Kelab Peminat

Ratna

Semalam, aku memberitahunya tentang makna ratna. Selain daripada nama kepada sejenis permata, ia juga merupakan panggilan manja buat sang kekasih. Ratna pakaja, kataku padanya.

Di Ratana Kiri, negara Champa, hanya ratna ungu dan biru langit ditemukan. Aku memberitahu ratna pakajaku bahawa Ratana Kiri bermaksud Gunung Permata, dalam bahasa yang kami tuturkan.

yang bernama Sahabat


Sahabatku bertanya, kenapa setelah hampir sepuluh tahun berpisah - tatkala bertemu semula - seolah-olah perpisahan itu tidak pernah berlaku.  "Kau tetap aku kenali sepertimana sepuluh tahun dahulu," katanya.

DOM

Dari kiri, Saudara Faisal (PKPIM), Lutfi (Pena/Moderator), Termizi (UKM) dan Teja (Al-Ameen)
Semalam, saya menjadi panel untuk Dialog Orang Muda. Pendengarnya terdiri daripada pelbagai latar. Daripada mahasiswa, aktivis bahasa dan ilmuan yang setaraf pejuang. Kami membicarakan mengenai nasib bahasa Melayu yang sekadar melukut di tepi gantang di pusat keilmuan.

Mawar 3


Kekasihku, malam yang dingin sering membawa aku ke daerah mimpi yang aneh. Di dalam kabut bayangan, aku menerima sekuntum mawar merah yang segar dan mekar. 

Pada bilah dinihari, aku disedarkan dengan sebuah panggilan. Ayah angkatku berbicara dengan nada tertahan-tahan.

"Ibu kita telah tiada."


Mawar 2


Kesayuan jelas dari iris biru ayah angkatku ini tatkala dia memerhatikan ibunya yang terlantar itu. Dia anak yang bongsu, bercerai dengan isterinya beberapa tahun lalu dan tinggal berdua dengan ibunya. Aku menjangkakan hubungan mereka sudah tentu begitu akrab.

Tidak ramai penduduk yang aku kenal di sini mahu tinggal bersama dengan anak-anak yang telah besar. Budaya di sini mengkehendaki orang tua menjadi insan yang berdikari. Namun, melihat mereka berdua, bagiku sudah tentu ada jalinan istimewa yang memecah tembok budaya itu.

Mawar 1


Pelbagai musim telah berlalu, kekasihku. Musim yang mendapat perhatian Shakespeare di dalam Sonnet 18 - yang pernah aku bacakan padamu dahulu. Juga musim semi - yang begitu halus dinukilkan oleh Khalil Gibran di dalam karya-karya melankoliknya yang menjadi kesukaanmu itu. Dan dua lagi musim yang tidak pernah kita rasai di negeri kita.

Masih kuingat musim bunga itu, kekasihku. Di sana, hawanya Mediterian dan bunga berwarna-warni berkuntuman. Bunga lavender melata di pinggir jalan. Begitu juga anemone merah, ungu dan putih. Itu belum dicampur dengan bunga raya dan bunga matahari yang menyegarkan pandangan mata.

Yang pasti


"Aku mahu beritahu apa yang pasti dalam hubungan kita, wahai kekasih."

"Beritahulah daku."

"Yang pasti, kita akan berpisah. Beraninya kita bertemu, perlu juga berani untuk berpisah."

***

Dia telah lama memikirkannya. Bagaimana sebatang tubuh yang segar, boleh terkujur dan kaku - lantas dikapan dan akan disimpan di dalam tanah.

Apakah rasanya - andai jantung berhenti berdegup mulai sekarang?

Dia tersandar. Insan yang sekian lama mengakrabi hidupnya terbujur kaku di tengah-tengah ruang tamu. Pakaiannya putih dan asing sekali berbanding insan lain yang mengelilinginya atau yang menjenguk dari luar rumah. Pakaian itu adalah pakaian yang tidak akan bisa dipakai oleh manusia yang masih lagi bernafas.

"Yang pasti, manusia akan mati, sayang." Dia merasakan ruhnya itu membisik ke telinganya.

***

"Janganlah berputus asa - melupakan kehidupan kita untuk membina kebahagiaan. Bunga akan tetap berkembang, meski esok kiamat tiba waktunya. Kita tidak harus pasrah pada takdir, kekasihku. Ditakdirkan begini, bukan bermakna kita perlu menyerah."

"Wahai kekasih, mahu dengar apa kataku?"

"Katakanlah, agar aku bisa mengetahui."

"Yang pasti, aku akan tetap mencintaimu."

Gaji


"Saya gusar, apa yang dibayar pada saya, tidak memadai."

"Kenapa pula?" tanyaku, pada suatu hari. "Bukankah gajimu melebihi apa yang kamu perlukan."

"Gaji bukan sekadar wang yang dibayar bulanan, kawan. Ia lebih daripada itu. Dan, yang lebih itu, aku rasa ia belum mencukupi bahkan tiada bagiku."

"Cuba jelaskan apa?" Saya tidak berpuas hati.

"Bayaran bulanan - ya memang perlu. Ia adalah upah kepada khidmat dan titik peluh yang kita sumbangkan kepada syarikat. Namun, manusia yang berkerja, yakni manusia yang sihat akal dan jiwanya, bukan mengharapkan sekadar wang dan upah. Mereka berpagi-pagi merempuhi kesesakan lalu-lintas dan pulang lewat ke rumah untuk melaksanakan amanah. Anak isteri ditinggalkan. Kamu ingat, melakukan pengorbanan itu, wang memadai sebagai gantinya?

"Kalau begitu, apa yang boleh memuaskan hatimu?" tanyaku.

"Bukan sahaja hatiku, bahkan hati semua orang, termasuk hatimu juga, kawan. Penghargaan berupa motivasi dan kepercayaan adalah gaji yang tidak dapat diukur dengan nilai ringgit atau dollar. Kita akan lebih bersemangat jika sesuatu tugas yang kita laksanakan itu diterima dan dihargai oleh majikan. Penerimaan dan penghargaan itu sudah tentu berbentuk manusiawi, yang jauh lebih bernilai dari wang ringgit. Ucapan 'terima kasih' adalah satu contoh yang mudah."

"Dan, kau mengungkap semua ini kerana kamu tidak berhasil mendapatkannya?"

"Bahkan tidak, kawan. Aku mengungkapkan ini sekadar perkongsian. Yang berkerja itu manusia. Kau adalah manusia. Kau perlu sedar yang kau adalah manusia yang berkerja. Manusia itu mempunyai perasaan dan jiwa. Perasaan dan jiwa yang rosak dan tercalar tidak akan menghasilkan tangan yang cekap dan akal yang pintar.

"Selama itu, jurang antara kita dan majikan akan lebih besar. Dan, selamanya kita berasa yang kita perlukan tuan untuk memberi kita lebih wang bagi menghapuskan keputusasaan kita. Bukan untuk bersyukur dengan apa yang ada."

Bos


"Bos, kalau saya lawan cakap bos, macam mana?"

"Kamu rasa, kalau kamu lawan saya, syarikat boleh untung?"

"Boleh! Sebab tindakan bos sekarang ini, syarikat kita selalu rugi."

Suatu Hari


"Suatu hari nanti, kita akan pulang semula ke sini, duhai kekasih. Aku akan mengenggam tanganmu sedang kau akan beriringan denganku. Sebening embun telah kita percikkan, beberapa tahun dahulu - di sini. Kau dan aku bakal menyegarkannya semula, dalam semesta kenangan."

"Untuk apa, sayang?"

"Seulas senyuman berpuluh tahun dahulu, bak embun kerdil di hujung benih cinta yang seni. Sekarang ia mencambah, menjadi pohon raksasa mencanggah angkasa. Meski pohon itu sudah meninggi, embun-embun nan halus itu akan tetap menitip padanya - selama-lamanya."