Kelab Peminat

Kahwin


Kahwin.

Meremang saya apabila disogokkan dengan persoalan begini. Mentang-mentanglah saya berada di senja usia remaja, maka mereka melobi peluang untuk menanyakan jawapan yang saya kira - panas dan sensasi.

Ya, sememangnya saya sudah bekerja. Meski tetap, namun pendapatan belumlah mencukupi untuk saya membuat sedikit simpanan. Pantas betul masa berlalu, seakan saya tua sebelum masanya. Pernah saya mengungkap kata-kata ini kepada pensyarah geologi saya yang begitu rapat - Alan Collins, sewaktu menuruni Devil's Peak di Banjaran Flinders. Nampaknya, saya belum memberitahunya, bahawa saya tidak lagi berada di dalam aliran kaji bumi, sebaliknya, berada dalam dunia penerbitan - sebuah dunia yang begitu asing lagi mencabar bagi saya.

Petang tadi, sewaktu memasak di rumah bujang, saya memberitahu sahabat serumah. "Kita harus bersyukur."



"Kenapa?" tanya kawan saya yang sedang menumbuk bawang di dalam lesung batu. Bergegar lantai rumah kami.

"Nanti, waktu kita senang, kita akan ingat kesusahan ini nanti," kata saya, di hadapan sinki. Bunyi ikan keli yang digoreng meletup-letup di dalam kuali.

Membina karier di aliran bukan niche saya, bukannya mudah. Saya bermula dari kosong. Bersusah-payah berulang-alik dari Putrajaya ke Setapak dengan menggunakan perkhidmatan awam selama lebih tiga bulan. Kemudian, barulah saya berpindah ke rumah sewa. Rumah sewa pertama saya, hanya saya diami selama satu hari. Saya membenci orang yang cuba mengambil kesempatan, kemudian, mengambil keputusan nekad - dibenci kerana mengkhianati janji mulut - berpindah ke rumah sahabat saya sekarang dan terus menetap di sini.

Saya belajar umpama bayi merangkak, bagaimana setimbun kertas, yang diapit pada dua keping kertas yang lebih keras - boleh mendatang pulangan, baik dari segi wang dan bakti. Bos banyak memberi peluang dan ruang untuk saya berjuang di dalam dunia yang serba mencabar ini. Sebagai seorang pekerja, saya seharusnya mengucapkan terima kasih dengan bekerja dengan bersungguh-sungguh.

Dalam dunia yang serba baru ini, pandangan saya berubah, hingga boleh dikatakan hampir semua sekali. Saya melambaikan tangan kepada dunia mahasiswa dan remaja saya. Sarwa pandang saya, barangkali mula dibentuk untuk memandang sesuatu, dengan lebih matang dan dewasa, berkat pelbagai ujian yang datang menimpa. Termasuklah pandangan saya buat hal ehwal perkahwinan ini.

Minggu lepas, saya menghadiri majlis pertunangan seorang saudara dekat. Saya berjumpa dengan atuk, ayah kepada mak.

"Berapa umur hang?" tanya atuk, yang duduk di sebelah saya, sambil menepuk-nepuk belakang saya. "Atuk ada calon. Hang nak?"

Saya ketawa. Malas nak mengungkit cerita kehidupan saya yang berjela-jela. Lalu, saya memberitahu rahsia di dalam rahsia itu, secara perlahan - berbisik di telinga.

"Oh ya ka. Muda lagi, muda lagi."

Sebulan sebelum itu, saya dilantik untuk menjadi pengapit, untuk perkahwinan sepupu saya, yang kebetulan sama umur dengan saya. Inilah pengalaman manis pertama saya berada di sebelah raja sehari, makan banyak di meja makan beradab dan membantu sepupu saya ini dalam proses akad nikahnya. Gembiranya saya melihat sepupu yang juga sahabat akrab saya ini. Dia sudah berpunya. Tidak seperti saya. Dunianya bertukar, selepas disahkan oleh kadi, wali dan dua orang saksi. Sedang saya, masih lagi terkerisin, di tepi, sambil membayangkan, bagaimana pula saya, jika berada di situasi itu.

"Nanti aku jadi pengapit hang pula," kata sepupu saya, saat saya mengucapkan tahniah.

Kahwin tidak pernah menjadi perkara mudah, kata mak. Kata-kata itu juga disokong oleh abah. Saya mengalah, apabila saya cuba mempertahankan hujah, "Kahwin Along senang sahaja, kita cuma buat kenduri bihun sup." Saya membayangkan persekutuan mak cik-mak cik saya, yang tinggal di sebelah utara. Mereka adalah sepasukan pakar memasak terutamanya dalam fakulti makanan berkuah. Belanja perkahwinan, kata dua orang tua saya - besar sekali. Kenduri bukan sahaja untuk memberi orang makan, bahkan ia adalah kenduri sebuah maruah, yakni maruah kedua-dua belah pihak.

Sememangnya kahwin bukan mudah. Saya terkesan dengan sebuah peristiwa yang tidak dapat saya lupakan. Minggu lepas, sewaktu singgah sebentar di sebuah masjid, saya lihat banyak kereta yang diparkir dan ramai orang berada di anjung masjid. Ada seorang pengantin perempuan yang sedang duduk di luar dan belakangnya digosok-gosok oleh ibunya. Saya bersolat di dalam, tidak merasakan apa-apa yang aneh akan berlaku. Namun, sebaik sahaja saya usai solat, saya melihat kelibat dua imam yang memakai jubah hitam, berlalu ke dalam pejabat masjid, meninggalkan para tetamu. Saya tidak bertanya, lalu berjalan ke luar. Di luar, kelihatan pengantin lelaki yang berbaju putih, menangis teresak-esak, sambil cuba ditenangkan oleh bapanya. Saya segan bertanya, kerana sebagai orang luar, sungguh tidak beradab jika saya mencampuri hal ehwal rumah tangga orang. Saya terus ke kereta dan menghidupkan enjin. Bayangan peristiwa itu, membekas kuat dalam jiwa.

Dalam hal ehwal perkahwinan, sukar sekali melihat aplikasi falsafah dan pemikiran, yang selalu didebatkan di dalam seminar dan kolokium. Tetapi, pengurusan perkahwinan sebenarnya adalah natijah daripada pemahaman falsafah dan pemikiran yang kita pelajari. Ia adalah gabungan antara agama dan adat, protokol dan budaya - yang hanya eksklusif buat makhluk bernama manusia. Dari perkahwinan, kita akan mengenal nilai sesebuah kemanusiaan, maruah dan kekeluargaan. Sebab itulah, dalam perkahwinan, banyak betul pantang larang dan tetek bengek yang harus dipatuhi. Manusia, bukannya seperti binatang, yang boleh sahaja membuat anak, di dalam belukar atau di dalam tandas, juga di dalam bilik pengantin. Sudah pasti, manusia itu lebih mulia kedudukannya, kerana martabat makhluk ini, bukan boleh dibuang di tong sampah atau pintu pagar masjid.

Dari perkahwinan juga, kita akan belajar bagaimana teori psikologi Islam Al-Ghazali (Jabatan Sastera UPM merupakan penganut tegar teori Al-Qalb, Al-Akl, An-Nafs) terjelma dalam kehidupan realiti. Kita akan mengetahui, siapa yang meraikan perkahwinan itu, dengan akal atau dengan nafsu. Di sini, kita nampak peranan mulut - yang menjadi pengaruh besar kepada Al-Qalb. Kerana penjajaan kata-kata sebelum, semasa atau selepas perkahwinan - persaudaraan boleh menjadi utuh atau runtuh. Kalau diikutkan mulut, sememangnya semua perkara, tidak ada yang kena pada tempatnya. Tetapi, jika sesebuah perkahwinan dan majlis itu dipandang dari sudut manusia dan kemanusiaan - ternyata, majlis yang meraikan wujudnya pertalian suami-isteri, menantu-mentua, besan-beson itu, tetap meriah, meskipun sederhana sahaja.

"Bila hang nak kahwin?" tanya sahabat saya yang menemani saya, pada waktu malam akhir lawatan kerja saya ke Jakarta.

"Aku pun tak tahu." Saya cuba berhati-hati dalam perkataan. Tidak mahu melangkaui apa yang telah diputuskan sejak azali lagi.

Bukankah doa mengiring kita semua. Sebab itulah, dalam perkahwinan manusia bernama Muslim, tauhid mengakari. Bahkan, doa untuk ditemukan isteri(-isteri) dan anak yang bertaqwa, diajarkan Allah di dalam Al-Quran. Malah, perkahwinan itu, selalu disinonimkan dengan pelbagai konsep agung yang terkandung dalam agama, seperti - membina masjid, pelengkap agama dan lain-lain lagi (yang tak terjangkau oleh pengetahuan saya).

Buat bakal isteri (atau suami) kita (juga saya), ayuh kita mengambil peluang, sementara teruna dan dara, sementara senggangnya masa, sementara luasnya peluang yang ada, untuk belajar dan terus belajar. Kita akan menjadi ayah, juga ibu. Dengan perkahwinan, kita akan melahirkan sebuah generasi yang baru, yang akan hidup di dalam dunia yang serba mencabar dan menduga - dalam dunia sudah terkikis nilai kemanusiaan dan kekeluargaan. Buat bakal suami dan isteri, juga bakal ibu dan ayah - suatu hari nanti, kita akan memegang pena dan berus, untuk mengarang dan mewarnai, jiwa putih anak-anak kita, supaya mereka menjadi pewaris dunia, dengan sinar iman yang bercahaya.

Selamat pengantin baru. Semoga kekal ke anak cucu. :)

2 ulasan:

Norziati Mohd Rosman berkata...

'berada di senja usia remaja'

Haha..sabar ajelah labu. Soalan tu akan selalu keluar. Siapkan sahaja jawapannya. Kalauorang tak tanya pun, dah boleh jawab..hahaha..

ihsan_huhu berkata...

kawen je la