Kelab Peminat

Pancaroba Jakarta 3

"Bapak, hari ini, orang kerja hanya setengah hari. Sabtu libur. Hari Minggu pun libur," kata pemandu teksi saat kami tersangkut dalam kemacetan Jakarta. Ada orang lalu-lalang melintasi teksi kami. Kedengaran hon di sana-sini.

Pemandu teksi tenang, seolah-olah menjangkakan apa yang sedang berlaku sekarang. Saya lihat ke kenderaan bersebelahan yang bergerak perlahan-lahan seperti kura-kura. Di pembahagi jalan, ada seorang penjaja tauhu sedang menarik gerai berodanya ke tepi. Selang beberapa meter dari penjaja itu, kelihatan pula seorang lelaki membawa sesuatu untuk dijual di tengah-tengah kemacetan trafik.



Kami pulang ke hotel tidak tepat pada waktunya, iaitu ketika orang ramai berpusu-pusu keluar dari tempat kerja. Lebuh raya empat lorong semuanya sesak. Ditambahi pula dengan keadaan yang mendung dan suram, serta kabut asap kenderaan memenuhi ruang udara - keadaan menjadi kelihatan begitu merimaskan. Kesesakan sebegini rupa, sama sahaja seperti kesesakan di Jalan Tun Razak, awal pagi sebelum kerja dan lewat petang selepas kerja. Kenderaan yang berada di atas jalan raya seolah-olah tidak bergerak.

"Selalu macet yang pak?" tanya saya, mengeluh.

"Iya." Dia tenang, seolah-olah tidak terkesan langsung dengan kegelisahan yang melanda saya.

Mujur kami menaiki teksi Bluebird, yang menggunakan kereta Toyota Vios. Jika di Malaysia, kita selalu dijejerkan siapa yang memiliki Vios ini, boleh dikatakan dia agak berharta - kerana bayaran bulanannya tidak pernah kurang dari RM600 sebulan. Namun, di Jakarta, Toyota Vios ini terdapat di mana-mana dan digunakan secara meluas sebagai teksi. Ruang dalamannya begitu menyelesakan, dengan tempat duduk kulit. Pendingin hawanya berfungsi dengan baik dan kami tidak perlu membuka tingkap untuk menghirup udara yang kotor di luar.

"Ini teksi bapak ya?" tanya salah seorang dari kami.

"Nggak. Teksi ini kami kongsi tiga orang. Ada putaran. Hari ini saya bawa, esok orang lain pula," jawab pemandu teksi itu - tenang- meski di luar keadaannya menyakitkan jiwa. Jika saya memandu dalam situasi ini, saya sudah pasti tidak akan berbual dengan sesiapa pun.

Hon bergema-gema di tepi telinga. Kenderaan yang mahu menukar lorong, berada begitu rapat dengan teksi kami, sehingga hanya beberapa sentimeter sebelum bersentuhan. Ada juga kenderaan yang menukar lorong dengan tiba-tiba, sehingga mengejutkan saya dan sahabat saya yang berada di belakang. Pemandu teksi itu hanya memberi hon sekali. Kemudian, ada sebuah lagi kenderaan yang menukar lorong secara tiba-tiba, sehingga teksi kami hampir-hampir melanggarnya. Tidak berapa lama kemudian, teksi kami pula mengambil giliran menukar lorong. Ia seolah-olah satu kebiasaan pula!


Saya menggelengkan kepala pada kawan saya setiap kali ada kejutan trafik. Segera saya membuat kesimpulan, jika mahu memandu di Jakarta, kemahiran yang begitu tinggi diperlukan. Pemandu, atau bahasa papan tanda di sini menggunakan perkataan 'pengemudi' - bukan sahaja perlu mengelak kenderaan, bahkan mereka juga perlu mengelak pejalan kaki dan penjaja tepi jalan yang melintas jalan secara tiba-tiba. Yang pastinya, sepanjang kemacetan ini, saya tidak pula melihat pemandu teksi di hadapan menjadi baran. Kesulitan dia memandu di tengah-tengah kemacetan trafik, juga sikap pemandu lain yang sambil lewa menukar lorong langsung tidak menggugat kesabarannya.

Sebenarnya, saya cuba mengutarakan hipotesis bahawa pemandu teksi di Jakarta secara umumnya adalah lebih baik dari Kuala Lumpur. Ini kerana, sewaktu kereta tersadai di tengah jalan, saya sempat membelek sebuah majalah yang diletakkan di belakang kerusi pemandu - barangkali terbitan syarikat teksi ini. Ada satu artikel menarik yang bertajuk - 'belajar sahaja dengan pemandu taksi Jakarta.' Pada muka surat itu, terpampang gambar YB Mustapha Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berjabat dengan beberapa orang kenamaan Indonesia. Salah satu gambar lagi, ada deretan teksi merah putih Proton Iswara, yang tentunya teksi di Kuala Lumpur. Belum sempat saya menjamah artikel itu, teksi mula bergerak laju. Saya gagal membaca apa yang tertulis.

Hari seterusnya, semasa saya menggunakan perkhidmatan teksi ini, ternyata, layanan yang serupa kami terima - yakni layanan yang baik dan berhemah. Walaupun pemandu teksi ini tahu penumpangnya ini adalah orang Malaysia, namun tiada kata makian yang kedengaran, ataupun apa-apa bentuk provokasi yang menyakitkan hati. Sebaliknya, kami diterangkan mengenai tempat-tempat yang menarik yang terdapat di Jakarta ini, seperti Monumen Nasional, Istana Presiden, Masjid Istiqlal yang mempunyai tujuh tingkat, kawasan perumahan orang kenamaan (kami mengesani ada dua kereta kebal di sini) dan sebagainya. Begitu juga dengan pemandu teksi lain yang tidak bosan menjawab segala bentuk soalan yang kami utarakan - termasuk persoalan demonstrasi anti-Malaysia tempoh hari. Dan, tahukah apa jawapan mereka?

"Nggak apa-apa pak. Mereka semua nggak berani kacau orang Malaysia di sini."

Layanan baik pemandu teksi di sini membekas. Saya tidak terasa asing sebagai pelancong, bukan sahaja kerana kami dapat bertutur dalam bahasa yang sama, bahkan dilayan seperti saudara pula. Ada pemandu yang menyanjung Malaysia sebagai negara yang baik. Ada yang mengatakan bahawa dia mempunyai pertalian saudara dengan rakyat tanah air kita. Ada juga yang nakal, bertanya kepada kami, 'bagaimana kalau Malaysia dan Indonesia berperang?'

"Kita serumpun pak. Kita sama saja pak. Tak elok kalau kita berperang sama-sama. Orang lain yang untung. Kita semua rugi," jawab saya.

Namun, setiap kali kami cuba memesrai pemandu teksi, ada satu soalan yang hampir sama ditanya, yang begitu menarik perhatian saya:

"Asalnya dari daerah mana pak?"

"Malaysia."

"Oh! Upin Ipin?"

"Kenapa dengan Upin Ipin, pak?"

(bersambung)

1 ulasan:

Norziati Mohd Rosman berkata...

Mereka sangat taksub dengan Upin dan Ipin. Malah kata-kata 'betul, betul, betul' menjadi sebutan harian. Indah bukan?