Kelab Peminat

Pemerasan

Situasi yang berlaku sebentar tadi

Lewat. Kalau anda pengguna kenderaan awam, terutamanya bas, kelewatan merupakan satu perkara yang sepatutnya menjadi kebiasaan.

Petang tadi, bas yang membawa saya pulang dari hab bas Pasar Seni ke Putrajaya terlewat lima belas minit. Dalam lima belas minit tersebut, kami diuji dengan pelbagai macam cabaran.

"Selalu ke bas lewat macam ni?" tanya seorang penumpang yang baru dua atau tiga kali pulang dalam trip ini. Biasanya saya mengecam setiap seorang wajah penumpang bas E1 ini. Muka-muka yang sama sahaja.

"Taklah selalu sangat," saya cuba memberi ulasan positif, dengan niat mahu menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan awam, terutamanya orang yang baru begini.

Sejak jam 6.20 lagi, para penumpang telah berdiri dan beratur. Masing-masing mahu mendapatkan tempat duduk di dalam bas, jadi kami sanggup bangun dari tempat menunggu bas, merebuti tempat yang terawal di dalam barisan.

Sebuah bas yang baru tiba menderam-deramkan enjin. Asap hitamnya berkepul-kepul keluar.

"Kalau bas lewat waktu pulang kerja, tak apa. Kalau waktu pergi kerja, susahlah," katanya. Sudah semestinya menyusahkan, kata hati saya. Mahu sahaja saya mengungkit beberapa kes bas yang lewat bertolak dari Putrajaya Sentral. Saya tiba di ofis setengah jam lewat dari waktu masuk, gara-gara bas yang tiba lambat, gara-gara pemandu yang tidak bergegas dan tidak kelihatan bersalah, dan gara-gara jalan yang sesak. Semua ini saya hadapi dengan sabar dan tabah selama lebih 5 bulan, berulang-alik dari Putrajaya ke Setapak, menggunakan perkhidmatan awam ini.

Saya hanya mendiamkan diri. Teringat pada tulisan Syed Hussein Alatas, yang bukunya saya beli ketika pesta buku dahulu, dengan harga yang sangat mengagumkan - amat berpatutan untuk makalah akademik yang begitu hebat. Di dalam prakata edisi kedua di dalam buku ini, yang ditulis oleh anak beliau, Syed Farid Alatas, terdapat huraian mengenai kapitalis semu. Menurut Yoshihara (1993), kapitalis ini dirujuk kepada kapitalisme tanpa teknologi, tetapi dalam huraian lanjutan, 'semu' juga memikul makna 'palsu,' 'tidak tulen' dan 'tidak sejati.' Ini kerana, kapitalis ini wujud tanpa sifat keusahawanan - yakni tidak mempunyai rasa untuk melabur kembali keuntungan mereka, tidak melihat dan mencari pasaran baru, dan tidak menawarkan sesuatu yang baru. Mereka ini, kapitalis semu ini, mereka hanya bergantung kepada negara untuk pelbagai bentuk bantuan - dana, insentif, konsesi, biaya, tajaan, dan tender dengan kerajaan.

Dan apabila merasai keadaan ini di hab bas Pasar Seni, saya dapat merasai kesan ketumpulan semangat usahawan, yakni untuk menambah baik kualiti servis yang diniagakan. Kelambatan dan penungguan penumpang di tengah kabut beracun seolah-olah menjadi satu 'harga' yang perlu dibayar untuk mendapatkan perkhidmatan awam yang kononnya murah dan menjimatkan.

Dalam teori keusahawan, petanda kejayaan sesebuah syarikat adalah apabila berjaya memperoleh keuntungan dalam perniagaannya. Sudah tentu, sikap yang mencerminkan keunggulan syarikat menjadi tonggak utama kejayaannya dalam memperoleh keyakinan pengguna untuk menggunakan produk dan perkhidmatannya. Dan sikap utama dalam penilaian keunggulan adalah: Syarikat itu tidak akan menerima keadaan yang sedia ada dan berusaha memperbaiki keadaannya. Seterusnya, syarikat itu menilaikan prestasinya berdasarkan meritokrasi - iaitu setiap pengeluarannya adalah berada pada tahap yang optimum, kos yang dijimatkan dan pulangan yang memberangsangkan.

Lama juga saya melayangkan fikiran, sehingga bas yang ditunggu sekian lama tiba. Bas ini, tidak melalui lorong yang sepatutnya, mencelahi bas-bas yang lain dan terus bergerak ke hadapan. Kami yang beratur di bawah bumbung terpaksa berhimpit di antara dua bas untuk masuk ke pintu. Malangnya, pintu untuk masuk ke dalam bas tidak dibuka dan kami menunggu dengan penuh seksa dan membahayakan diri diapit oleh dua jentera yang boleh meremukkan tulang-belulang.

Mungkin inilah harganya apabila sebuah perusahaan yang dibina, bukan atas semangat keusahawanan. Ia dibina atas niat untuk memperoleh sokongan lima tahun sekali. Apabila prasarana sudah wujud, maka akan terjadilah pelbagai masalah yang tak sudah-sudah.

Sepatutnya, apabila wujudnya prasarana, kos akan dapat dikurangkan dan keuntungan dapat digandakan. Namun, prasarana yang wujud, seperti menjadi sebuah pemerasan untuk memeliharanya. Sudah tentu, kos pemeliharan ini akan meningkat dari tahun ke tahun. Dan saya bukannya mengatakan kos itu sekadar wang yang perlu dibayar untuk membaiki itu dan ini; bahkan ia meliputi masa, tenaga dan alam sekitar. Apabila sikap keusahawan tidak mendasari penubuhan sebuah syarikat, apatah lagi syarikat itu menyediakan perkhidmatan untuk orang awam, maka rakyatlah yang tersepit. Terhimpit antara kenaikan harga barang dan pemerasan tenaga, masa dan jiwa untuk sebuah sistem yang dibina sebagai 'pencuci tangan' dan 'aku sudah membawa kemajuan.'

"Ini bukan situasi yang biasa," kata saya kepada rakan yang baru saya kenali itu. Mahu menabur benih motivasi kepadanya, untuk terus bersabar, menggunakan perkhidmatan awam, yang dapat membantu alam dengan mengurangkan pengeluaran karbon.

Wajahnya, sudah tentulah masam mencuka. Jarum saat seolah bergerak lambat dari biasa. Udara dari enjin berbahang dan  hawa diapit kedua-dua jentera, begitu panas sekali.

Pintu akhirnya dibuka oleh pemandu yang sudah lama berada di dalam perut bas sejak tadi. Kami masuk ke dalam bas - keletihan dan berebut-rebut mendapatkan tempat duduk. Dua tiga orang penumpang dari Timur Tengah memasang lagu Arab menerusi speaker lantang telefon bimbitnya. Hanya mereka sahaja memahami inti lagu tersebut. Sedang kami, termenung melihat ke luar, sewaktu melalui Jalan Sungai Besi di hadapan Istana - merenung nasib negara, di tengah kesesakan jalan raya.

1 ulasan:

Hijaz Kamal berkata...

Salam Syuk.Duka hatiki baca pengalaman kamu.Teruskan menulis pengalamanmu di kota 1Malaysia ini.Syukurlah tak banjir macam Singapura sekarang yang resah umpama dilanggar todak.