Kelab Peminat

Masanya sudah tiba

Masanya sudah tiba, adikku. Kini, kau pula menggalas giliran untuk menjadi seorang mahasiswa luar negara. Betapa bertuahnya engkau, terpilih dari kalangan yang terpilih. Menjadi insan, memikul tanggungjawab rakyat dan negara.

Masanya sudah tiba, adikku. Kau akan mengembara di atas tanah yang diasaskan oleh Plato dan Aristotle. Kau juga akan melihat bagaimana sarjana-sarjana Sains di sana, menggelupur cuba membebaskan diri, dari cengkaman gereja - sehingga kebencian terhadap Tuhan dan agama - tertancap kukuh dalam ketamadunan mereka. Juga, kau akan menyaksikan, bagaiman sebuah masyarakat, yang hidupnya dalam agama yang berlainan, yang selalu kita berhati-hati saat bersemuka, sewaktu berada di negara.



Masanya sudah tiba, adikku. Kau akan hidup di dalam masyarakat yang beza tamadunnya berbanding masyarakat kita. Masyarakat yang tamadunnya dibina dengan faham sekularisme dan humanisme yang begitu menebal. Masyarakat yang mempunyai sejarah Kristian yang amat panjang. Masyarakat yang nampak tersusun dan sistem sosialnya seolah berjalan dengan sempurna sekali. Masyarakat yang kau akan takjub, dengan kecanggihan sistem kehidupannya.

Masanya sudah tiba, adikku. Ambillah iktibar daripada kemanusiaan yang mereka punyai. Ambillah teladan bagaimana mereka menghargai setiap satu jiwa manusia di negara mereka, hatta buat kanak-kanak yang baru belajar untuk berbicara. Pelajarilah bagaimana mereka memaknakan kehidupan mereka, sehingga mereka menghargai setiap nyawa, baik manusia atau haiwan. Perhatikan, bagaimana mereka menghargai setiap pandangan, juga setiap karya yang dihasilkan.

Masanya sudah tiba, adikku. Kau akan menjadi lebih matang dalam menilai setiap apa yang kamu lihat dengan indera. Sekarang, masanya tiba untuk kau memikirkan, apa sebenarnya aturan, di sebalik kejadian yang kelihatan di sana. Pandanglah lebih jauh dan lebih dalam dari apa yang terpampang di depan mata, dan terdengar di kuping telinga. Perhatikanlah, seolah-olah fikiran dan hatimu juga mempunyai mata dan telinga. Bersabar dan tekunlah, mengkaji dan membaca setiap satu sumber dan punca, sebelum berani berhujah atau mengeluarkan putus bicara.

Masanya sudah tiba, adikku. Kau akan memanfaatkan gedung ilmu di sana sebaik-baiknya. Masyarakat mereka yang berbeza itu, menjadikan mereka istimewa. Beribu tahun mereka mencari tujuan hidup dan telah banyak mereka kutip sepanjang pencarian mereka itu. Berbanding dengan kita, kita telah mengetahui tujuan hidup, yang diwarisi dan dididiki oleh orang tua kita - namun, kita kurang mengambil pusing, apa yang berharga di sekitar kita. Ambillah kesempatan ini, untuk menimba sebanyak-banyaknya titik peluh mereka mencari makna dalam kehidupan, yang diusahakan sejak ribuan tahun. Namun, pakailah tapisan makna kehidupan, yang telah kau bawa sebagai bekalan dari tanah air tercinta mu.

Masanya sudah tiba, adikku. Kau akan keluar dari tempurung bangsamu. Di sana, kau akan temui, pelbagai manusia dengan pelbagai latar dan pelbagai budaya. Kau akan belajar, walaupun bukan dalam silibus kuliah di kampus, bagaimana untuk berfikiran terbuka - menerima kelainan dan diterima dalam kelainan budaya. Di sana, kau akan belajar mahir bergaul dengan insan yang mungkin tidak pernah kau mendengar bicara bahasa mereka. Di sana juga, kau akan belajar, bagaimana untuk diterima, dengan pendirian dan pegangan yang kau ada. Bijaksanalah dalam memberi dan menerima. Jangan telalu menjadi jumud dan terpuruk dalam kepompong bangsa, sungguhpun sudah berada di luar negara. Jangan pula kau berlebihan terbuka, sehingga jati diri kau terkorban dan didikan orang kita menjadi sia-sia.

Masanya sudah tiba, adikku. Masanya untuk kau mengalami sendiri apa yang telah aku ceritakan buatmu dahulu. Tentang pengalaman indahku ketika berada di dalam dunia yang lain, dunia yang asing. Tentang perasaanku ketika berjauhan dari keluarga. Tentang kawan-kawanku, yang terdiri daripada latar bangsa dan bahasa. Tentang perjuangan dan revolusi yang cuba aku gerakkan, sebagai mahasiswa. Tentang bencinya aku pada kejumudan dan ketololan sesetengah kumpulan, yang kononnya yang ingin membela agama. Tentang risaunya aku pada segelintir rakanku, yang kecundang jati diri dirinya, apabila tiada lagi peliharaan agama dalam kehidupannya.

Adikku, masanya sudah tiba. Masanya sudah tiba untukmu menjadi dewasa. Masanya sudah tiba untuk kau terbang, melebihi helang di angkasa. Masanya sudah tiba untuk kau menajamkan akalmu dan meneguhkan rohmu, di dunia yang lain dari dunia yang kita jalani sekarang. Dunia yang bukan sekadar sijil dan peperiksaan, bahkan dunia yang dinamakan sebagai kehidupan. Kehidupan yang akan memberi peluang kepadamu untuk bijaksana membuat pilihan.

Adikku, masanya sudah tiba. Pesanku, bertaqwalah kepada Allah setiap masa dan amalkan sunnah Rasul mulia. Lapangkanlah masa untuk kembali mempelajari agama apabila di sana nanti. Pilihlah kawan yang akan bertanggungjawab dan membela, dalam setiap detik persahabatanmu nanti. Rajinlah belajar, baik pelajaran bersilibus di kampus, atau pelajaran kehidupan di negeri barat sana. Bentukkanlah dirimu, menjadi insan sejati, yang tahu meletakkan sesuatu, betul pada tempatnya, kena pada masanya.

Kau akan berjaya adikku. Aku tahu. InsyaAllah. Inilah doa abangmu.

4 ulasan:

liyana berkata...

huhu...menitik ayaq mata baca entry ni..naseb bek nabilah x nampak, klau x mesti dia tnya " kenapa kakyong nangis?"

FakirFikir berkata...

Setiap orang ada masanya. Semoga berjaya menempuh setiap detik. Jangan lupa ayah dan ibu, jangan lupa mula asalmu.

ainishamsi berkata...

eh, aku nak share kat facebook. bg adek aku pulak baca. :P

ihsan_huhu berkata...

masanya sudah tiba. untuk manage duit lebih sikit. jangan hujung bulan dok merengek duit tal masuk lagi.