Kelab Peminat

Islam and Secularism 2


Saya teruskan menyemak naskhah Islam and Secularism, Syed Naquib al-Attas. Bab awal buku ini benar-benar menduga saya. Al-Attas menghuraikan mengenai latar belakang kontemporari pemikiran Barat, dengan memfokuskan perbincangan terhadap pengaruh besar ketamadunan mereka - iaitu agama Kristian dan Yahudi. Saya cuba tekal untuk membaca sebuah rakaman histografi dan pergolakan pemikiran yang bepentaskan tamadun Rom sehinggalah abad ke-19. Sudah tentu, ia benar-benar mencabar. Ini kerana, pengalaman sejarah Eropah dan Barat tidak sama dengan pengalaman sejarah kita di Timur dan Islam. Apatah lagi kerangka pemikiran Barat sering sahaja mengalami perubahan demi perubahan. Tambahan sifat ketamadunan Barat itu sering sahaja memberontak daripada kongkongan gereja, lantas memberanakkan pandangan falsafah yang mahu membebaskan diri daripada Tuhan dan wahyu.



Saya suka sekali menyentuh mengenai pengalaman pemikiran Barat. Pemikiran Barat bermula daripada era mitos Greek. Di zaman ini, mereka cuba memahami alam ini dengan meletakkan simbol-simbol dewa dalam bentuk cerita-cerita dunia kayangan. Sehingga sekarang, pengaruh pemikiran mitos ini masih lagi mendasar. Lihat sahaja karya seni Barat yang masih membawa watak Zeus, Oedipus, Sisyphus, Hades (dan banyak lagi) yang merupakan peran dan simbol utama dalam pemikiran pada zaman tersebut.

Kemudian, muncullah zaman di mana berlaku revolusi pemikiran di dalam masyarakat Yunani. Zaman ini ditandai dengan kelahiran tiga tokoh falsafah yang sangat berpengaruh, yakni Socrates, Plato dan Aristotle. Mereka telah membebaskan pemikiran mitos Greek kuno menjadi pemikiran yang lebih rasional. Tiga tokoh ini mula membawa manusia pada zaman itu untuk melihat alam dan memahaminya - bukan lagi melalui pemahaman mitos dan dongeng kayangan. Mereka juga membawa pandangan manusia, supaya melihat apa sebenarnya hakikat kewujudan diri mereka itu.

Misalnya Plato, menjelaskan bahawa dunia fizikal (yang boleh dilihat ini) adalah sebenarnya bayang-bayang kepada dunia yang hakiki yang tertampan di dalam dinding sebuah gua. Manusia diumpamakan sebagai penduduk di dalam gua tersebut yang sedang melihat bayang-bayang itu, dan begitu takjub kepadanya. Menurut Plato, manusia seharusnya membebaskan diri daripada ketakjuban melihat bayang-bayang itu dan berusaha untuk melihat dunia realiti yang terdapat di luar gua.

Zaman tiga tokoh besar ahli falsafah ini mempengaruhi dunia ketamadunan Barat, termasuk ketamadunan Rom. Setelah beberapa lama, muncullah agama Kristian. Sekali lagi, tunjang pemikiran yang berasal dari tiga tokoh ini diganti dengan agama Kristian. Perlu diingat, apabila saya merujuk agama Kristian di sini, saya tidak merujuk kepada syariat dan seruan akidah Nabi Isa menurut pemahaman Islam. Sebaliknya, saya merujuk kepada agama yang dicipta dan digubah oleh golongan yang digelar Nasrani di dalam al-Quran, yang wujud setelah Nabi Isa diangkat ke langit oleh Allah SWT. Mereka inilah yang membina sebuah fahaman agama Kristian (baik Katolik dan Ortodoks) dan membina gereja-gereja di seluruh benua Eropah.

Seperti yang kita maklum, pada zaman ini, institusi gereja begitu menekan penduduk Eropah, baik dari segi politik dan pemikiran. Penemuan para saintis dianggap sebagai sihir dan hasil usaha keras mereka, jika dilihat bertentangan dengan pihak gereja, ia akan dibakar. Di sudut dunia yang lain, yakni di dunia Islam, umat Islam menikmat anugerah ketamadunan dan peradaban yang begitu tinggi. Para penduduk Eropah yang tinggal berdekatan dengan kerajaan Umaiyah di Cordoba, Sepanyol mendapat pengaruh kehebatan tamadun yang berasaskan tauhid ini. Mereka merantau ke dunia Islam dan mempelajari selok-belok ilmu. Mereka juga membawa pulang mutiara tiga tokoh falsafah mereka dari dunia Islam - yang hampir-hampir pupus sejak kedatangan Kristian.

Lalu, lahirlah sebuah aliran pemikiran baru di Eropah, yang memberontak terhadap kongkongan gereja. Ia ditandai oleh kelahiran tokoh seperti saintis Nicholai Coppernicus yang menolak pendapat geosentrik (bumi sebagai pusat alam semesta) yang dipakai oleh pihak gereja dan ahli falsafah Rene Descertes yang merupakan pengasas pemikiran rasional Eropah (yang berpendapat bahawa ilmu itu bermula apabila kita meragui sesuatu. Petikan mashyur beliau adalah - Cogito Ergo Sum, Aku berfikir lantas aku ada).

Sejak dari itu, berlakulah pertentangan yang hebat antara gereja dan tokoh-tokoh falsafah yang menolak Kristian ini. Tokoh-tokoh yang menolak Kristian, secara umumnya, mahu memisahkan agama dan ketuhanan daripada landasan pemikiran dan keilmuan. Di sini, bermulanya era sekularisme yang mencengkam masyarakat Barat.

Sekularisme menyebabkan gejala dualisme - yakni kecenderungan untuk memisahkan antara dua aliran pemikiran. Misalnya, sebaik sahaja penggantian pengaruh Kristian dengan pengaruh sekularisme ini, tumbuhnya dua golongan falsafah, iaitu rasionalis dan emperis. Golongan rasionalis menganggap hakikat segala kejadian terletak pada spekulasi dan proses rasional di dalam kepala. Sementara golongan emperis menganggap bahawa hakikat segala kejadian terletak pada benda yang boleh ditanggap dengan panca indera. Tambahan, pada waktu ini, pihak Barat mula memecahkan dunia keilmuan menjadi bentuk yang terpisah-pisah. Sains dijadikan terpisah dengan agama (sekali lagi berlaku dualisme di sini apabila wujudnya kontradiksi sains barat dan agama seperti yang difahami oleh barat).

Berbeza dengan konsep keilmuan Islam yang menekankan persoalan Tauhid yakni kesatuan antara ilmu dengan hakikat kejadian.

Saya lelah membaca bab pertama ini. Waktu itu saya berada di cuti pertengahan semester kedua, tahun kedua di Universiti of Adelaide. Ditakdirkan pula, hari raya jatuh pada cuti tersebut. Lalu saya mengambil keputusan untuk pulang bercuti ke tanah air. Saya tetap setia membawa naskhah ini untuk dibaca di rumah nanti. Di dalam tujuh jam perjalanan pesawat ke Kuala Lumpur, saya membaca Islam and Secularism di sebelah seorang mak cik Inggeris. Masih segar dalam ingatan, perjalanan panjang itu adalah dalam bulan Ramadhan. Seorang pramugari menanyakan kami yang duduk bersebelahan untuk makan lewat petang. Belum sempat saya mengatakan bahawa saya sedang berpuasa - dia memberitahu bahawa juadah berbuka puasa akan dihidangkan nanti. Barangkali, dia melihat saya yang sedang tekun membawa naskhah merah bertulisan khat di hadapannya itu.

Saya berhasil menghabiskan bab pertama, meskipun pembacaan mengambil masa yang agak lama. Sekembalinya ke Adelaide, saya dapat merasakan sesuatu yang berlainan. Sewaktu melewati bangunan-bangunan fakulti sains, kejuruteraan dan biologi - apa yang dijelaskan oleh al-Attas di dalam buku Islam and Secularism mula terdetik. Di sini, kami belajar secara terpisah-pisah. Saya, sebagai pelajar geologi, tidak mengetahui apa yang diajar di bangunan fakulti biologi yang hanya terletak bersebelahan dengan fakulti sains bumi. Tambahan pula, di dalam kuliah, sering sahaja saya mendengar sindiran pensyarah geologi terhadap bidang sains lain di universiti.

Satu perubahan yang saya alami setelah pembacaan kali pertama saya ini - saya mendengar kuliah dengan lebih kritikal. Sewaktu Prof John Foden menceritakan mengenai kejadian gunung berapi dan pengalamannya mendaki Gunung Tambora sehingga tapak kasut butnya mencair - membuatkan saya berfikir dengan lebih lanjut mengenai hakikat kejadian alam ini.

Ada satu persoalan akar yang mendesak nurani saya. "Kenapakah aku belajar semua ini?" Kemudian, bercabang kepada pelbagai bentuk persoalan lain. "Apa kaitannya dengan kehidupan aku? Kenapa kita mahu memahami kejadian alam ini?"

Saya memuhasabahkan diri waktu berada di kerusi kuliah. Menjadi mahasiswa pinjaman boleh ubah Petronas barangkali telah menjelaskan matlamat jangka pendek kenapa saya dihantar sampai ke Adelaide untuk belajar geologi. Namun, jawapan yang bermain di dalam ruang pemikiran saya itu tidak pun menjadi pengalaman yang enak, saat saya menjadi graduan Petroleum Geosains University of Adelaide.

Saya belajar geologi, namun masih ada sesuatu yang belum memuaskan jiwa saya. Akal saya terbeban dengan praktikal batu dan peperiksaan akhir semester, namun hati saya kosong untuk meneroka keunikan dan keajaiban ciptaan alam semesta ini. Saya tanyakan diri kenapa.

Lantas, pada suatu malam yang hening, saya pulang dan duduk di meja studi. Buku Islam and Secularism berada di hadapan.

(bersambung)

2 ulasan:

HAFIZ berkata...

1)Golongan rasionalis menganggap hakikat segala kejadian terletak pada spekulasi dan proses rasional di dalam kepala.
2)Sementara golongan emperis menganggap bahawa hakikat segala kejadian terletak pada benda yang boleh ditanggap dengan panca indera.

Maaf, soalan saya, apa beza antara kedua-duanya? Boleh jelaskan beserta contohnya.

Muhammad Teja berkata...

Empiris menganggap apa yang ditanggap oleh pancaindera adalah hakikat kebenaran. proses fikiran yang berlaku di balik penanggapan pancaindera itu, tidak dikira sebagai hakikat kebenaran lagi, kerana ia terdedah kepada latar persepsi dan pengaruh pemikiran individu itu.

Rasionalis pula menganggap bahawa apa yang ditanggap oleh panca indera itu, tidak semestinya kebenaran yang hakiki. ini kerana, dalam sesetengah perkara, ternyata perkara itu tidak dapat ditanggap oleh pancaindera.

misalnya, cuba tuan dapatkan duit syiling lima puluh sen. kemudian, tuan bandingan saiz syiling itu dengan saiz bulan purnama yang sedang mengambang di langit malam.

pada pandangan zahir, kelihatan duit syiling itu sama sahaja besarnya dengan purnama itu.

jika anda seorang empiris, anda akan menganggap bahawa saiz purnama, sudah tentu sama sahaja dengan saiz duit syiling.

namun, jika anda seorang rasionalis, sudah tentu anda akan memikirkan beberapa lagi faktor - untuk menerima bahawa purnama itu sudah tentu besar daripada duit syiling itu.

(hujah ini sering digunakan untuk melemahkan golongan empiris)

nah, itulah dikotomi dan dualisme dalam pemikiran barat.

sebaliknya, dalam pemikiran islam, ada 3 sumber kebenaran hakikat.

1) pancaindera
2) akal yang salim (akal yang sihat)
3) khabar sadiq (khabar yang benar mengenai apa yang tidak dapat dicapai oleh pancaindera dan akal, seperti sejarah lampau, perkara yang akan terjadi, syurga, neraka dan paling utama - Allah SWT)

ketiga-tiga sumber kebenaran ini, dalam Islam, tiada pemisahan, seperti pemisahan empiris dan rasionalis. sebaliknya, ia diletakkan betul pada martabatnya, selaras dengan keupayaan setiap satu sumber itu menjelaskan sesuatu ilmu dan kebenaran.

wallahualam