Kelab Peminat

Untung 2


Kemudian, perbincangan kami diteruskan lagi. Saya bertanya lanjut, apa kena mengena dengan persoalan air dan keuntungan?

"Sebenarnya," katanya dengan penuh yakin, "Persoalan ini bukan persoalan politik. Ini adalah persoalan sikap. Ini juga persoalan keusahawanan." Saya mencatat apa yang dikatakan di dalam kepala, tidak mahu ketinggalan walau satu isi. "Cuba kita lihat dari sudut syarikat, yakni usahawan yang membekalkan air tersebut."

"Apabila kita menghasilkan perkara yang diperlukan rakyat, kamu rasa ia adalah satu bentuk kebaikan atau kejahatan?"

Persoalan mudah. Namun, kalau soalan ini memerangkap, saya akan dipaksa untuk tunduk pada kesimpulan yang barangkali saya tidak setuju. Jadi, saya mendiamkan diri, mendengar apa lagi yang ingin dikatakannya.

"Sudah tentulah," katanya, "menghasilkan perkara yang diperlukan orang ramai itu adalah satu bentuk kebaikan."

Dia menyambung bicara, "dan, untuk menghasilkan sesuatu, bukannya percuma. Ia memerlukan usaha. Ia memerlukan pelaburan. Syarikat yang menguruskan pembekalan air itu misalnya, perlukan modal untuk menyediakan servis yang bagus. Kamu tahu apa petanda kualiti servis sesebuah syarikat pembekalan air?"

Saya menadah telinga sahaja, langsung tidak menjawab atau menyampuk kata-katanya.

"Air yang dibekalkan adalah bersih, boleh diminum dan tidak memudaratkan. Tiada catuan dan penyelenggaraan untuk sebarang kerosakan dilakukan dengan cepat." Mata kami bertembung. "Dan untuk semua itu, sudah tentu ia mempunyai harga. Untuk memperoleh servis yang baik begitu, rakyat perlu mengeluarkan wang untuk membayar harganya. Seterusnya, dengan ini, air akan menjadi sesuatu yang berharga. Apabila rakyat terpaksa membayar harga untuk air, kamu rasa pembaziran akan berlaku?"

Saya mengangguk, menyetujui rasional yang dibentangkan dalam bentuk persoalan. Di dalam kepala, saya membayangkan tangan saya sedang menconteng kertas putih. Di atas helaian kertas imaginasi itu tertulis, 'Pembaziran dapat dielakkan. Kualiti perkhidmatan dapat ditingkatkan. Harga yang dibayar akan disalurkan buat menampung penyelenggaraan dan penghasilan sistem rawatan air yang lebih baik.'

"Hakikatnya sama sahaja untuk apa jua cabang perniagaan. Baik industri minyak, industri penerbitan atau industri perkhidmatan," ujarnya. "Apa pandangan kamu, kalau sekarang saya katakan bahawa keuntungan itu sebenarnya adalah bentuk keberkatan daripada perniagaan yang diusahakan."

"Bagaimana?" barulah saya berani bertanya. Saya semestinya gemar mendengar perkara metafizikal ini - terutamanya hal keberkatan. Tiba-tiba, dalam fikiran, terdengar perkataan 'keberkatan' ini disebut dengan penuh sarkastik. Ia seolah berpunca daripada sebuah program televisyen yang kabur-kabur visualnya di dalam ingatan. Saya berdehem. Di dalam fikiran, saya cuba menyingkir jauh-jauh ejekan terhadap 'keberkatan' yang merupakan sebuah anugerah dari Allah yang tiada taranya untuk manusia. Lebih baik mengosongkan otak untuk pengisian yang sedang saya tekuni ini.

"Sebuah bisnes, yang mampu bertahan dan pada masa yang sama, memperoleh keuntungan secara konsisten dan keuntungan itu meningkat dari tahun ke tahun, bagi saya, sudah tentu mendapat apa yang dimaksudkan dengan keberkatan itu. Kalau tak salah saya, sebuah kata-kata hikmah, atau mungkin kata-kata baginda Nabi sendiri, yang menyebut bahawa perniagaan itu adalah 90 peratus punca rezeki. Nah, kalau 90 peratus rezeki adalah kerana berniaga, takkan di dalam kurniaan itu tidak ada keberkatan?"

Dia meneruskan perbicaraan, "Untuk memperoleh keuntungan, bayaran kos perlu dibereskan. Pulangan daripada pelanggan, tolak kos pengurusan dan modal produk dan bakinya adalah keuntungan. Contohnya, seorang pelanggan yang membelanjakan sepuluh ringgit untuk sebuah buku, kos menghasilkan buku, termasuk pembayaran royalti penulis, kos penerbitan, kos staf syarikat dan kos cukai tahunan adalah lapan ringgit. Dua ringgit yang baki itu adalah keuntungan yang diperoleh oleh syarikat. Nah, ini kira-kira yang mudah kan! Tapi, cuba kita fikirkan, kalau orang yang sama, setiap bulan, sanggup mengeluarkan wang untuk membeli siri buku daripada syarikat penerbitan yang sama. Setiap bulan, syarikat itu memperoleh rezeki sebanyak dua ringgit, secara konsisten. Malah, dengan menjual buku, bukan sahaja syarikat penerbitan itu mendapat untung, bahkan penggunanya juga akan mendapat ilmu. Jadi, kedua-duanya mendapat keuntungan, untuk dunia dan akhirat tentunya. Bukankah itu satu bentuk keberkatan?"

Saya mengerut dahi. Cuba memahami apa yang dikatakannya itu dengan lebih mendalam.

"Begini. Tadi saya kemukan contoh yang baik," katanya, apabila melihat saya mengurut dagu. "Contoh yang tak baik pula begini. Katakan seorang penjual dadah. Dia menjual dadahnya kepada penagih dan memperoleh untung yang berlipat kali ganda. Menjual dadah, seperti yang kamu tahu, salah di sisi undang-undang. Juga, ia mendatangkan mudarat yang lebih. Kalau kita kata keberkatan itu hanya terletak pada keuntungan berlipat kali ganda pada sebelah pihak, ia tidak tepat sebenarnya. Ini kerana, si penjual dadah ini bukan sahaja merosakkan masyarakat. Dia juga sebenarnya membahayakan tengkuknya untuk tali gantung. Bisnesnya terpaksa dijalankan secara rahsia. Dia sendiri pun dihantui oleh polis dan penyiasat, juga pesaing-pesaing yang terdiri daripada penjenayah. Kehidupannya penuh ketakutan. Dan, kesimpulannya, perniagaannya itu, tidak ada keberkatan. Silap-silap, baru pertama kali berniaga, sudah ditangkap dan semua perniagaannya terpaksa bungkus."

"Begini," akhirnya saya menyampuk. "Biar saya pula sambung, mungkin tuan boleh tengok, sejauh mana pemahaman saya."

"Boleh, boleh, boleh. Silakan."

"Keuntungan, akan menjadi satu keberkatan apabila produk yang dihasilkan itu, diterima dengan baik oleh pengguna dan memberi kebaikan kepada pengguna juga. Keuntungan yang konsisten dan sebuah syarikat yang mampu bertahan bertahun-tahun dalam belantara perniagaan juga, boleh dikatakan memperoleh keberkatan. Ia termasuk juga dalam perniagaan servis dan perkhidmatan. Servis yang bagus, akan meningkatkan kepercayaan pengguna dan pengguna sanggup untuk mengeluarkan duit yang lebih untuk mendapat khidmat yang memuaskan hati. Itu juga satu bentuk keberkatan."

"Betul, betul, betul," katanya, tersenyum dan bersemangat. "Seperkara lagi, eh, izinkan saya menambah perencah pada hidangan pandangan kamu!"

"Sila, sila, sila." Saya mengajuknya. Kami ketawa.

"Macam saya kata sebelum ini, membazir merupakan amalan syaitan. Apabila pengguna atau rakyat terpaksa membayar lebih untuk servis yang bagus, secara tak langsung kita dapat mengurangkan amalan syaitan itu. Namun, dengan harga yang perlu dibayar itu, perlulah setimpal dengan apa yang mereka dapat. Jika tidak, keuntungan hanya berpihak pada syarikat. Dan, jika ini berlaku, tunggulah apa akan terjadi dalam pilihan raya nanti."

Saya tersenyum. Nasib kerajaan negeri dan kerajaan pusat terletak apa yang mereka lakukan sepanjang lima tahun pentadbiran mereka. Rakyat boleh membuat pilihan. Dan sudah tentu, Allah berkuasa menarik kembali keberkatan bila-bila dikehendaki-Nya.

Saya terasa puas mendengar penerangannya.

Tahu tak dengan siapa saya bercakap ini?

Anda tekalah sendiri.

1 ulasan:

Rebecca Ilham berkata...

Salam.

Entri ini mengingatkan saya kepada konsep "Tragedy of The Commons" - hujahan puak kapitalis ke atas puak sosialis ;)