat bercanggah dengan teori evolusi dianggap salah bahkan tidak benar. Ketiga, mereka sangat empirikal dalam penilaian kebenaran sesuatu konsep sains - sungguhpun disiplin sains kaji bumi amat memerlukan daya taakul dan logik yang begitu tinggi (kebanyakan data geologi adalah sukar diakses oleh indera, kerana banyak data terletak di bawah perut bumi dan proses kejadian alam menjangkau jutaan tahun).

Bahkan, selalu sahaja saya  terasa dipersendakan kerana menolak Darwinisme tanpa hujah yang kukuh.

Dalam penegakan teori Darwinisme, Charles Darwin menggunakan data-data (tengkorak) yang ditemuinya untuk mendokong kesimpulannya - kerana pada pendapatnya, suatu ketika dahulu, manusia telah mengalami pemilihan semula jadi (natural selection), daripada beruk sebelum memiliki jasad seperti manusia sekarang. Dan, dalam teorinya, proses evolusi ini mengambil masa ribuan tahun untuk menghasilkan manusia seperti yang ada sekarang. Sungguhpun huraiannya, pada pandangan saya - salah - namun ia bertitik tolak daripada data yang sahih dan boleh dipercayai. Jadi, bagaimana untuk menyangkal hujah Darwinisme, jika mereka mempunyai kekuatan dari segi data dan bukti emperikal tersebut?

Melihat pengalaman lepas saya mendengar kuliah agama dan daurah yang menyentuh mengenai hakikat penciptaan manusia ini, teori Darwinisme ditolak bukan dengan hujah yang munasabah dan mencerahkan. Ia masih lagi didaktik dan bersifat retorikal, berbanding penjelasan yang memahamkan akal dan nurani. Sungguhpun hujah di dalam kuliah dan daurah itu menggunakan ayat al-Quran (yang sudah tentu mutlak kebenarannya) namun ia tidak dapat dimanfaatkan sekiranya kita berkonfrontasi dengan mereka yang tidak mengimaninya. Tambahan, ayat al-Quran yang digunakan, belum tentu tepat dalam maudhuk perbincangan tersebut - melainkan hanya dikutip begitu sahaja tanpa renungan yang mendalam.

Alhamdulillah, hari ini, di dalam kuliah Dr Wan Suhaimi, mengenai hakikat kejadian insan - baharulah segala kekeliruan yang saya angkut pulang dari Australia itu, berjaya diselesaikan, terutamanya mengenai teori Darwinisme tersebut.

Dr Wan Suhaimi menggunakan ayat al-Quran, surah al-Baqarah, ayat 30:

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.” Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya."

Dr Wan Suhaimi kemudiannya mengutarakan persoalan mengenai bagaimana malaikat mendapat ilham untuk bertanyakan soalan tersebut (yang ditebalkan)? Lebih jelas lagi, bagaimanakah dari manakah malaikat mendapat gambaran bahawa makhluk yang diciptakan itu bakal menumpahkan darah? Adakah malaikat pernah melihat manusia seumpama Adam sebelum ini, yang berbunuh-bunuhan?

Dr Wan Suhaimi kemudiannya menghuraikan mengenai pandangan al-Attas mengenai hal ini. Ini kerana, bukti arkeologi yang diperolehi Darwin, yakni tengkorak-tengkorak tersebut, sememangnya benar. Namun, berdasarkan pengiraan usianya, tengkorak tersebut berusia puluh ribuan tahun. Sekiranya kita melihat usia manusia, sejak turunnya Adam dan Hawa dari syurga ke bumi ini, nescaya umur manusia itu tidak menjangkau sehingga usia tengkorak tersebut.

Jadi, al-Attas menjelaskan bahawa barangkali, apa yang dilihat oleh malaikat sebelum Adam, adalah haiwan yang mempunyai bentuk hampir sama seperti manusia, yang primitif dan selalu membuat bencana dan saling berbunuh-bunuhan. Dan sudah tentu, haiwan itu tidak dapat diertikan sebagai manusia - kerana ia primitif dan tidak mempunyai ilmu. Sedangkan, di dalam al-Quran, di dalam ayat seterusnya (al-Baqarah: 31-33) Allah menjelaskan bahawa Nabi Adam telah dilengkapi dengan ilmu.

Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar.”


Malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”


Allah berfirman: “Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka.” Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: “Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?”


Jadi, amatlah janggal sekiranya kita hendak mengatakan bahawa manusia seperti Adam itu tidak tahu lagi primitif sewaktu turun ke dunia, sehingga terpaksa menghuni gua-gua dan menggunakan batu dan kayu. Sedangkan, sewaktu baginda berada di syurga, baginda sudahpun menikmati kehidupan yang berpuluh kali ganda hebat dari dunia, dan baginda juga telah dilengkapi dengan segenap ilmu. Mustahil baginda Adam dan generasi awal manusia bodoh dan tidak mampu untuk membina ketamadunan awal manusia di bumi. Bahkan kisah Habil dan Qabil, anak-anak Nabi Adam, menunjukkan mereka telah bercucuk tanam dan mempunyai haiwan ternak sendiri.

Sememangnya bumi ini, diciptakan lebih awal daripada turunnya manusia dan telah berusia 4.6 billion tahun. Dan sudah tentu, terdapat makhluk lain yang menghuninya sebelum turunnya Nabi Adam dan Hawa. Sudah tentu juga, bukti kewujudan makhluk-makhluk yang mempunyai bentuk seakan-akan manusia itu, akan tersimpan di dalam lapisan tanah dan ditemukan oleh pencari seperti Charles Darwin. Namun, menisbahkan manusia seperti kita dengan makhluk tersebut sudah tentulah tidak tepat. Sememangnya, manusia dan haiwan lain, mempunyai banyak persamaan dari segi jasad, fizikal dan zahir. Namun, yang membezakan manusia dan makhluk lain itu adalah peribadinya dan akalnya. Lompatan kesimpulan Charles Darwin dalam hal ini, sememangnya tertolak.

Sungguh, saya terpana sewaktu Dr Wan Suhaimi menghuraikan mengenai perkara tersebut. Hal Darwinisme ini menghantui saya sekian lama. Mahu sahaja saya bertakbir di dalam dewan kuliah. Tetapi, takut dituduh gila pula.

Di sini, saya dapat melihat peluang saintis Muslim untuk mengkaji dengan lebih lanjut mengenai hal Darwin ini. Ia juga bahkan saranan Dr Afifi al-Akiti, yang mengambil contoh ilmuan silam dahulu, yakni Imam al-Ghazali menghadapi masalah kekeliruan ilmu di dalam zamannya yakni menjawab salah faham dan kekeliruan ahli falsafah pada waktu itu. Tambahan, di dalam buku Sayyed Hossein Nasr, Islam and Civilization in Islam, bidang kaji bumi Muslim masih lagi ruang besar yang belum diterokai. Sudah tentu, ia akan memberi manfaat yang besar buat ummat Islam nanti.

Jadi, ayuhlah kita, sebagai pelajar sains tabii (natural sains) menggunakan peluang ini untuk berjuang bersungguh-sungguh dalam bidang ilmu dan memandu umat ke arah peradaban yang lebih gemilang.

Wallahualam.

1 ulasan:

Al-Faqir 'Abdullah Munib ilaiHi berkata...

Jazakallah khair Saudara Teja, mohon saya terus dimaklumkan dengan ilmu berguna sebegini...