Kelab Peminat

Islam and Secularism 1


Adi karya Syed Naquib al-Attas, Islam and Secularism telah memberi pengaruh yang begitu besar dalam dunia pemikiran Islam. Apabila saya menyelak satu persatu album kenangan, teringat-ingat jari saya pernah melirik buku-buku yang bersusun di rak Surau Union House, University of Adelaide, Australia. Makalah yang mempunyai muka merah yang bertulisan khat itu saya ambil selama beberapa bulan dan sempat juga saya 'mencuri' makalah ini, untuk dibawa pulang sewaktu bercuti di Malaysia. Islam and Secularism, terbitan ABIM 1974 ini, telah memberi kesan yang besar kepada saya. Biar saya ceritakan kenapa.



Saya menemukan buku ini saat kekacauan pemikiran yang melanda saya sewaktu saya menjadi mahasiswa tahun kedua universiti luar negara. Pergolakan politik mahasiswa membuatkan saya memencilkan diri, mencari hujah dan keyakinan untuk berpendirian. Di kanan saya ada rakan-rakan yang berkelompok di dalam kumpulan usrah dan di sebelah kiri saya, rakan-rakan yang sama-sama berjuang di bumi kanggaroo ini berada di dalam kumpulan yang dilabel 'non-usrah.' Politik mahasiswa luar negara wujud dua warna yang dominan. Sebelah sana mengatakan bahawa mereka adalah kelompok putih, dan mengatakan kumpulan yang lagi satu adalah kelompok hitam. Begitu juga kumpulan di sebelah sini, yang berhujah bahawa ada perkara lain yang boleh dilakukan, selain daripada duduk di bawah tempurung bangsa sendiri, dan tidak mengerti suasana kehidupan di perantauan.

Saya bertekad untuk tidak memihak. Pertama, saya keliru. Kedua, kedua-dua kumpulan ini, terdiri daripada sahabat-sahabat seperjuangan saya juga. Masakan saya mahu memisahkan mereka dek perbezaan pemikiran dan pendapat. Trend ini menjadi begitu mencengkam saat batch 2007, yang terdiri daripada mahasiswa tajaan Petronas, JPA dan MARA, apabila kami masuk ke tahun kedua. Sahabat-sahabat saya, baik di kedua-dua belah kumpulan, mendapat peluang untuk aktif berpersatuan dan menjawat jawatan-jawatan penting dalam persatuan itu. Sudah semestinya, mereka menyumbang suara untuk sesuatu keputusan dan perancangan aktiviti. Sayangnya, aktiviti yang dirancangkan oleh kedua-dua belah pihak, kelihatan bercanggah antara satu sama lain. Bibit-bibit pemisahan antara dua kelompok besar persatuan mahasiswa ini mula kelihatan.

Waktu itu, surau Union House baharu usai diubahsuai. Jutaan terima kasih buat seorang mahasiswa tempatan yang mengusahakan dana dan projek surau ini kepada Kate Ellies, MP waktu itu. Sekalung tahniah juga buat Islamic Student Society of Australia, persatuan universiti yang memikul tanggungjawab ini sebagai sebuah badan mahasiswa. Mereka telah merubah sebuah tempat beribadat yang layaknya stor, menjadi tempat yang bersih dan tenang. Saya masih teringat, seorang siswi tempatan yang memakai skrit pendek masuk ke dalam surau untuk mengambil barang di dalam loker persatuannya yang diletakkan di situ.

Buku-buku yang sedia ada disusun kemas di dalam rak yang baharu. Ada di antarnaya dikeluarkan dari loker besi persatuan pelajar Islam universiti. Saya memegang buku Islam dan Secularism ini dengan rasa teruja, saat saya menyemak kembali buku-buku yang sudah selesai kami susun itu. Warna merah garangnya dan khat emasnya begitu mencabar cita rasa saya. Waktu itu, saya mempunyai kecenderungan terhadap warna merah. Entah, mungkin kerana jalur pemikiran saya masih terhala ke arah simbol warna itu. Saya merasai kertas yang menampung aksara di dalamnya. Ia bukan calang-calang kertas. Hanya beberapa muka surat awal di dalam buku tersebut mempunyai catatan pensel. Selebihnya, ia ibarat sebuah buku yang belum disentuh. Buku itu menyentak-nyentak jiwa saya untuk diladeni. Tatahuruf di dalamnya seolah memainkan tarikan misterius, yang memaksa saya mengambilnya.

(bersambung)

5 ulasan:

Norziati Mohd Rosman berkata...

Syukri,

Islam and Secularism agaknya akrab dengan mahasiswa. Ketika belajar dahulu, selalu juga kami pegang buku ini, juga beberapa naskhah lain karya pemikir hebat. Sayangnya, kita tidak menjadi tidak mengerti waktu itu mengapa buku ini harus kita baca. Sehelai selepas sehelai di selak, kemudian terpingir begitu sahaja.

Mujur sahaja ada serpihan salinannya tersimpan dalam kotak yang kian memburuk. Moga-moga sisa yang tinggal itu masih boleh di selamatkan.

Teruskan sambungannya ya!

samudera thinker berkata...

penulisan yang baik..benar kata saudara, saya sebagai mahasiswa juga pada mulanya tidak minat untuk membaca..namun, pada pertengahan 2008 yang ketika itu saya masih di tahun 1, saya terjumpa buku ini di Perpustakaan Tun Seri Lanang UKM yang mana buku ini telah mendorong saya untuk memahami erti ilmu dan 'worldview' Islam yang dibandingkan dengan 'sekularisme'..saya berusaha mencari salinan asalnya, dan akhirnya berjaya memperolehi dari seorang teman yang ingin menjual koleksi bukunya..ternyata buku Islam and Secularism ini telah mencipta satu paradigma baru dalam budaya ilmu Islam khususnya dikalangan mahasiswa dan mahasiswi sekalian..Wallahua'alam..

samudera thinker berkata...

benar kata saudara..sememngnya buku Islam and Secularism telah meberi impak kepada saya dalam usaha keilmuan..buku inilah yang membuka lembaran baru kepada saya sebagai mahasiswa universiti yang dahagakan ilmu-ilmu sebegini rupa..ternyata Islam and Secularism karya Al-Attas ini telah mencetuskan paradigma baru 'worldview' Islam khususnya kepada ummat pada masa kini yang semakin jauh dari landasan Islam akibat daripada aliran sekularisme yang semakin menjadi barah dalam masyarakat kita..Wallahua'alam..

samudera thinker berkata...

karya ini memberikan dampak yang besar kepada pemikiran individu khususnya kepada Muslim..:-)

Muhammad Teja berkata...

sebab itulah ia dipanggi adi karya. setelah 30 tahun karya ini diterbitkan - kesedaran mengenai hal ini semakin dipandang serius :)